BANJARBARU (Indonesia): Anak-anak ke sekolah dalam jerebu tebal, penduduk mengalami batuk dan sesak nafas, manakala peniaga serta penternak menanggung kerugian apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda Kalimantan ketika fenomena El Nino kuat memburukkan musim kemarau.

Di Banjarbaru, Kalimantan Selatan, Cik Riri Jayanti, 38 tahun, berkongsi di media sosial gambar dua anaknya memakai pelitup muka untuk ke sekolah pada 19 Ogos ketika kawasan kediaman mereka diselubungi jerebu tebal.

Menurutnya, kawasan itu hampir tidak menerima hujan sejak tiga bulan lalu.

Kebakaran tanah pula kali ini berlaku lebih dekat dengan kawasan perumahan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Dulu, api tidak pernah sedekat ini. Kami hanya menerima kesan asap tebal,” katanya kepada BBC News Indonesia.

Cik Riri berkata keluarganya mengalami batuk akibat mutu udara yang buruk, manakala dua bayi dan beberapa warga emas di kawasan kejiranannya turut mengalami masalah pernafasan.

Apabila api semakin menghampiri rumah, penduduk terpaksa membantu menyiram air bagi menghalang kebakaran daripada merebak sebelum pasukan keselamatan dan penyelamat tiba.

Jerebu turut menyebabkan pihak berkuasa Banjarbaru mengubah waktu persekolahan.

Sekolah dibenarkan memulakan sesi pada 9 pagi jika jerebu terlalu tebal pada sebelah pagi.

Bagi Encik Dony Restu, 22 tahun, jerebu bukan pengalaman baharu.

Beliau berkata hampir sepanjang hidupnya, jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah berulang setiap musim kemarau.

“Baunya seperti sampah terbakar. Asapnya sangat tebal dan berbau hapak,” katanya.

Ketika memandu kira-kira 35 kilometer dari Banjarbaru ke kampusnya di Banjarmasin, beliau terpaksa memasang lampu kabut dan memperlahankan kenderaan kepada sekitar 30 hingga 40 kilometer sejam kerana jarak penglihatan terhad.

Keadaan itu turut menimbulkan persoalan baginya mengenai langkah pencegahan pemerintah.

“Mengapa pemerintah tidak memikirkan bagaimana hendak memastikan kebakaran hutan dan tanah tidak berulang? Mengapa perlu menunggu kebakaran berlaku sebelum semua pihak sibuk bertindak?” katanya.

Menurut Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Banjarbaru, sekitar 960 hektar tanah terbakar dalam beberapa hari kebelakangan ini, termasuk kawasan tanah gambut di Landasan Ulin.

Ketua Bahagian Kecemasan dan Logistik BPBD Banjarbaru, Encik Harun Arrasyid, berkata kebakaran tanah gambut sukar dipadamkan sepenuhnya dan memerlukan beberapa hari kerana api boleh terus membara di bawah permukaan.

Krisis itu turut menyebabkan kerugian kepada penduduk.

Penternak ayam, Encik Abdul Kholik, 38 tahun, kehilangan 230 ayam apabila kebakaran merebak ke ladangnya di Landasan Ulin Selatan pada 19 Ogos.

Beliau menganggarkan kerugian sekitar 50 juta rupiah ($3,900).

Isterinya, Cik Sri Wahyuni, 32 tahun, yang sedang hamil tiga bulan, pula mengalami sesak nafas dan batuk selepas terdedah kepada jerebu selama kira-kira seminggu.

“Yang sebelum ini masih ringan. Kali ini kawasan kanan dan kiri sudah terbakar. Keadaannya memang sangat teruk,” katanya.

Kesan terhadap kesihatan semakin membimbangkan.

Data Banjarbaru menunjukkan paras partikel halus PM2.5 melebihi 400 mikrogram bagi setiap meter padu pada awal pagi 19 Ogos, iaitu pada paras berbahaya.

Kes jangkitan saluran pernafasan akut juga meningkat daripada 829 kes kepada lebih 1,000 kes seminggu.

Secara keseluruhan, Banjarbaru merekodkan 23,646 kes sejak Januari hingga awal Ogos.

Kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas dikenal pasti sebagai antara golongan paling terdedah.

Di Pontianak, Kalimantan Barat, penduduk turut mengadu mata pedih dan sukar bernafas.

Mutu udara di bandar itu mencatat bacaan Indeks Mutu Udara 146 pada 20 Ogos, dalam kategori tidak sihat.

Kebakaran di Kalimantan Barat pula telah menjejas kira-kira 28,000 hektar kawasan.

Di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, jerebu turut menyelubungi beberapa jalan terutama pada sebelah pagi.

Seorang penduduk, Cik Hetty, 46 tahun, berkata asap dapat dirasakan walaupun berada di dalam rumah, sementara anaknya sudah mengalami batuk selama kira-kira dua minggu.

Keadaan itu lebih membimbangkannya kerana anaknya mempunyai sejarah masalah paru-paru. – Agensi berita.