HONG KONG: Beribu-ribu penduduk Hong Kong yang kehilangan rumah akibat kebakaran besar pada 2025 buat pertama kali dijangka kembali mulai 20 April untuk mengumpul barang-barang mereka yang tersisa.

Kebakaran paling dahsyat di bandar ini dalam beberapa dekad telah mengorbankan 168 orang apabila ia memusnahkan tujuh daripada lapan blok pangsapuri di kompleks perumahan pencakar langit Wang Fuk Court pada November tahun lalu.

Buat pertama kalinya sejak itu, kira-kira 6,000 penduduk akan diberi tempoh selama tiga jam untuk memasuki rumah mereka mulai 20 April dan mendapatkan barang-barang mereka.

Dengan 1,700 flat untuk diuruskan, pihak berkuasa berharap proses itu akan selesai menjelang awal Mei.

Para pegawai telah menasihati penduduk supaya bersedia secara mental, dengan jabatan bomba memberi amaran bahawa lebih daripada 920 rumah telah rosak dan sebahagiannya musnah sepenuhnya akibat kebakaran itu.

Imej yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa menunjukkan siling dan dinding beberapa flat telah runtuh atau hangus dan bahagian dalamnya dipenuhi dengan serpihan.

Kompleks perumahan di daerah Tai Po itu telah dikepung sebagai “zon bahaya”, sementara kerja-kerja pengukuhan telah dijalankan di bahagian struktur bangunan yang terjejas.

Encik Harry Leung, salah seorang penduduk terakhir yang meninggalkan kompleks itu pada hari kebakaran, menyatakan bahawa beliau dilamun emosi yang bercampur-baur tentang kepulangannya.

Walaupun ingin melihat rumah yang telah lama didiami itu, Encik Leung berkata beliau kecewa dengan tempoh singkat tiga jam yang dibenarkan untuk meluang masa di rumahnya itu.

Pihak berkuasa Hong Kong telah menawarkan untuk membeli semula pangsapuri tersebut pada harga pasaran tetapi berkata bahawa pembinaan semula kompleks itu “tidak boleh dilaksanakan”.

“Saya percaya terdapat beberapa orang yang tidak mahu menerima tawaran pemerintah itu tetapi mereka tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menerimanya,” kata Encik Leung.

“Jika saya mempunyai pilihan, saya benar-benar tidak mahu meninggalkan (Wang Fuk Court),” katanya.

Cik Betty Ho, yang merancang untuk kembali pada Mei ke flat yang didiaminya lebih 30 tahun, berkata apa yang paling ingin diambilnya ialah album foto zaman kanak-kanaknya.

“Seluruh harta benda keluarganya berada di dalam bangunan itu”, katanya sambil menyatakan bahawa beliau tidak pasti sama ada barang-barang tersebut terselamat atau telah musnah.

Selepas kebakaran, Cik Ho berpindah ke perumahan sementara yang disediakan untuk penduduk Wang Fuk Court berhampiran estet tersebut. - AFP