Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes serangan asid: Pendakwa tuntut hukuman penjara terhadap anggota tentera Indonesia
Kes serangan asid: Pendakwa tuntut hukuman penjara terhadap anggota tentera Indonesia
Kes serangan asid: Pendakwa tuntut hukuman penjara terhadap anggota tentera Indonesia
JAKARTA: Pendakwa raya tentera Indonesia menuntut hukuman penjara dua tahun enam bulan terhadap empat anggota Badan Perisikan Strategik Tentera Nasional Indonesia (Bais TNI) yang didakwa terlibat dalam serangan asid terhadap aktivis hak asasi manusia, Encik Andrie Yunus.
Tuntutan itu dibacakan di Mahkamah Tentera II-08 Jakarta pada 3 Jun dalam satu kes yang terus menarik perhatian masyarakat sivil Indonesia kerana dikaitkan dengan isu pengaruh tentera dalam pemerintah serta kebimbangan mengenai budaya perlindungan terhadap anggota keselamatan.
“Kami memohon supaya Mahkamah Tentera II-08 Jakarta menjatuhkan hukuman terhadap para tertuduh seperti yang dituntut,” kata pendakwa raya tentera ketika membacakan tuntutan.
Empat tertuduh ialah Sarjan Edi Sudarko; Leftenan Satu Budhi Hariyanto Widhi; Kapten Nandala Dwi Prasetyo dan Leftenan Satu Sami Lakka.
Kesemua mereka didakwa melakukan serangan asid terancang yang menyebabkan Encik Andrie mengalami kecederaan serius termasuk buta pada sebelah mata.
Menurut pendakwa raya, tindakan mereka merupakan “serangan balas di luar undang-undang” yang bukan sahaja menyebabkan penderitaan fizikal kepada mangsa, malah mencemarkan reputasi tentera Indonesia.
“Tindakan para tertuduh merupakan satu bentuk balas dendam di luar undang-undang yang menyebabkan penderitaan fizikal kepada mangsa dan merosakkan reputasi tentera,” kata pendakwa raya Encik Wasinton Marpaung di mahkamah.
Pendakwa raya berkata keempat-empat anggota tentera itu didapati melanggar prinsip Sapta Marga, iaitu kod etika tentera Indonesia, selain melanggar Sumpah Perajurit dan Lapan Kewajipan anggota TNI.
Serangan tersebut berlaku pada Mac lalu ketika Encik Andrie menunggang motosikal selepas selesai merakam sebuah podcast berkaitan pengaruh tentera dalam pemerintah Indonesia.
Dua individu menaiki skuter didakwa menghampiri Encik Andrie sebelum menyimbah asid ke arah wajahnya.
Pihak pendakwaan berkata motif serangan dipercayai berpunca daripada rasa marah terhadap Encik Andrie yang sebelum ini mengganggu satu mesyuarat tertutup antara anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan pegawai tentera di Hotel Fairmont Jakarta pada 2025.
Mesyuarat itu membincangkan pindaan Undang-Undang TNI yang ketika itu menerima bantahan hebat daripada kumpulan masyarakat sivil.
Pindaan tersebut kemudian diluluskan Parlimen Indonesia dan membolehkan anggota tentera aktif berkhidmat di 14 kementerian dan institusi negara, meningkat daripada 10 sebelum ini.
Pendakwa raya bagaimanapun menegaskan serangan terhadap Encik Andrie dilakukan atas inisiatif sendiri dan bukannya atas arahan pihak atasan.
Kes itu terus mencetuskan persoalan besar mengenai ketelusan sistem keadilan tentera di Indonesia.
Pasukan Advokasi untuk Demokrasi (TAUD), yang mengiringi Encik Andrie sepanjang proses perundangan, mengkritik siasatan tersebut dan mempersoalkan mengapa Encik Andrie sendiri tidak pernah disoal siasat secara rasmi sebagai mangsa.
Menurut TAUD, keadaan kesihatan Encik Andrie menjadi faktor utama kerana beliau masih menjalani rawatan intensif di Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM) Jakarta.
Dalam kenyataan perubatan yang dikemukakan RSCM pada 12 Mei lalu, hospital itu berkata keadaan Encik Andrie masih memerlukan pemantauan rapi.
Rawatannya melibatkan pasukan pelbagai disiplin termasuk pakar bedah plastik rekonstruktif, pakar mata, pakar psikiatri dan beberapa profesional kesihatan lain.
Hospital turut menjelaskan bahawa Encik Andrie masih berada dalam fasa pemulihan selepas pembedahan dan perlu menjalani pemeriksaan berkala terhadap kecederaan serta keadaan matanya.
Aktivitinya juga masih terhad sepanjang tempoh pemulihan.
Panel hakim sebelum ini mempertimbangkan untuk mengambil keterangan Encik Andrie semasa perbicaraan berlangsung.
Namun kerana namanya tidak dimasukkan dalam fail kes yang dikemukakan kepada mahkamah, beliau hanya boleh dipanggil sebagai saksi tambahan.
Encik Andrie dan pasukan peguamnya menolak cadangan itu kerana tidak yakin sistem kehakiman tentera mampu mengadili anggota tentera secara adil dalam kes jenayah biasa.
Mereka turut menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya perlindungan terhadap anggota tentera yang dituduh.
Kes tersebut sekali lagi menghidupkan perdebatan lama mengenai sama ada anggota tentera yang terlibat dalam jenayah terhadap orang awam perlu dibicarakan di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah tentera.
Sebelum ini, beberapa kumpulan hak asasi manusia di Indonesia mendakwa serangan terhadap aktivis sering gagal diselesaikan secara telus dan jarang membawa kepada hukuman berat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Bais TNI, Encik Yudi Abrimantyo, dilaporkan meletakkan jawatan sebagai “tanda tanggungjawab” susulan penahanan empat anggotanya.
Pasukan peguam bela dijadual membentangkan hujahan penutup pada 4 Jun sebelum keputusan mahkamah diumumkan pada 10 Jun nanti.
Ketua Hakim Kolonel Fredy Ferdian Isnartanto, berkata mahkamah memberikan masa tambahan kepada pihak pembelaan sebelum keputusan akhir dibuat. - Agensi berita
