NEW YORK: Sebanyak 125 negara anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan bermesyuarat pada 24 Julai bagi menentukan sama ada Pendakwa Raya, Karim Khan, akan disingkirkan daripada jawatannya susulan dakwaan serangan seksual terhadap seorang kakitangan wanita, tuduhan yang dinafikannya sekeras-kerasnya.

Keputusan itu akan dibuat menerusi undian sulit dalam kalangan negara anggota pada mesyuarat tertutup yang berlangsung di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Majoriti mutlak diperlukan bagi meluluskan usul untuk menamatkan perkhidmatan Khan.

Pendakwa warga Britain berusia 56 tahun itu menggantung tugasnya secara sukarela pada Mei 2025 selepas siasatan terhadap dakwaan berkenaan dimulakan pada tahun sebelumnya.

Jun lalu, Biro Perhimpunan Negara-Negara Pihak (ASP), badan pentadbiran utama ICC yang dianggotai 21 negara, menggantung Khan daripada tugas rasminya sementara menunggu keputusan negara anggota.

Ketika mengumumkan penggantungan itu, biro berkenaan menegaskan tindakan tersebut bukan bermaksud Khan telah didapati bersalah, sebaliknya hanya langkah sementara sehingga proses membuat keputusan selesai.

Minggu lalu, wanita yang membuat dakwaan itu tampil buat kali pertama menceritakan pengalamannya dalam temu bual bersama CNN.

Peguam rakyat Malaysia itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah, pernah bertugas sebagai pembantu kanan dan pembantu peribadi Khan.

Beliau mendakwa gangguan yang dialaminya semakin meningkat sebelum bertukar menjadi serangan fizikal.

“Tiada apa yang boleh dianggap berlaku secara suka sama suka apabila wujud jurang kuasa yang begitu besar.

“Apa yang ramai orang tidak faham ialah Khan bukan sekadar ketua saya, tetapi ketua kepada semua kakitangan,” katanya.

Khan, yang memegang jawatan Pendakwa Raya ICC sejak 2021, menafikan semua tuduhan berkenaan.

Menerusi surat terbuka yang disiarkan di platform X minggu ini, peguam beliau menggesa negara anggota supaya tidak menyingkirkan Khan kerana mendakwa hak anak guam mereka untuk mempertahankan diri tidak diberikan secukupnya.

Menurut mereka, siasatan yang dijalankan tidak pernah membuktikan secara muktamad bahawa berlaku sebarang salah laku.

Mereka turut memberi amaran bahawa jika Khan disingkirkan berdasarkan proses yang didakwa tidak adil, ia akan memberi kesan kepada kebebasan semua pendakwa raya ICC pada masa hadapan.

“Kebebasan mempunyai harga. Jentera mahkamah boleh digunakan terhadap pegawainya sendiri apabila kebebasan mereka dianggap tidak lagi sesuai dengan kepentingan tertentu,” kata peguam Khan.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada beberapa kes berprofil tinggi yang dikendalikan Khan sepanjang memimpin pejabat pendakwa raya ICC.

Pada 2024, beliau mencetuskan perhatian dunia apabila berjaya mendapatkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berhubung dakwaan jenayah perang di Gaza.

ICC turut mengeluarkan waran tangkap terhadap beberapa pemimpin kanan Hamas yang kemudiannya terbunuh.

Tindakan itu menyebabkan Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap Khan dan beberapa hakim ICC.

Bekas Duta Khas Amerika Syarikat bagi Isu Jenayah Perang, Stephan Rapp, berkata walaupun proses siasatan mungkin mempunyai kelemahan, bukti yang dikumpulkan mencukupi untuk menyingkirkan Khan.

“Pada pandangan saya, bukti yang ada sudah lebih daripada mencukupi untuk beliau disingkirkan.
“Jika ICC mahu terus mengekalkan kredibilitinya, beliau mesti disingkirkan,” katanya kepada AFP.

Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan masa depan mahkamah itu.

“Jika tidak, ia mungkin menjadi pengakhiran kepada ICC.

“Keputusan itu akan memusnahkan kredibiliti mahkamah dan menjadikannya lebih mudah diserang oleh pihak yang memang mahu melemahkannya, termasuk Amerika Syarikat,” katanya. – AFP