Topik diikuti
Pergi ke BHkuPencari bakat model dikaitkan Epstein ditemukan mati ketika disiasat di Perancis
Pencari bakat model dikaitkan Epstein ditemukan mati ketika disiasat di Perancis
Pencari bakat model dikaitkan Epstein ditemukan mati ketika disiasat di Perancis
PARIS: Seorang pencari bakat model yang mempunyai hubungan rapat dengan pesalah seks terkenal Amerika Syarikat, Jeffrey Epstein, ditemukan mati di kediamannya berhampiran Paris ketika beliau sedang disiasat berhubung dakwaan pemerdagangan manusia dan serangan seksual.
Pihak pendakwa raya Perancis mengesahkan mayat Daniel Siad, 69 tahun, ditemui di sebuah rumah di Colombes, pinggir barat laut Paris, pada 20 Julai lalu.
Punca kematiannya masih disiasat dan bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah.
Kematian Siad berlaku ketika beliau dijangka menjadi antara individu penting yang akan disoal siasat dalam siasatan besar-besaran pihak berkuasa Perancis terhadap individu yang didakwa membantu Epstein merekrut serta mengeksploitasi wanita dan gadis bawah umur.
Ketua Pendakwa Raya Paris, Cik Laure Beccuau, berkata walaupun siasatan terhadap Siad dihentikan susulan kematiannya, penyiasatan lebih luas mengenai rangkaian pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan Epstein akan diteruskan.
“Siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti semua individu yang mungkin terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata setakat ini penyiasat telah mengenal pasti atau dihubungi oleh 24 wanita yang mendakwa menjadi mangsa atau saksi kepada kejadian yang dipercayai melibatkan Siad atau individu lain dalam rangkaian berkenaan.
Daripada jumlah itu, seramai 16 wanita sudah memberi keterangan kepada pihak berkuasa.
Menurut pendakwa raya, siasatan sebelum ini belum menemui bukti yang mencukupi untuk membolehkan Siad ditahan dengan serta-merta, namun beliau disenaraikan sebagai antara individu yang akan dipanggil memberi keterangan.
Nama Siad muncul dalam lebih 1,000 dokumen yang didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Januari lalu berkaitan siasatan terhadap Epstein.
Dokumen berkenaan menunjukkan Siad sering berhubung dengan Epstein sekitar sedekad lalu dan didakwa cuba memperkenalkan beberapa model wanita kepada ahli kewangan itu.
Dalam beberapa mesej yang didedahkan, Siad dikatakan memperkenalkan seorang gadis berusia 15 tahun serta beberapa remaja lain yang berumur bawah 18 tahun kepada Epstein.
Bagaimanapun, Siad menafikan sebarang salah laku.
Dalam satu wawancara televisyen pada Mei lalu, beliau mengakui pernah bekerja sebagai pencari bakat model dan mempunyai hubungan profesional dengan Epstein selama lebih 15 tahun.
Beliau mendakwa telah memperkenalkan kira-kira sedozen model kepada Epstein, namun menegaskan tidak pernah menerima sebarang aduan negatif daripada mereka.
“Hubungan saya dengan Jeffrey Epstein adalah semata-mata atas urusan kerja,” katanya.
Beliau turut menafikan semua tuduhan serangan seksual.
“Saya tidak pernah merogol mana-mana wanita sepanjang hidup saya,” katanya.
Peguamnya, Cik Menya Arab-Tigrine, berkata anak guamnya berulang kali menegaskan beliau tidak bersalah dan berharap diberi peluang menjelaskan perkara sebenar kepada penyiasat.
“Beliau sudah meninggal dunia dan beliau tidak bersalah,” katanya.
Beliau turut mendakwa tekanan akibat siasatan yang berpanjangan mungkin menjejaskan kesihatan Siad.
“Jika beliau meninggal dunia akibat serangan jantung, tekanan dan kebimbangan yang ditanggung setiap hari mungkin menjadi antara faktornya,” katanya.
Sebelum kematiannya, Siad turut disiasat berhubung satu laporan polis yang dibuat oleh bekas model Sweden, Cik Ebba P. Karlsson.
Karlsson mendakwa Siad merogolnya di sebuah vila di Riviera Perancis pada 1990 ketika beliau berusia 20 tahun.
Beliau kemudian berkongsi pengalaman itu menerusi sebuah laman sesawang yang diasaskannya bagi membantu mangsa penderaan seksual tampil berkongsi kisah masing-masing.
Karlsson berkata kematian Siad amat mengecewakan kerana beliau percaya suspek hampir ditahan.
“Ini sangat mengecewakan. Kami sudah bekerja keras untuk mendapatkan keadilan,” katanya kepada AFP.
Beliau turut mendakwa Siad pernah memperkenalkannya kepada Gerald Marie, bekas ketua agensi peragaan Elite Eropah, yang juga berdepan beberapa tuduhan rogol dan pemerdagangan manusia.
Marie bagaimanapun berulang kali menafikan semua dakwaan terhadapnya.
Bekas wartawan BBC, Cik Lisa Brinkworth, yang mengasaskan sebuah kumpulan sokongan kepada mangsa penderaan dalam industri peragaan, berkata kematian Siad memberi tamparan besar kepada usaha mendapatkan keadilan.
“Rasanya mangsa dinafikan peluang memperoleh keadilan,” katanya.
Beliau turut menggesa pendakwa raya Perancis mempercepat siasatan terhadap semua individu lain yang mempunyai kaitan dengan Epstein dan berdepan dakwaan serupa.
Epstein meninggal dunia di sebuah penjara di New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan menjalankan rangkaian pemerdagangan seks melibatkan gadis bawah umur.
Kematiannya secara rasmi diputuskan sebagai bunuh diri, namun sehingga kini terus mencetuskan pelbagai teori konspirasi.
Siad merupakan individu kedua yang mempunyai hubungan dengan Epstein ditemui mati di Perancis.
Pada 2022, ejen peragaan Perancis, Jean-Luc Brunel, yang didakwa merekrut wanita muda untuk Epstein dan berdepan tuduhan merogol gadis bawah umur, ditemukan mati di dalam sel penjara ketika menunggu perbicaraan.
Kes itu terus menjadi tumpuan antarabangsa apabila pihak berkuasa Perancis berusaha mengenal pasti sama ada masih terdapat individu lain yang membantu rangkaian Epstein mendapatkan mangsa di Eropah, khususnya melalui industri peragaan. - Agensi berita