BANGKOK/PHNOM PENH: Thailand dan Kemboja bertempur untuk hari ketiga pada 26 Julai, dengan jumlah kematian dalam pertempuran paling berdarah sejak bertahun-tahun itu meningkat kepada 33 orang, sementara Phnom Penh menyeru untuk langkah “gencatan senjata segera”.
Pertikaian sempadan yang berlarutan bertukar menjadi sebuah konflik sengit melibatkan pelbagai aset ketenteraan seperti jet pejuang, artileri, kereta kebal dan tentera darat pada 24 Julai.
Situasi itu mendorong Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan mesyuarat kecemasan mengenai konflik itu pada 25 Julai.
Thailand memaklumkan angkatan lautnya telah menyertai tentera darat dalam menangkis serangan Kemboja.
Operasi tentera laut pada awal 26 Julai itu berlaku menyusuli tindakan tentera Kemboja menceroboh tiga lokasi berbeza di wilayah Trat di timur Thailand, menurut Kementerian Pertahanan Thailand.
Operasi serangan balas oleh angkatan laut itu berjaya membuat tentera Kemboja yang menceroboh wilayah Thailand itu mengundurkan diri, jelas kenyataan tersebut.
Menurut Kementerian Pertahanan Kemboja, seramai 13 orang disahkan terbunuh dalam pertempuran itu, termasuk lapan orang awam dan lima askar, dengan 71 orang cedera.
Tentera darat Thailand pula melaporkan bahawa seramai lima askar telah terkorban pada 25 Julai, menjadikan angka kematian negara itu sebanyak 20 orang – 14 awam dan enam anggota tentera.
Jumlah korban di kededua negara kini melebihi rekod 28 kematian yang dicatatkan dalam pusingan pertempuran besar sebelum ini yang tercetus antara 2008 dan 2011.
Kededua pihak melaporkan bahawa pertempuran tercetus sekitar 5 pagi (6 pagi waktu Singapura), dengan Kemboja menuduh tentera Thailand melepaskan “lima peluru artileri berat” ke beberapa lokasi di wilayah Pursat, yang bersempadan dengan wilayah Trat di Thailand.
Pertempuran itu menyebabkan lebih 138,000 orang dipindahkan dari kawasan sempadan Thailand, manakala lebih 35,000 penduduk Kemboja kehilangan tempat tinggal.
Selepas mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan PBB di New York, duta Kemboja ke PBB, Encik Chhea Keo, berkata negaranya mahukan gencatan senjata.
“Kemboja memohon gencatan senjata secara serta-merta – tanpa syarat – dan kami juga menyeru agar pertikaian ini diselesaikan secara aman,” katanya kepada wartawan.
“(Majlis Keselamatan) menggesa kededua pihak supaya menunjukkan tahap kawalan diri yang tinggi dan menyelesaikan pertikaian ini melalui saluran diplomatik. Itulah juga yang kami seru,” tambah Encik Chhea.
Sebelum mesyuarat PBB diadakan, Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Encik Nikorndej Balankura, pada 25 Julai berkata Bangkok bersedia mengadakan rundingan, termasuk melalui perantaraan Malaysia selaku pengerusi perkumpulan serantau Asean yang dianggotai kededua negara tersebut.
“Kami bersedia, jika Kemboja mahu menyelesaikan perkara ini melalui saluran diplomatik, secara dua hala, atau pun melalui Malaysia, kami terbuka untuk itu. Tetapi setakat ini kami belum menerima sebarang maklum balas,” kata Encik Nikorndej kepada AFP.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, turut memberi amaran bahawa jika situasi terus memuncak, “ia boleh tukar menjadi perang”.
Kededua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana melepaskan tembakan terlebih dahulu, sementara Thailand menuduh Kemboja menyasarkan prasarana awam, termasuk sebuah hospital dan stesen minyak.
Kemboja pula menuduh tentera Thailand menggunakan peluru berangkai.
Pertempuran ini menandakan peningkatan ketara dalam pertikaian yang telah berlarutan antara kededua negara jiran itu berhubung sempadan bersama sepanjang 800 kilometer.
Terdapat beberapa lokasi yang masih dipertikaikan, dan pertempuran pernah tercetus antara 2008 dan 2011, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 28 nyawa dan memaksa puluhan ribu penduduk berpindah.
Keputusan mahkamah PBB pada 2013 telah menyelesaikan pertikaian itu, namun krisis semasa tercetus semula pada Mei apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempuran baru. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg