MUZAFFARABAD (Kashmir): Ketika dentuman dan serangan udara memecah keheningan pagi 7 Mei, penduduk di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) di Kashmir yang ditadbir Pakistan bangkit dengan perasaan ngeri.
Selain korban jiwa, beberapa masjid dan bangunan kediaman turut mengalami kerosakan teruk.
Di Muzaffarabad, ibu kota Kashmir yang ditadbir Pakistan, Masjid Bilal dan kawasan sekitar turut menjadi sasaran.
Seorang remaja perempuan cedera sebelum disahkan maut, manakala masjid mengalami kerosakan.
Serangan ke atas Masjid Abbas pula meragut nyawa dua remaja – seorang pemuda berusia 18 tahun dan pemudi berumur 16 tahun.
Seorang ibu dan anak perempuannya turut cedera.
“Masjid Umm al-Quran juga dilaporkan menjadi sasaran empat serangan, dengan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan itu,” kata Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry.
Pemerintah Pakistan mengerahkan pasukan kecemasan dan unit tentera ke kawasan yang terjejas untuk membantu mangsa dan menilai kerosakan.
Di kampung kecil seperti Chilyana dan Athmuqam, hanya beberapa kilometer dari LoC, suasana cemas menyelubungi setiap rumah.
Penduduk menggali semula lubang perlindungan bawah tanah yang ditinggalkan sejak konflik terdahulu.
Anak-anak kecil belajar asas pertolongan cemas, sementara ibu bapa mula menyimpan bekalan makanan dan ubat-ubatan untuk bertahan.
“Kami sudah melalui ini banyak kali. Tapi kali ini lebih menakutkan. Dentuman peluru sangat dekat, anak-anak saya tidak berhenti menangis,” kata Cik Halima Bibi, 42 tahun, ibu lima anak, ketika ditemui di luar rumahnya yang retak akibat gelombang letupan di daerah Neelum.
Suaminya, seorang petani kecil, kini tidak lagi keluar ke ladang kerana bimbang diserang sewaktu bekerja.
Mereka kini hanya bergantung pada beras yang disimpan dalam karung di dapur.
Beberapa keluarga yang tinggal lebih dekat dengan sempadan telah mula berpindah ke kawasan lebih selamat seperti Muzaffarabad dan Bagh.
Namun proses pemindahan tidak mudah.
Jalan raya utama banyak ditutup dan kenderaan awam sukar didapati.
“Kami terpaksa berjalan kaki selama dua jam membawa nenek dan anak-anak kecil. Tiada bantuan rasmi setakat ini.
“Kami hanya bergantung pada saudara-mara,” kata Encik Shah Nawaz, 35 tahun, dari kampung Sharda.
Di Muzaffarabad, sebelum serangan, sekolah awam masih dibuka, tetapi hampir semua madrasah diarahkan tutup oleh pihak berkuasa.
Kawasan pasar pula mula sunyi, dan banyak kedai ditutup lebih awal dari biasa.
“Orang ramai enggan keluar rumah. Suasana jadi muram. Kami hanya buka separuh hari kerana khuatir serangan akan berlaku lagi,” kata seorang tukang roti tempatan, Encik Azeem Gilani.
Beliau menunjukkan roti yang tidak terjual.
Pelanggannya semakin berkurang dan pembekal juga takut menghantar bahan mentah.
Bulan Mei sepatutnya menandakan kemuncak musim pelancongan di Kashmir.
Tetapi sejak kejadian pada April dan serangan balas, sektor itu runtuh sekelip mata.
Hotel kosong, kawasan perkelahan ditinggalkan dan peniaga kecil kehilangan pendapatan.
“Sebelum ini, saya menjual teh dan jagung rebus dekat air terjun.
“Sekarang, tiada seorang pun pelancong. Saya tidak tahu bagaimana nak beri makan anak-anak saya,” kata Encik Bashir Ahmad, 50 tahun, yang bergantung sepenuhnya kepada pelancong tempatan.
Pemilik sebuah rumah tumpangan di kawasan pinggir Muzaffarabad, Encik Shahid Chaudhary, berkata kesemua 42 biliknya kosong.
“Kami terpaksa buang pekerja. Kos operasi terlalu tinggi. Jika ini berlarutan, kami mungkin terpaksa tutup,” katanya. –Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg