Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan di sempadan Thai-Kemboja berterusan meski Trump seru gencatan senjata

Jul 27, 2025 | 5:23 PM
Konflik Thai-Kemboja, serangan, Trump, gencatan senjata
Sebuah hospital mengalami kerosakan akibat tembakan Kemboja di wilayah Sisaket. Ini sedang Kemboja dan Thailand masing-masing berkata satu sama lain telah melancarkan serangan artileri merentasi kawasan sempadan yang dipertikaikan pada awal Ahad, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengatakan yang pemimpin kedua-dua negara telah bersetuju mengusahakan gencatan senjata. - Foto REUTERS

BANGKOK/PHNOM PENH: Kemboja dan Thailand masing-masing menuduh satu sama lain sebagai melancarkan serangan artileri di kawasan sempadan yang dipertikaikan pada awal 27 Julai, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata pemimpin kedua-dua negara itu bersetuju untuk mengusahakan langkah gencatan senjata.

Kemboja menyatakan sokongan padu terhadap seruan Encik Trump agar gencatan senjata dilaksanakan segera. 

Thailand pula berkata walaupun ia menghargai keprihatinan Encik Trump, perbincangan tidak dapat dimulakan selagi Kemboja terus menyasarkan orang awam – satu dakwaan yang dinafikan Phnom Penh.

“Syarat kami adalah kami tidak mahu penglibatan negara ketiga tetapi menghargai keprihatinan beliau (Encik Trump),” kata Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, kepada wartawan sebelum berangkat melawat kawasan sempadan.

“Kami telah mencadangkan satu pertemuan dua hala antara menteri luar kedua-dua negara bagi memuktamadkan syarat-syarat gencatan senjata serta pengunduran tentera dan penggunaan senjata jarak jauh,” tambah Encik Phumtham.

Kemboja mendakwa Thailand memulakan serangan pada pagi 27 Julai dan pasukan tenteranya sedang dikerahkan di sepanjang sempadan. 

Thailand pula berkata ia hanya bertindak balas terhadap serangan yang dilancarkan Kemboja.

“Saya telah menjelaskan kepada Presiden Donald Trump bahawa Kemboja bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara kedua-dua pasukan bersenjata,” kata Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, dalam satu hantaran di Facebook.

Encik Hun berkata beliau turut bersetuju dengan cadangan gencatan senjata yang dikemukakan Malaysia sebelum ini.

Jumlah korban setakat ini telah melebihi 30 orang, termasuk 13 orang awam di Thailand dan lapan di Kemboja manakala lebih 200,000 orang telah dipindahkan dari kawasan sempadan, kata pihak berkuasa kedua-dua negara.

Kementerian Pertahanan Kemboja pula mendakwa Thailand telah melancarkan serangan meriam dan serangan darat di beberapa lokasi sepanjang sempadan pada pagi 27 Julai.

Jurucakap kementerian itu berkata pihak Thailand telah melepaskan tembakan artileri berat ke kompleks kuil bersejarah Kemboja.

Penduduk mencari perlindungan di dalam sebuah kubu di wilayah Sisaket, ketika Kemboja dan Thailand berkata masing-masing melancarkan serangan artileri merentasi kawasan sempadan yang dipertikaikan awal 27 Julai.
Penduduk mencari perlindungan di dalam sebuah kubu di wilayah Sisaket, ketika Kemboja dan Thailand berkata masing-masing melancarkan serangan artileri merentasi kawasan sempadan yang dipertikaikan awal 27 Julai. - Foto REUTERS

Tentera Thailand pula berkata pasukan Kemboja telah melepaskan tembakan ke beberapa kawasan, termasuk berhampiran kediaman orang awam, serta sedang membuat persediaan untuk melancarkan roket jarak jauh. 

“Para tentera akan terus menjalankan tugas mereka dengan sepenuh tenaga – jadi rakyat Thailand tidak perlu bimbang – sehingga kerajaan mencapai persetujuan jelas bahawa rakyat tidak berada dalam bahaya dan bagi memastikan kita menjaga kepentingan negara demi keamanan yang kita impikan,” kata Encik Phumtham.

Di bahagian selatan wilayah timur laut Thailand, Sisaket, wartawan Reuters mendengar bunyi tembakan peluru berpandu sepanjang 27 Julai, namun pihak yang terlibat tidak dapat dipastikan.

Encik Trump berkata pada 26 Julai bahawa beliau telah berbincang dengan perdana menteri Thailand dan Kemboja, dan kedua-dua pemimpin bersetuju mengadakan pertemuan segera bagi merangka usul gencatan senjata untuk mengakhiri pertempuran yang bermula pada 24 Julai.

“Kedua-dua pihak sedang menanti gencatan senjata serta keamanan segera,” tulis Encik Trump di media sosial, sambil menambah rundingan tarif dengan kedua-dua negara ditangguhkan sehingga pertempuran berakhir.

Konflik antara dua negara berjiran itu bermula sejak kematian seorang tentera Kemboja pada akhir Mei dalam satu pertempuran singkat. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg