Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Humanity Matters siap sedia hantar bekalan bernilai $300,000 ke Gaza

Jan 19, 2025 | 3:09 PM
Dua kontena sebesar 40 kaki mengandungi bekalan bantuan kemanusiaan di Gudang Pacific International Lines di Singapura pada Disember 2024.
Dua kontena sebesar 40 kaki mengandungi bekalan bantuan kemanusiaan di Gudang Pacific International Lines di Singapura pada Disember 2024. - Foto HUMANITY MATTERS

Pasukan seramai lima orang daripada badan kemanusiaan dari Singapura, Humanity Matters (HM), berada di Jordan untuk menyediakan penghantaran bantuan terbarunya.

Persiapan itu dilakukan menjelang gencatan senjata Gaza yang sepatutnya berkuat kuasa pada 9.30 pagi waktu tempatan 19 Januari.

Pasukan itu sedang bekerjasama dengan rakan kerja tempatan di Jordan, Pertubuhan Amal Hashemite (JHCO) untuk menguruskan kelulusan dan penghantaran darat bagi dua kontena bantuan sebesar 40 kaki yang tiba di pelabuhan Aqaba dari Singapura, menurut satu kenyataan HM pada 18 Januari.

Kontena tersebut membawa bekalan bantuan sebanyak 20 tan seperti keperluan kesihatan, makanan, hidrasi dan barangan kebersihan untuk mangsa awam di Gaza.

Ini termasuk barangan cecair bagi penghidratan pesakit, ubat-ubatan untuk kanak-kanak dan dewasa serta makanan sedia dimakan seperti nasi dan kacang serta tin ‘jerry can’ yang boleh dilipat.

Bekalan ini telah dibungkus oleh seramai 300 sukarelawan pelbagai latar belakang di Singapura pada 1 Disember 2024.

Nilai bantuan ini dianggarkan berjumlah $300,000 dan dibiayai oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dari Singapura.

Mengulas tentang bantuan yang dihulurkan, penasihat khas HM, Encik Hassan Ahmad, yang berada di Amman berkata beliau berharap agar gencatan senjata tiga fasa tersebut dapat membawa lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Gaza dan pembebasan tebusan awam.

“Penting bagi badan kemanusiaan untuk bersedia memberikan respons dengan cepat dan berkesan ketika lebih banyak laluan bantuan dibuka semula,” ujar beliau.

Sejak November 2023, HM telah menghantar lebih 90 tan bantuan dengan nilai melebihi $970,000.

Ini demi membantu pelarian dan mangsa di Gaza melalui pelbagai laluan termasuk Rafah, Erez dan melalui udara.

Buat masa ini, Singapura telah menghantar enam pakej bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin dengan warga Singapura mendermakan lebih $18 juta.

Pada 17 Januari, pejabat Perdana Menteri Israel telah mengesahkan bahawa satu perjanjian telah dicapai dengan Hamas mengenai pembebasan tebusan.

Perjanjian ini dirangka dalam beberapa fasa. Dalam fasa pertama selama enam minggu, seramai 33 tebusan Israel, termasuk wanita, kanak-kanak, warga emas, dan individu sakit, akan dibebaskan.

Sebagai pertukaran, ratusan tahanan rakyat Palestin yang berada dalam penjara Israel akan dilepaskan.

Langkah gencatan senjata dijangka akan membuka laluan kepada ratusan trak bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan oleh penduduk Gaza.

Namun, pesawat perang dan artileri Israel menyerang kawasan utara Gaza pada 19 Januari dan pegawai perubatan Palestin berkata lapan orang terbunuh selepas Israel dan Hamas gagal melaksanakan gencatan senjata hingga masa yang ditetapkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg