Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penembak didakwa bunuh Charlie Kirk dipenjara, sedang nantikan tuduhan rasmi di Utah

Sep 13, 2025 | 8:44 PM
Tyler Robinson, 22 tahun, ditangkap pada malam 11 September selepas ahli keluarga dan seorang rakan keluarga memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa dia telah mengaku terlibat dalam jenayah tersebut.
Tyler Robinson, 22 tahun, ditangkap pada malam 11 September selepas ahli keluarga dan seorang rakan keluarga memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa dia telah mengaku terlibat dalam jenayah tersebut. - Foto REUTERS

OREM (Utah): Pelajar sekolah perdagangan Utah yang dipenjara kerana disyaki menembak mati aktivis konservatif, Encik Charlie Kirk kini berdepan dengan tuduhan rasmi minggu depan, menurut gabenor. 

Tindakan keganasan pelajar tersebut dianggap sebagai titik perubahan dalam politik Amerika Syarikat.

Tyler Robinson, 22 tahun, ditangkap pada malam 11 September selepas ahli keluarga dan seorang rakan keluarga memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa dia telah mengaku terlibat dalam jenayah itu, kata Gabenor Spencer Cox pada 12 September. 

Beliau membuka sidang media dengan kata-kata, “Kami sudah tangkap dia.”

Penangkapan itu menandakan berakhirnya pencarian selama 33 jam untuk suspek tunggal dalam pembunuhan pada hari 10 September, yang disifatkan oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump sebagai “pembunuhan yang keji.”

Encik Kirk, pengasas bersama kumpulan pelajar konservatif ‘Turning Point USA’ dan sekutu tegar Encik Trump, ditembak mati dengan satu tembakan senapang dari atas bumbung semasa acara luar yang dihadiri oleh 3,000 orang di Universiti Utah Valley di Orem.

Penembak itu melarikan diri dalam kekecohan yang dirakam dengan jelas dalam klip video yang tersebar luas di Internet dan laporan berita televisyen.

Senapang yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan telah ditemui berdekatan, dan polis mengeluarkan imej daripada kamera pengawasan yang menunjukkan “individu yang menarik perhatian” berpakaian gelap dan memakai cermin mata hitam.

Perkembangan dalam kes ini berlaku apabila seorang ahli keluarga dan seorang rakan keluarga memaklumkan pejabat polis tempatan bahawa Robinson telah “mengaku atau menyatakan bahawa dia telah melakukan” pembunuhan itu, kata Encik Cox.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga Tyler Robinson, yang telah melakukan perkara yang betul dalam kes ini dan berjaya membawanya ke pihak berkuasa,” kata gabenor itu.

Rakaman kamera keselamatan dan bukti yang dikumpulkan daripada profil suspek di platform sembang dan penstriman, Discord juga membantu penyiasat mengaitkannya dengan jenayah tersebut, kata Encik Cox.

Robinson, seorang pelajar tahun ketiga dalam program latihan elektrik di Dixie Technical College, sebahagian daripada sistem universiti awam Utah, ditahan di rumah ibu bapanya.

Pada petang 12 September, penyiasat mengumpulkan bukti forensik tambahan dari apartmen Robinson di St. George, kira-kira lapan kilometer dari rumah ibu bapanya berhampiran sempadan Arizona.

Dia ditahan kerana disyaki membunuh dengan sengaja dan tuduhan lain yang dijangka difailkan di mahkamah awal minggu depan, kata gabenor itu.

Pembunuhan itu telah mencetuskan kemarahan di kalangan penyokong Encik Kirk dan kecaman terhadap keganasan politik dari seluruh spektrum ideologi.

“Ini adalah serangan terhadap kita semua,” kata Encik Cox, menyifatkan pembunuhan Encik Kirk sebagai “titik perubahan dalam sejarah Amerika” dan membandingkannya dengan gelombang pembunuhan politik di Amerika pada tahun 1960-an. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg