BAITULMAKDIS: Ribuan rakyat Israel, termasuk penduduk petempatan haram Yahudi, aktivis haluan kanan dan beberapa anggota Kabinet, berarak menuju ke sempadan Gaza pada 19 Julai bagi mendesak pemerintah membenarkan petempatan Yahudi diwujudkan semula di wilayah Palestin yang musnah akibat peperangan.

Perarakan yang dinamakan, ‘Perarakan Ribuan’, itu diadakan sempena ulang tahun ke-21 pengunduran Israel dari blok petempatan Gush Katif di Gaza pada 2005.

Peserta berhimpun berhampiran Pantai Zikim sebelum berjalan beramai-ramai menuju pagar sempadan di utara Gaza sambil mengibarkan bendera Israel dan melaungkan cogan kata menyokong petempatan Yahudi.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) sebelum itu mengisytiharkan kawasan sekitar Gaza sebagai zon ketenteraan tertutup bermula pagi Ahad hingga pagi Isnin bagi menghalang peserta memasuki kawasan sempadan.

Bagaimanapun, ribuan peserta berjaya melepasi beberapa sekatan jalan yang didirikan tentera sebelum akhirnya dihalang berhampiran pagar sempadan Gaza.

Rakaman media menunjukkan anggota tentera dan polis membentuk benteng keselamatan bagi menghalang peserta mara lebih jauh ke dalam kawasan larangan.

Menurut kumpulan penduduk haram Nachala yang menganjurkan perarakan itu, seramai 28 menteri dan Ahli Parlimen daripada gabungan pemerintah turut menghadiri acara berkenaan.

Antara tokoh kanan yang hadir ialah Menteri Keselamatan Negara, Encik Itamar Ben Gvir; Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich; Menteri Komunikasi, Encik Shlomo Karhi; serta beberapa pemimpin daripada parti Likud pimpinan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu.

Penganjur berkata perarakan itu bertujuan memberi tekanan kepada pemerintah supaya meluluskan pembinaan semula tiga petempatan Yahudi di utara Gaza, iaitu Elei Sinai, Dugit dan Nisanit, yang dikosongkan ketika pelan pengunduran Israel pada 2005.

Sepanjang perarakan, ramai peserta memakai pelekat bertulis, ‘Gaza milik kami selama-lamanya’ dan membawa sepanduk menyeru pembinaan Kuil Ketiga Yahudi.

Sebahagian besar peserta hadir bersama ahli keluarga masing-masing.

Pengasas kumpulan Nachala, Cik Daniella Weiss, dilihat menggalakkan peserta meneruskan perjalanan sehingga ke kawasan yang menghadap bekas petempatan Elei Sinai, di mana bendera Israel kemudian dikibarkan.

Encik Ben Gvir memuji semangat peserta dan sekali lagi menyuarakan sokongannya terhadap petempatan Yahudi di seluruh Gaza.

“Jika tiga tahun lalu ada yang berkata kita akan menguasai 70 peratus wilayah Gaza, tiada siapa akan mempercayainya.

“Saya berkata dari sini, akan wujud petempatan Yahudi di seluruh Gaza. Galakkan penghijrahan secara sukarela penduduk Palestin ke negara lain dan kami akan kembali ke tanah kami. Gaza milik kami,” katanya.

Menteri Komunikasi, Encik Shlomo Karhi, turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperluaskan petempatan Yahudi di Gaza.

“Kita perlu membina petempatan di seluruh tanah yang diwariskan kepada nenek moyang kita bagi menunjukkan kepada musuh bahawa mereka tidak akan berjaya menghalang kita,” katanya.

Seorang peserta, Encik Daniel Sellem, berkata perarakan itu bertujuan menghantar mesej kepada pemerintah Israel dan masyarakat antarabangsa bahawa mereka mahu kembali menetap di Gaza.

“Hari ini kami berjalan untuk memberitahu pemerintah Israel dan seluruh dunia bahawa tanah ini milik kami dan Gaza benar-benar milik kami.

“Kami pernah tinggal di sana sebelum dipindahkan pada 2005. Kini kami mahu kembali dan berharap pemerintah akan meluluskan petempatan semula itu secepat mungkin,” katanya.

Seorang lagi peserta,Encik Yechiel Greenblum, menyifatkan perarakan itu sebagai permulaan kepada kempen lebih besar bagi mengembalikan masyarakat Yahudi ke Gaza.

“Ini hanyalah permulaan. Kami akan kembali ke Gaza, tempat orang Yahudi tinggal sejak ratusan malah ribuan tahun lalu. Pengunduran pada 2005 hanyalah sementara. Kami akan kembali,” katanya.

Perarakan itu mencerminkan tekanan yang semakin meningkat daripada kumpulan nasionalis dan penduduk haram Yahudi terhadap pemerintah Encik Netanyahu supaya mengubah dasar pengunduran Gaza yang dilaksanakan hampir dua dekad lalu.

Cadangan untuk mewujudkan semula petempatan Yahudi di Gaza bagaimanapun mendapat bantahan masyarakat antarabangsa, yang menganggap petempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Perhimpunan itu berlangsung ketika tentera Israel dilaporkan menguasai lebih 60 peratus kawasan Gaza walaupun gencatan senjata dengan Hamas masih berkuat kuasa.

Perang yang tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 telah memusnahkan sebahagian besar Gaza, mengorbankan puluhan ribu penduduk Palestin serta menyebabkan sebahagian besar wilayah itu tidak lagi sesuai didiami. – Agensi berita.