OREM (Utah): Penyiasat Amerika Syarikat pada 11 September mengeluarkan gambar dan video suspek yang menembak mati aktivis konservatif berpengaruh, Encik Charlie Kirk, dan berkata mereka telah menemui senapang yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan bermotif politik itu.
Encik Kirk, 31 tahun, dibunuh pada 10 September dengan satu das tembakan ketika beliau sedang memberi ceramah di sebuah universiti di Utah dalam apa yang disifatkan oleh Presiden Donald Trump sebagai “pembunuhan keji”.
Pengarang, hos podcast dan sekutu rapat Encik Trump itu, membantu meningkatkan sokongan Parti Republikan dalam kalangan pengundi muda.
Penyiasat masih belum membincangkan secara terbuka sebarang motif, tetapi Encik Trump memberitahu pemberita beliau mempunyai petunjuk tentang motivasi pembunuh itu.
“Kami akan memberitahu anda tentang perkara itu kemudian,” katanya, sambil menambah bahawa penguatkuasaan undang-undang sedang membuat “kemajuan besar” dalam siasatan.
Biro Siasatan Federal (FBI) dan pegawai negeri berkata pembunuh itu tiba di kampus beberapa minit sebelum bermulanya perbahasan yang diketuai oleh Encik Kirk bertajuk, Buktikan Saya Salah, di hadapan 3,000 orang di Universiti Utah Valley di Orem, Utah.
Video kamera keselamatan menunjukkan seseorang menaiki tangga untuk naik ke atas bumbung sebelum melepaskan tembakan ke arah Encik Kirk, kata pegawai itu pada sidang akhbar.
Encik Kirk sedang menjawab soalan penonton mengenai kes tembakan besar-besaran apabila peluru mengenai lehernya.
Para hadirin bertempiaran dalam keadaan panik.
FBI menawarkan ganjaran AS$100,000 ($128,200) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan pembunuh dan mengedarkan imej yang diambil daripada kamera keselamatan.
Suspek memakai baju hitam, cermin mata hitam dan topi besbol gelap. Bahagian atas lengan panjang itu dihiasi dengan imej helang botak yang terbang melintasi bendera Amerika.
Kumpulan kedua gambar yang dikeluarkan oleh pegawai negeri Utah menunjukkan imej pemuda langsing yang lebih jelas sedikit, mendedahkan lebih banyak butiran tentang beg galasnya dan kasut Converse.
Pegawai turut mengeluarkan video seorang lelaki turun dari bumbung – tempat penembak tepat melepaskan tembakan maut.
Suspek meninggalkan kesan tapak tangan dan bahan DNA lain pada bangunan itu ketika dia terjatuh di rumput, kata Pesuruhjaya Keselamatan Awam Utah, Encik Beau Mason.
Penyiasat berkata mereka telah menemui selaras senapang di kawasan hutan berdekatan.
Encik Trump berkata beliau akan menganugerahkan mendiang Encik Kirk sebutir Pingat Kebebasan Presiden, iaitu penghormatan awam tertinggi negara. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg