Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendakwah hina penjual teh ais letak jawatan Utusan Khas Presiden

Dec 9, 2024 | 11:45 AM
Gus Miftah (kiri) memohon maaf secara terbuka dan berkunjung ke rumah penjual teh ais, Encik Sunhaji, untuk berdamai. 
Gus Miftah (kiri) memohon maaf secara terbuka dan berkunjung ke rumah penjual teh ais, Encik Sunhaji, untuk berdamai.  - Foto INSTAGRAM KABARACEH

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menyokong keputusan Gus Miftah, yang nama sebenarnya Miftah Maulana Habiburrahman, meletak jawatan sebagai Utusan Khas Presiden bagi Keharmonian Agama dan Pembangunan Fasiliti Keagamaan.

Keputusan diambil selepas tular video beliau menghina seorang penjual teh ais ketika berceramah di Magelang, Jawa Tengah.

Encik Prabowo menyifatkan langkah Gus Miftah sebagai tindakan bertanggungjawab.

“Beliau menyedari kesilapannya, mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memilih untuk berundur. Kita hargai tindakan itu,” kata Encik Prabowo di Istana Merdeka, menurut satu kenyataan Sekretariat Presiden.

Menurut Encik Prabowo, sikap sedemikian jarang dilihat di Indonesia.

“Tidak ramai yang secara sukarela meletak jawatan atas kesilapan mereka,” tambah beliau.

Video kontroversi itu menunjukkan Gus Miftah menghina seorang penjual teh ais, Encik Sunhaji, dengan berkata: “Masih jual lagi? Masih banyak yang tak laku? Jual tempat lain, bodoh. Kalau tak laku, itu takdir.”

Tindakannya mendapat kecaman hebat pelbagai pihak.

Gus Miftah kemudian memohon maaf secara terbuka dan berkunjung ke rumah Encik Sunhaji untuk berdamai.

“Keputusan ini adalah atas pertimbangan saya sendiri tanpa sebarang tekanan,” jelas Gus Miftah semasa mengumumkan peletakan jawatannya.

Encik Sunhaji, 38 tahun, mendapat simpati meluas selepas kisahnya tular. Beliau tinggal di rumah mentuanya di Dusun Gesari, Magelang, bersama isteri dan dua anaknya.

Beliau pernah menjadi tukang kayu tetapi kini menjual teh ais dan air mineral selepas mengalami kecederaan tangan.

Walaupun hidupnya serba kekurangan, Encik Sunhaji rajin dan sering menjadi bilal masjid. Perniagaannya hanya mendatangkan keuntungan sekitar 10,000 rupiah ($0.85) sehari.

Selepas video tersebut tular, kehidupan Encik Sunhaji berubah. Rumahnya dipenuhi orang ramai, termasuk tokoh masyarakat dan pempengaruh, yang datang memberi bantuan.

Ini termasuk wang tunai 100 juta rupiah daripada pempengaruh Willie Salim, tajaan umrah percuma, dan sumbangan rumah baru bernilai 300 juta rupiah oleh Masjid Nurul Ashri.

Encik Sunhaji juga dipercayai mengumpul sumbangan sehingga 400 juta rupiah dalam seminggu.

“Saya berterima kasih atas semua bantuan. Wang ini akan saya gunakan untuk membuka warung makan,” katanya.

Encik Prabowo berkata pengganti Gus Miftah akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kami akan terus melibatkan Majlis Ulama Indonesia (MUI) dalam membangunkan keharmonian agama,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg