BANDAR GAZA: Dalam kegelapan sebuah pasar di tengah Jaluran Gaza yang sering berdepan gangguan bekalan elektrik, sebuah skrin televisyen yang menayangkan perlawanan Piala Dunia menjadi tumpuan puluhan penduduk yang mahu melupakan seketika penderitaan hidup akibat perang.

Puluhan lelaki dan kanak-kanak berdiri terpaku menyaksikan perlawanan antara Belgium dengan Mesir, perlawanan yang amat dinantikan peminat bola sepak Palestin kerana mahu melihat aksi penyerang Mesir terkenal, Mohamed Salah.

Walaupun perlawanan berakhir seri 1-1, suasana tetap meriah apabila beberapa penyokong mengibarkan bendera besar Mesir sambil memanjat bahu rakan mereka.

Senyuman jelas kelihatan di wajah penduduk yang berhimpun di celah runtuhan bangunan di kawasan Nuseirat, wilayah yang musnah teruk akibat perang selama dua tahun antara Israel dengan Hamas.

Anggota Persatuan Bola Sepak Palestin, Encik Mustafa Siam, berkata Piala Dunia mempunyai makna besar buat rakyat Gaza yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Piala Dunia bukan perkara remeh bagi penduduk Gaza. Peminat bola sepak Palestin akan cuba mengikuti perlawanan untuk melupakan kebimbangan dan kesakitan yang mereka hadapi,” katanya, lapor agensi berita, AFP.

Beliau memakai jaket sukan merah, warna rasmi pasukan kebangsaan Palestin.

Di seluruh Gaza, pemilik kafe kecil dan premis sementara cuba menghidupkan semula suasana kejohanan bola sepak seperti tahun-tahun sebelum perang.

Di Al-Zawayda, sebuah khemah di kem penempatan penduduk yang dipindahkan dijadikan lokasi tontonan ramai menggunakan televisyen kecil.

Penonton duduk di atas kerusi plastik di atas pasir sambil bunyi generator lama bergema di sekeliling mereka.

Seorang penduduk, Encik Eid Al-Attar, berkata rakyat Gaza tetap cuba menikmati suasana Piala Dunia walaupun hidup dalam keadaan sukar.

“Kami cuba sedaya upaya rasai pengalaman Piala Dunia yang diminati semua peringkat umur,” katanya.

Beliau mengakui impiannya untuk menonton perlawanan Piala Dunia di stadium mungkin tidak akan tercapai.

“Sudah tentu itu impian setiap peminat bola sepak. Tetapi di Gaza, ia seakan mustahil kerana kami hidup di bawah pendudukan dan kepungan,” katanya.

Israel masih mengawal ketat semua pintu keluar masuk ke Gaza walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak Oktober lalu.

Hanya sebilangan kecil penduduk dibenarkan keluar atas sebab tertentu seperti rawatan perubatan.

Di Bandar Gaza, penduduk berusia 27 tahun, Encik Mazen al-Ghoul, berkata beliau menyaksikan majlis pembukaan Piala Dunia dengan perasaan sedih dan tertekan.

“Dunia sedang menikmati kehidupan, tetapi kami tidak mempunyai rumah, sekolah malah elektrik untuk menonton perlawanan,” katanya.

Ramai penduduk mengimbau suasana Piala Dunia 2022 di Qatar apabila ribuan peminat berkumpul di Stadium Palestin dan Stadium Yarmouk di Bandar Gaza, untuk menonton perlawanan secara beramai-ramai.

Kini, kebanyakan lokasi tontonan itu sudah musnah akibat perang.

Beberapa kafe kecil di tepi pantai masih menayangkan perlawanan, tetapi gangguan generator sering menyebabkan siaran terputus.

Pekerja premis terpaksa membaiki generator lama yang disambung menggunakan wayar elektrik usang.

Seorang lagi penduduk, Encik Marwan al-Sheikh, berkata suasana kini amat berbeza berbanding empat tahun lalu.

“Kami dahulu gembira. “Saya sudah tidak rasakan semangat itu lagi. Sekarang saya menonton bola sepak di kafe dalam khemah. Hidup kami berubah sepenuhnya,” tambah beliau.

Di pantai Khan Younis di selatan Gaza, sekumpulan belia pula bermain bola sepak di atas pasir sebagai cara melupakan trauma perang.

Ada yang bermain tanpa kasut sambil dilatih jurulatih sukarela yang mengadakan latihan secara sederhana.

Jurulatih pasukan itu, Encik Mohammad Abu Tah, berkata bola sepak menjadi satu-satunya pelarian buat ramai anak muda di Gaza.

“Bola sepak adalah satu-satunya tempat melarikan diri daripada realiti hidup,” katanya.

Rakannya, Encik Jaber al-Basheeti, berkata mereka cuba mengadakan “Piala Dunia sendiri” walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

“Piala Dunia kami berlangsung di tanah yang musnah, penuh luka dan penderitaan,” katanya sambil menyebut ramai pemain kehilangan anggota badan dan kemudahan sukan turut rosak teruk akibat perang.

Walaupun tiada stadium atau tempat duduk penonton, penduduk tetap hadir menyaksikan perlawanan dengan duduk di atas bongkah konkrit runtuhan bangunan di sekeliling padang sementara itu.

Bagi ramai penduduk Gaza, bola sepak kini bukan sekadar hiburan, malah lambang harapan untuk terus bertahan di tengah-tengah kemusnahan perang yang belum benar-benar berakhir. – Agensi berita.