RAMALLAH: Rakyat Palestin di Tebing Barat dan kawasan tengah Gaza mula mengundi pada 25 April dalam pilihan raya perbandaran, undian pertama sejak perang Gaza, yang dicirikan oleh medan politik sempit dan kekecewaan meluas.

Hampir 1.5 juta pengundi berdaftar di Tebing Barat yang diduduki Israel, serta 70,000 di Deir el-Balah di Gaza, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat di Ramallah.

Pusat mengundi dibuka pada pukul 7 pagi (12 tengah hari waktu Singapura).

Rakaman AFP dari Al-Bireh di Tebing Barat dan Deir el-Balah menunjukkan pegawai pilihan raya ketika rakyat Palestin datang mengundi.

Kebanyakan senarai pilihan raya sejajar dengan parti nasionalis-sekular Fatah pimpinan presiden Encik Mahmud Abbas atau bertanding sebagai calon bebas.

Tiada senarai yang bersekutu dengan Hamas, pesaing utama Fatah, yang mengawal hampir separuh Semenanjung Gaza.

Di kebanyakan bandar, calon yang disokong Fatah akan bertanding menentang calon bebas, termasuk daripada kumpulan seperti Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP).

“Kita mesti melihat perubahan setiap empat tahun melalui pilihan raya... Kita tidak boleh mengubah keadaan tetapi berharap dapat menggantikan individu dengan yang lebih baik,” kata Encik Khalid Eid, 55 tahun, selepas mengundi di Al-Bireh.

Majlis perbandaran bertanggungjawab terhadap perkhidmatan asas seperti air, perkhidmatan kebersihan dan prasarana tempatan, tanpa kuasa menggubal undang-undang.

Pihak berkuasa Palestin berdepan kritikan terhadap rasuah, kemerosotan dan kepercayaan awam yang semakin merosot.

Penderma Barat dan serantau semakin mengaitkan sokongan kewangan dan diplomatik dengan pembaharuan ketara, khususnya di peringkat tempatan, ketika pilihan raya nasional masih tergantung.

Tanpa pilihan raya presiden atau parlimen sejak 2006, majlis perbandaran menjadi antara institusi demokrasi yang masih berfungsi di bawah pentadbiran tersebut.

Penyelaras Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Dr Ramiz Alakbarov memuji suruhanjaya pilihan raya kerana menganjurkan “proses yang boleh dipercayai”.

“Pilihan raya Sabtu ini ialah peluang penting bagi rakyat Palestin melaksanakan hak demokratik mereka dalam masa mencabar,” katanya.

Encik Mahmud Bader, ahli perniagaan dari Tulkarem di utara Tebing Barat, di mana letaknya dua kem pelarian di bawah kawalan tentera Israel selama lebih setahun, berkata beliau akan tetap mengundi meskipun tiada harapan perubahan.

“Sama ada calon bebas atau berparti, tiada kesan atau manfaat kepada bandar ini,” katanya kepada AFP.

“Pemerintah Israel yang menguasai Tulkarem. Pilihan raya ini hanyalah gambaran kepada media antarabangsa – seolah-olah kita mempunyai pilihan raya atau kemerdekaan.”

Pusat mengundi di Tebing Barat ditutup pukul 7 malam, manakala di Deir el-Balah pukul 5 petang bagi memudahkan pengiraan pada waktu siang kerana kekurangan elektrik, kata suruhanjaya pilihan raya.

Dua tahun sejak perang bermula pada Oktober 2023 telah memusnahkan sebahagian besar Gaza dan mengorbankan lebih 72,000 orang, menurut kementerian kesihatan, dengan angka dianggap boleh dipercayai oleh PBB.

Prasarana awam, perkhidmatan kebersihan dan sektor kesihatan bergelut untuk berfungsi.

Gaza, di bawah kawalan Hamas sejak 2007, akan menyaksikan pengundian pertama sejak pilihan raya legislatif 2006 yang dimenangi gerakan Islamis itu.

Pihak berkuasa Palestin mengadakan pilihan raya hanya di Deir el-Balah “sebagai eksperimen” untuk menguji kejayaan atau kegagalan, kata Profesor Jamal al-Fadi, seorang saintis politik di dari Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Deir el-Balah dipilih kerana ia merupakan satu-satunya tempat di Gaza di mana kebanyakan penduduk kekal dan tidak dipindahkan akibat lebih dua tahun perang Hamas-Israel, katanya.

Suruhanjaya pilihan raya mendapatkan petugas pusat pengundi daripada organisasi masyarakat dan mengupah syarikat keselamatan swasta untuk mengawasi pusat mengundi, kata jurucakap Encik Fareed Taamallah.

Encik Mohammed al-Hasayna, 24 tahun, berkata walaupun pilihan raya itu simbolik, ia menunjukkan “tekad untuk hidup”.

“Kami masyarakat berpendidikan dengan semangat yang kuat dan berhak memiliki negara sendiri,” katanya.

“Kami mahu dunia membantu kami mengatasi bencana perang. Cukuplah perang – sudah tiba masanya untuk membina semula Gaza.” - AFP