PALU (Sulawesi): Gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 menggegarkan wilayah Sulawesi Tengah di Indonesia pada 16 Jun, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang penduduk, mencederakan puluhan orang serta merosakkan rumah dan prasarana awam di beberapa daerah.

Gempa itu turut mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di sekitar bandar Palu yang masih dihantui tragedi gempa bumi dan tsunami dahsyat pada 2018.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) berkata sekurang-kurangnya 109 penduduk daripada 45 keluarga terjejas akibat gempa berkenaan.

Jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari, berkata seramai 32 orang cedera termasuk 24 mangsa mengalami kecederaan ringan dan lapan lagi cedera parah.

“Data korban dan kerosakan masih dalam proses pengesahan dan akan terus dikemas kini,” katanya.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG), gempa itu berlaku di daratan pada kedalaman 10 kilometer dengan pusat gempa terletak pada kedudukan 1.03 darjah lintang selatan dan 120.24 darjah bujur timur.

Pusat gempa dikesan kira-kira 42 kilometer tenggara Palu, 54 kilometer timur laut Sigi, 70 kilometer barat laut Poso dan 81 kilometer tenggara Donggala.

Daerah Sigi menjadi kawasan paling teruk terjejas apabila seramai 69 penduduk daripada 24 keluarga terkesan akibat gegaran kuat itu.

Sigi turut mencatatkan 21 kecederaan ringan dan kesemua lapan kecederaan serius yang dilaporkan pihak berkuasa.

Di Poso pula, seramai 40 penduduk daripada 21 keluarga terjejas manakala dua penduduk di Palu mengalami kecederaan ringan.

Pihak berkuasa berkata seorang lagi mangsa di Poso turut cedera dan masih menjalani pemeriksaan lanjut.

Penilaian awal mendapati sekurang-kurangnya 64 rumah rosak termasuk empat rumah di Poso yang mengalami kerosakan ringan.

Gempa itu turut merosakkan empat rumah ibadat, empat kemudahan awam, dua jambatan, dua bangunan pejabat kerajaan dan sebuah premis perniagaan.

Sebahagian jalan wilayah yang menghubungkan Palu, Sigi dan Poso turut terputus akibat runtuhan.

Data terkini menunjukkan jumlah gegaran susulan meningkat kepada sekurang-kurangnya 71 gegaran sepanjang hari, sekali gus meningkatkan kebimbangan penduduk yang masih trauma dengan tragedi pada 2018.

Gegaran kuat menyebabkan ramai penduduk bertempiaran keluar dari rumah dan bangunan untuk berlindung di kawasan lapang.

Beberapa hospital di Palu turut memindahkan pesakit ke luar bangunan sebagai langkah keselamatan, termasuk pesakit yang masih menerima rawatan melalui saluran tiub air dan ubat.

Empat wilayah berhampiran pusat gempa dengan jumlah penduduk sekitar 1.3 juta orang masih belum selesai dinilai sepenuhnya.

Laporan awal menyatakan sekurang-kurangnya 312 penduduk terpaksa dipindahkan akibat gempa kuat itu.

Penduduk Palu, Encik Muhtar Ahmad, berkata ramai penduduk memilih berada di luar rumah kerana masih trauma dengan bencana besar sebelum ini.

“Gegaran gempa sangat kuat. Kami masih trauma dengan gempa sebelum ini, jadi kami memilih berada di luar kerana bimbang gegaran susulan akan terus berlaku,” katanya.

Penduduk di kawasan pesisir pantai turut bertindak menjauhi laut sebagai langkah berjaga-jaga kerana bimbang gempa itu mencetuskan tsunami.

Bagaimanapun, BMKG mengesahkan tiada ancaman tsunami dikesan walaupun gegaran susulan dijangka masih boleh berlaku.

Imej dari lokasi kejadian menunjukkan beberapa bangunan mengalami kerosakan teruk dengan bumbung runtuh sebahagian, dinding retak dan serpihan berselerakan di jalan raya.

Pengurus besar sebuah hotel empat bintang di Palu, Encik Effendi Natali, berkata semua tetamu dipindahkan keluar dari bangunan selepas gempa berlaku.

“Kami memindahkan semua tetamu hotel termasuk beberapa tetamu yang masih berada di dalam bilik. Semua panik, itu reaksi biasa ketika gempa berlaku, tetapi semuanya selamat,” katanya.

Menurut beliau, hotel itu hanya mengalami kerosakan kecil.

Ramai penduduk Sulawesi masih dibayangi tragedi gempa bumi bermagnitud 7.5 yang melanda Palu pada 2018 dan mencetuskan tsunami setinggi tiga meter selain fenomena pencairan tanah.

Bencana itu mengorbankan lebih 4,000 orang selepas beberapa kawasan penempatan ditelan tanah yang runtuh.

Pada Januari 2021 pula, gempa bumi bermagnitud 6.2 berhampiran bandar Mamuju di Sulawesi mengorbankan sekurang-kurangnya 100 orang dan menyebabkan ribuan penduduk tinggal di luar rumah selama beberapa hari kerana takutkan gegaran susulan.

Indonesia yang mempunyai lebih 17,000 pulau sememangnya terdedah kepada gempa bumi dan letusan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan aktif yang mempunyai banyak gunung berapi dan garis sesar bumi. – Agensi berita.