Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk larikan diri dari hospital di Gaza jelang serangan Israel

Feb 15, 2024 | 1:18 PM
Penduduk Palestin meninggalkan bandar Khan Younis sedang Israel melancarkan kempen ketenteraan di wilayah selatan Gaza.
Penduduk Palestin meninggalkan bandar Khan Younis sedang Israel melancarkan kempen ketenteraan di wilayah selatan Gaza. - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS: Beratus-ratus penduduk Palestin meninggalkan salah satu hospital terakhir yang masih berfungsi di Jaluran Gaza pada 14 Februari, selepas tentera Israel mengarahkan mereka keluar dan mengancam tindakan lanjut untuk menghentikan kegiatan Hamas di situ.

Menurut Dr Mohammed Abu Lehya, yang bertugas di situ, ribuan rakyat Palestin telah berlindung di Kompleks Perubatan Nasser di bandar selatan Khan Younis selama berminggu-minggu, dan ramai yang takut tentera Israel akan mengebom atau menyerbu kompleks tersebut.

Cik Hanin Abu Tiba, 27 tahun, guru bahasa Inggeris yang berlindung di hospital itu, berkata:

“Saya takut untuk meninggalkan hospital dan ditembak. Tetapi di dalam kompleks, bekalan elektrik, air terputus, dan makanan dalam tin hampir habis. Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan.”

Dr Abu Lehya, dalam mesej WhatsApp pada 14 Februari, menyatakan keadaan di hospital itu sungguh “di luar imaginasi”.

Ketegangan di hospital itu berlaku sedang Israel melakukan serangan udara di selatan Lebanon pada 14 Februari sebagai tindak balas kepada serangan roket ke atas utara Israel.

Serangan roket ke atas pangkalan tentera berhampiran bandar Safed, membunuh seorang askar dan mencederakan lapan orang, kata pihak berkuasa Israel.

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab tetapi Hezbollah, militan Lebanon yang bersekutu dengan Hamas, dikatakan melakukan serangan tersebut.

Tentera Israel telah meluaskan serangan di Khan Younis selama berminggu-minggu dengan sasaran terhadap militan Hamas di bandar itu.

Pemimpin Israel turut berikrar untuk menyerang Rafah, yang mereka sifatkan sebagai kubu terakhir Hamas.

Lebih sejuta penduduk Palestin mencari perlindungan di Rafah, selatan Gaza, menimbulkan kebimbangan antarabangsa sekiranya Israel memulakan operasi ketenteraan berskala besar di situ.

Tentera Israel pada 14 Februari menuduh Hamas menjalankan kegiatan ketenteraan dan menahan tebusannya di kawasan Hospital Nasser.

Tentera Israel telah mengarahkan orang awam yang berlindung di situ supaya pergi ke kawasan lebih selamat di selatan dan tengah Gaza menerusi laluan yang telah dibukanya.

Satu video yang dikongsi di media sosial pada 14 Februari dan disahkan oleh The New York Times menunjukkan penduduk berpusu-pusu meninggalkan Hospital Naseer tatkala letupan kedengaran di latar belakang.

Dalam pada itu, para perunding bertemu di Kahirah, Mesir, untuk perbincangan hari kedua bagi mencapai persetujuan gencatan senjata.

Seorang pegawai Mesir menyifatkan rundingan itu sebagai positif.

Bagaimanapun, media Israel melaporkan bahawa Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, telah menarik keluar delegasi Israel daripada rundingan gencatan senjata itu.

Sementara itu, Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, menggesa Hamas dan Israel supaya mencapai persetujuan gencatan senjata yang boleh menghalang pencerobohan Israel yang dahsyat di Rafah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg