Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendakwa antirasuah terkenal Indonesia letak jawatan disiasat korup
Pendakwa antirasuah terkenal Indonesia letak jawatan disiasat korup
Pendakwa antirasuah terkenal Indonesia letak jawatan disiasat korup
JAKARTA: Pendakwa antirasuah paling berpengaruh di Indonesia, Encik Febrie Adriansyah, meletakkan jawatan sebagai Timbalan Peguam Negara bagi Jenayah Khas (Jampidsus) ketika siasatan terhadap dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan dirinya semakin memuncak.
Pejabat Peguam Negara Indonesia mengesahkan peletakan jawatan itu pada 12 Julai sambil menjelaskan keputusan berkenaan dibuat bagi memastikan integriti, ketelusan dan kewibawaan institusi penguatkuasaan undang-undang terus terpelihara sepanjang siasatan polis dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, Direktorat Jeneral Imigresen di bawah Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan turut mengeluarkan larangan sementara terhadap Encik Febrie daripada meninggalkan Indonesia.
Larangan sama dikenakan terhadap seorang lagi individu dikenali sebagai Don Ritto yang turut dikaitkan dengan siasatan kes sama.
Ketua Pengarah Imigresen, Encik Hendarsam Marantoko, berkata tindakan itu dibuat berdasarkan permohonan rasmi Direktorat Siasatan Jenayah Khas Polis Metro Jaya bertarikh 11 Julai.
“Larangan keluar negara ini berkuat kuasa selama 20 hari mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Peletakan jawatan Encik Febrie menjadi perkembangan terbesar dalam siasatan yang semakin meluas sehingga membabitkan polis, Pejabat Peguam Negara dan Tentera Nasional Indonesia (TNI), sekali gus mencetuskan perhatian umum.
Sejak beberapa hari lalu, polis telah menyerbu lebih sedozen lokasi di Jakarta, Tangerang Selatan dan Bogor bagi menyiasat dakwaan rasuah, pengubahan wang haram serta penyelewengan membabitkan beberapa syarikat berkaitan pemerintah.
Dalam serbuan itu, polis merampas jongkong emas, wang tunai pelbagai mata wang asing dan dokumen penting dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar 540 bilion rupiah (S$38.5 juta).
Rampasan terbesar dilakukan di sebuah rumah di Sentul, Bogor, yang kemudian diakui Encik Febrie sebagai miliknya.
Di kediaman itu, penyiasat menemui 74 kilogram jongkong emas bersama wang tunai berjumlah AS$4.77 juta (S$6.1 juta) dan S$14.08 juta yang disimpan dalam tujuh bagasi di dalam sebuah peti besi.
Nilai keseluruhan rampasan di rumah berkenaan dianggarkan mencecah AS$26.3 juta.
Bagaimanapun, Encik Febrie menafikan semua aset yang dirampas itu adalah miliknya.
Polis setakat ini memaklumkan serbuan berkenaan berkaitan sekurang-kurangnya tiga siasatan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram, termasuk dakwaan penyelewengan dalam pembekalan arang batu yang dikaitkan dengan gangguan bekalan elektrik di Sumatera baru-baru ini.
Namun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan siasatan mana yang secara langsung mengaitkan Encik Febrie atau sama ada beliau telah dinamakan sebagai suspek.
Kontroversi itu semakin hangat apabila anggota tentera bersenjata ditempatkan di luar sebuah lagi kediaman yang dikaitkan dengan Encik Febrie di Jakarta.
Tentera Indonesia menjelaskan penugasan itu dibuat atas permintaan Pejabat Peguam Negara berdasarkan peraturan perlindungan terhadap pendakwa raya dan menegaskan ia tidak bertujuan mengganggu siasatan polis.
Encik Febrie sebelum ini merupakan antara pendakwa antirasuah paling dikenali di Indonesia.
Sejak dilantik mengetuai Bahagian Jenayah Khas pada Januari 2022, beliau menyelia pelbagai siasatan berprofil tinggi termasuk kes rasuah membabitkan syarikat perlombongan PT Timah, syarikat minyak negara Pertamina, syarikat penerbangan Garuda Indonesia serta beberapa syarikat berkaitan kerajaan.
Beliau turut mengetuai siasatan terhadap bekas Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim, selain menyelia siasatan berkaitan program Makanan Berkhasiat Percuma yang menjadi antara agenda utama Presiden Prabowo Subianto.
Sebelum mengetuai Bahagian Jenayah Khas, Encik Febrie membina kerjayanya sebagai pendakwa sejak 1996 selepas memulakan tugas di Pejabat Pendakwa Raya Sungai Penuh, Jambi.
Beliau kemudian memegang pelbagai jawatan kanan sebelum dilantik sebagai Timbalan Peguam Negara bagi Jenayah Khas, sekali gus mengetuai beberapa siasatan rasuah terbesar negara itu.
Antara kes berprofil tinggi yang pernah dikendalikannya ialah skandal PT Asuransi Jiwasraya yang mengakibatkan kerugian negara dianggarkan 16.8 trilion rupiah; skandal PT Asabri melibatkan kerugian 22.78 trilion rupiah serta kes rasuah membabitkan PT Bank Tabungan Negara.
Pada 2024, Encik Febrie turut menjadi perhatian apabila mendakwa beliau menjadi sasaran operasi pemantauan oleh anggota elit Densus 88 Polis Indonesia di sebuah kafe di Jakarta Selatan.
Ketika itu, pihak polis dan Pejabat Peguam Negara memaklumkan isu berkenaan berjaya diselesaikan melalui siasatan dalaman.
Menariknya, premis sama kembali menjadi perhatian apabila ia termasuk antara lokasi yang diserbu dalam siasatan terkini.
Sebelum mengumumkan peletakan jawatan, Encik Febrie menegaskan beliau masih menjalankan tugas seperti biasa.
“Pagi ini saya masih menerima arahan supaya segera menyelesaikan pengendalian beberapa kes,” katanya seperti dipetik majalah Tempo.
Pejabat Peguam Negara pula menegaskan semua siasatan rasuah yang sedang dikendalikan Bahagian Jenayah Khas akan diteruskan tanpa sebarang gangguan meskipun berlaku pertukaran kepimpinan.
Peletakan jawatan Encik Febrie menandakan perubahan dramatik dalam kerjayanya.
Selepas bertahun-tahun dikenali sebagai pendakwa yang memburu tokoh-tokoh besar dalam kes rasuah, beliau kini berdepan siasatan yang boleh menentukan masa depan kerjayanya sendiri. - Agensi berita
