GAZA: Ribuan penduduk Palestin membanjiri jalan-jalan di seluruh Gaza apabila gencatan senjata antara Israel dengan Hamas bermula pada 19 Januari.
Sebahagian meraikan perjanjian itu, manakala yang lain mengunjungi kubur saudara-mara.
Ramai juga yang segera pulang untuk melihat keadaan rumah mereka yang ditinggalkan.
Penduduk Gaza, yang keletihan akibat perang selama 15 bulan, membawa khemah, pakaian dan barang keperluan peribadi sambil menuju ke kawasan kediaman mereka.
Di utara Gaza, kawasan Jabalia yang musnah menyaksikan ratusan penduduk berjalan melalui jalan berdebu yang dipenuhi runtuhan.
Bangunan yang pernah berdiri megah kini hanyalah longgokan konkrit dan logam yang remuk.
Encik Amal Abu Eita, salah seorang penduduk yang pulang ke rumahnya yang musnah, berkata: “Kami datang dengan harapan, mungkin ada satu bilik yang tersisa untuk berlindung. Namun, apa yang kami temui hanyalah runtuhan. Keadaannya sangat tragis.”
Sementara itu, barisan trak membawa bantuan kemanusiaan telah memasuki Gaza, 19 Januari, setelah perjanjian gencatan senjata antara Hamas dengan Israel berkuat kuasa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Encik Jonathan Whittall, Ketua Sementara Pejabat PBB bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (Ocha) untuk wilayah Palestin, menyatakan di media sosial bahawa trak bantuan pertama mula memasuki Gaza selepas usaha besar-besaran dilakukan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan.
Perjanjian gencatan senjata ini termasuk kemasukan 600 trak bantuan sehari selama enam minggu pertama, dengan separuh daripadanya diarahkan ke kawasan utara Gaza yang teruk terjejas.
Bantuan ini termasuk bahan bakar, bekalan makanan, dan rumah pasang siap untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Pertubuhan Makanan Dunia (WFP) menyatakan bahawa penghantaran bantuan pertama mula tiba pada pagi 19 Januari.
Seorang pegawai WFP berkata: “Keadaan di Gaza amat teruk, terutama di utara. Bantuan ini adalah langkah awal untuk mencegah kebuluran besar-besaran.”
Sumber Mesir yang enggan namanya didedahkan, berkata sebanyak 197 trak membawa bantuan dan lima lagi dengan muatan bahan api telah masuk melalui lintasan Kerem Shalom yang terletak antara Gaza dengan Israel dan juga al-Oga serta Nitzana (Mesir-Israel).
Di Khan Younis, kumpulan bersenjata Hamas disambut dengan sorakan oleh orang ramai. Mereka berarak dengan keyakinan sambil orang ramai berseru, “Salam kepada Briged Al-Qassam.”
Seorang anggota Hamas menyatakan: “Ini adalah gencatan senjata yang penuh dan menyeluruh, dengan izin Allah. Tidak akan ada lagi perang meskipun Netanyahu cuba menghalangnya.”
Namun, suasana optimis ini disertai dengan keraguan.
Encik Ahmed Abu Ayham, penduduk Bandar Gaza yang kini berlindung di Khan Younis, berkata: “Kami gembira kerana nyawa terselamat, tetapi ini bukan masa untuk meraikan. Kehilangan dan kemusnahan terlalu besar untuk dilupakan begitu sahaja.”
Di Rafah, sebuah keluarga yang pulang ke rumah lama mereka membawa beg pakaian, tin air dan tilam di atas trak kecil.
Encik Ahmed Abou Mohsen, 20 tahun, meluahkan rasa bercampur-baur.
“Ia perasaan yang sukar digambarkan, antara gembira dan pilu. Ada yang pulang hanya untuk mendapati rumah mereka sudah tiada,” katanya.
Di Jabalia, keluarga yang baru pulang mula menggunakan penyodok untuk membersihkan runtuhan di rumah mereka.
Bagi sesetengahnya, apa yang tinggal hanyalah kenangan dan harapan untuk membina semula kehidupan.
Walaupun gencatan senjata ini membawa harapan, cabaran besar menanti.
Kehancuran yang meluas dan kehilangan nyawa yang besar tidak akan mudah dilupakan.
Seorang penduduk, Cik Zakiya al-Masri, berkata: “Kami gembira kerana dapat kembali. Tetapi ini bukan kegembiraan penuh. Kami kehilangan ramai yang kami sayangi.”
Cik Aya, yang kehilangan tempat tinggal selama lebih setahun, berkata: “Perang ini mungkin sudah berakhir, tetapi kehidupan kami tidak akan sama lagi. Namun, sekurang-kurangnya tiada lagi pertumpahan darah, saya berharap begitu.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg