PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia bersetuju secara prinsip menerima tawaran syarikat dari Britain, Ocean Infinity, untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Disember.
Beliau menjelaskan pencarian dasar laut itu membabitkan satu lokasi baru dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Ia dibuat berdasarkan prinsip, no find, no fee (tidak jumpa, tiada bayaran).
“Mengikut prinsip ini, kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat itu jika tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.
“Lokasi kawasan pencarian baru yang dicadangkan oleh Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh para pakar dan penyelidik.
“Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan wajar diteliti oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya pada 20 Disember, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut Encik Loke, kementeriannya sedang merunding terma dan syarat perjanjian dengan Ocean Infinity yang dijangka dimuktamad pada awal 2025.
Sementara itu, berita berkenaan disambut dengan perasaan bercampur baur oleh anggota keluarga mangsa tragedi pesawat MH370 yang hilang secara misteri pada 8 Mac 2014.
“Pengumuman ini menimbulkan perasaan yang bercampur baur – harapan, rasa syukur dan kesedihan.
“Selepas hampir 11 tahun, ketidakpastian dan keperitan yang dirasa kerana tidak mempunyai jawapan adalah terlalu sukar buat kami,” demikian luah keluarga mangsa tragedi MH370, Cik Intan Maizura Othaman, 44 tahun.
Isteri kepada pramugara, Encik Mohd Hazrin Mohamed Hasnan itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada syarikat Ocean Infinity atas kesediaan mereka menawarkan kepakaran dan meneruskan operasi pencarian pesawat MH370.
Menurut Cik Intan, pencarian MH370 bukan sekadar untuk menutup kisah itu, malah ia bagi menghargai dan menghormati insan tersayang.
“Kami juga boleh belajar daripada tragedi ini untuk menjadikan penerbangan udara lebih selamat pada masa depan.
“Saya berharap dunia akan terus bersama kami untuk menawarkan sokongan sementara kami menunggu perkembangan terkini,” katanya.
Kehilangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menggemparkan seluruh dunia.
Pesawat yang berlepas pada 12.41 tengah malam 8 Mac 2014 dan dijadualkan mendarat di Beijing, China, pada 6.40 pagi hari yang sama itu dilaporkan hilang daripada radar Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA).
Misi pencarian pesawat itu masih belum menemukan sebarang petunjuk kukuh bagi menjawab segala persoalan misteri kehilangannya yang disahkan berakhir di tengah Lautan Hindi, barat Perth, Australia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg