Pencarian pesawat malang Malaysia Airlines MH370 kini sudah bermula di Lautan Hindi yang disifatkan sebagai ‘percubaan terakhir’ untuk mencari pesawat yang hilang 11 tahun lalu.
Kapal sokongan laut dalam milik Ocean Infinity yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Britain, Armada 7806, dilaporkan sudah tiba di zon pencarian baru kira-kira 1,500 kilometer (km) dari pantai Perth pada hujung minggu lalu, menurut laporan media Australia dan Britain pada 25 Februari.
Menurut media Britain The Telegraph, sebuah kenderaan bawah air autonomi dihantar daripada kapal itu dalam masa beberapa jam selepas ketibaannya di lokasi dan memulakan imbasan terperinci dasar laut, lapor The Straits Times.
Armada 7806 akan mencari di kawasan seluas 15,000km persegi selama enam minggu, yang mana ia akan memberi perhatian khusus kepada empat tompok panas, dengan beberapa penyelidik mencadangkan bangkai pesawat Boeing 777 itu mungkin berada, lapor 9News Australia.
Pencarian juga dijangka menjadi rumit kerana topografi dasar lautan serta cuaca.
Pada Disember 2024, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata Ocean Infinity ditugaskan menyambung semula pencarian bawah laut bagi mencari bangkai pesawat itu, sebagai bukti komitmen kerajaan Malaysia terhadap keluarga penumpang MH370.
Kontrak pencarian ini berdasarkan prinsip ‘jika tiada penemuan, tiada bayaran’, yang bermaksud kerajaan Malaysia tidak akan membayar jika tiada apa yang dijumpai.
Sekiranya serpihan itu ditemui, Ocean Infinity akan mengenakan bayaran sebanyak AS$70 juta ($94 juta) iaitu jumlah yang sama seperti yang dicadangkan pada 2018.
Pada 8 Mac 2014, penerbangan MH370 itu berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, bagaimanapun pesawat itu hilang dan tidak pernah dijumpai sehingga kini.
Selepas kehilangan itu, Malaysia, China dan Australia melakukan pencarian bersama di kawasan seluas 120,000km persegi di selatan Lautan Hindi, namun berhenti pada Januari 2017 selepas tiada penemuan penting.
Usaha pencarian pertama Ocean Infinity, yang bermula pada Januari 2018 di kawasan seluas 25,000km persegi di selatan Lautan Hindi juga berakhir pada Jun 2018 tanpa hasil.
Pada Mac 2014, 200 keluarga penumpang China yang menaiki MH370 mengadakan bantahan yang jarang berlaku di luar Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, dua jam selepas mengetahui bahawa tiada penumpang dalam penerbangan itu yang ditakdirkan terselamat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg