Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Korea S berdepan lebih banyak soal siasat, perbicaraan pemecatan

Jan 16, 2025 | 12:58 PM
Kereta yang membawa Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, dilihat meninggalkan Pusat Tahanan Seoul bagi perjalanan ke Pejabat Siasatan Rasuah untuk  disoal siasat pada 15 Januari 2025.
Kereta yang membawa Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, dilihat meninggalkan Pusat Tahanan Seoul bagi perjalanan ke Pejabat Siasatan Rasuah untuk disoal siasat pada 15 Januari 2025. - Foto Reuters

SEOUL: Agensi pencegah rasuah Korea Selatan akan menyambung semula soal siasat ke atas Presiden Yoon Suk-yeol pada 16 Januari sama ada beliau terlibat dalam melakukan pemberontakan, manakala Mahkamah Perlembagaan pula mengadakan perbicaraan kedua mengenai pemecatannya.

Korea Selatan sedang bergelut dengan krisis politik terburuknya dalam beberapa dekad, dicetuskan oleh percubaan singkat Encik Yoon untuk mengenakan undang-undang tentera pada 3 Disember yang telah ditolak dalam undian di parlimen.

Pada 15 Januari, Encik Yoon menjadi penyandang presiden pertama yang ditangkap di Korea Selatan, menamatkan kebuntuan selama berminggu-minggu dengan pihak berkuasa selepas polis menyerbu sebelum subuh di vila lereng bukitnya di Seoul.

Encik Yoon berkata beliau menyerahkan dirinya untuk disoal siasat oleh pegawai penyiasat pencegah rasuah untuk mengelakkan apa yang dipanggilnya risiko berlakunya pertumpahan darah.

Namun, beliau membantah penahanannya itu dengan menyifatkan penyiasatan tersebut dan waran tangkap ke atasnya sebagai tidak sah.

Pihak berkuasa mempunyai 48 jam untuk menyoal presiden yang digantung tugas, selepas itu mereka mesti mendapatkan waran untuk menahannya sehingga 20 hari atau membebaskannya.

Encik Yoon sehingga kini enggan bercakap dengan penyiasat yang telah menyediakan soal selidik setebal lebih 200 muka surat, kata seorang pegawai dari Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) yang mengetuai siasatan jenayah itu pada 15 Januari.

Peguamnya berkata waran tangkap itu tidak sah kerana ia dikeluarkan oleh mahkamah dalam bidang kuasa yang salah dan pasukan yang ditubuhkan untuk menyiasatnya tidak mempunyai mandat undang-undang untuk berbuat demikian.

Selepas keadaan yang kelihatan membingungkan itu, Encik Yoon telah dibawa pada petang 15 Januari ke Pusat Tahanan Seoul.

Siasatan beliau dijangka disambung semula pada 2 petang 16 Januari, lapor Agensi Berita Yonhap.

Berasingan daripada siasatan jenayah ke atas Encik Yoon, Mahkamah Perlembagaan pula akan mengadakan perbicaraan kedua pada 16 Januari bagi mendengar dakwaan ke atasnya.

Parlimen telah mendakwa dan menggantung kuasa Encik Yoon sebagai presiden pada 14 Disember.

Mahkamah kini sedang mempertimbangkan sama ada untuk memecatnya secara kekal daripada jawatan atau memulihkan kuasa presidennya.

Ini susulan dakwaan pemberontakan, berkaitan dengan undang-undang tentera yang beliau isytiharkan pada 3 Disember.

Tinjauan pendapat menunjukkan majoriti rakyat Korea Selatan menyokong pemecatan Encik Yoon, tetapi percubaan untuk menangkapnya nampaknya telah menyatukan para penyokong tegarnya. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg