GAZA: Rakyat Palestin mula mencari beribu-ribu penduduk Gaza yang dipercayai mati dan masih tertimbus di bawah runtuhan akibat perang pada hari kedua gencatan senjata antara Israel dengan Hamas dilaksanakan.
Gencatan senjata dalam perang selama 15 bulan yang telah memusnahkan Jaluran Gaza dan menggegarkan Timur Tengah itu berkuat kuasa pada 19 Januari dengan pembebasan pertama tiga tebusan Israel yang ditahan Hamas sebagai pertukaran dengan 90 tahanan Palestin daripada penjara Israel.
Kini perhatian mula beralih kepada pembinaan semula wilayah pantai yang telah dimusnahkan oleh tentera Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Menurut pihak berkuasa Israel, serangan Hamas itu telah membunuh 1,200 orang dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan di Gaza.
Tindakan balas dan berterusan Israel pula telah membunuh lebih 47,000 rakyat Palestin dan mencederakan beribu-ribu yang lain, kata Kementerian Kesihatan Gaza.
“Kami sedang mencari 10,000 mayat yang masih berada di bawah runtuhan bangunan,” kata Encik Mahmoud Basal, jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin.
Sekurang-kurangnya 2,840 mayat telah reput dan tidak dapat dicam, tambahnya.
Seorang penduduk Gaza, Encik Mohamed Gomaa, kehilangan abang dan anak saudaranya dalam perang itu.
“Ramai yang terkejut apabila melihat apa yang telah berlaku pada rumah mereka. Ia adalah kemusnahan dahsyat, bukan seperti akibat gempa bumi atau banjir tetapi akibat perang,” katanya.
Dengan meningkatnya bantuan disalurkan ke wilayah Palestin, penduduk melahirkan rasa gembira dengan harga yang lebih rendah dan bahan makanan semakin rencam.
“Harga telah turun, perang telah berakhir dan penyeberangan terbuka kepada lebih banyak barangan,” kata Cik Aya Mohammad-Zaki, dari Bandar Gaza.
Perjanjian itu menyaksikan 600 trak bantuan termasuk 50 yang membawa bahan api, dibenarkan masuk ke Gaza setiap hari sepanjang tempoh gencatan senjata awal selama enam minggu.
Separuh daripada trak bantuan akan dihantar ke utara – kawasan yang dikhuatiri dilanda masalah kebuluran.
Penduduk dan pegawai perubatan di Gaza berkata gencatan senjata nampaknya masih dipatuhi walaupun terdapat insiden terpencil. Pakar perubatan berkata lapan orang terkena tembakan Israel sejak pagi 20 Januari di bandar selatan Rafah, tanpa memberikan butiran keadaan mereka.
Tentera Israel berkata ia melepaskan tembakan amaran terhadap suspek yang mendekati tentera yang dikerahkan melaksanakan perjanjian gencatan senjata. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg