Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertumpahan darah di Jenin: Rakyat Palestin bimbang keganasan berterusan

Jul 17, 2023 | 5:30 AM
TIADA PENYELESAIAN: Anggota delegasi utusan antarabangsa melihat puing-puing runtuhan semasa lawatan ke kem pelarian Palestin di Jenin, Tebing Barat yang diduduki Israel, pada 8 Julai.
TIADA PENYELESAIAN: Anggota delegasi utusan antarabangsa melihat puing-puing runtuhan semasa lawatan ke kem pelarian Palestin di Jenin, Tebing Barat yang diduduki Israel, pada 8 Julai. - Foto AFP

Kerak abu hitam yang tebal mendap jelas kelihatan di atas turapan jalan raya di tengah-tengah Jenin yang kembali memanas.

Ia datang daripada pembakaran tayar yang dipasang para pemuda Palestin apabila mereka melihat jip pasukan keselamatan Israel. Sebahagian daripada mereka membawa batu atau bom buatan sendiri untuk dibaling ke arah kenderaan Israel yang lalu lalang.

Letupan dan tembakan bergema di kem pelarian, yang terletak di kawasan tinggi di atas pusat bandar. Dengungan dron Israel sentiasa kedengaran di angkasa.

Adakalanya, rakyat Palestin yang bersenjata muncul di sebalik asap tayar untuk melepaskan tembakan ke arah tentera Israel.

Keganasan antara Palestin dengan Israel berlaku hampir saban hari pada tahun ini.

Apabila berlaku pertumpahan darah, selalunya terdapat tindak balas termasuk daripada kumpulan bersenjata Palestin, tentera Israel dan orang Yahudi di penempatan di Tebing Barat yang diduduki menyalahi undang-undang antarabangsa.

Pihak Israel berkata mereka menjuruskan perhatian terhadap kem di Jenin kerana lebih 50 serangan baru-baru ini dilancarkan dari sana.

Tetapi punca keganasan, perasaan putus asa dan kebencian jauh lebih mendalam daripada konfrontasi ganas yang bertitik tolak daripada konflik pemilikan tanah yang bermula lebih satu abad lalu.

Pada 1990-an, terdapat harapan keamanan mungkin menjelma jika sebuah negara Palestin yang merdeka dapat ditubuhkan bersama Israel, yang dipanggil penyelesaian dua negara. Percubaan itu gagal.

Negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat, anggota-anggota Kesatuan Eropah dan United Kingdom masih menegaskan bahawa pembentukan dua negara mungkin satu-satunya penyelesaian.

Namun, kata-kata mereka adalah slogan kosong. Percubaan terakhir untuk cuba menjadikan idea itu satu kenyataan dibuat Amerika pada 2014.

Operasi Israel di Jenin berlegar di udara selama berbulan-bulan. Walaupun serangan Israel yang lebih kecil, kumpulan bersenjata Palestin telah menjadi cukup kuat dan cukup bersatu untuk mengawal kem pelarian Jenin. Malah, mereka kelihatan semakin kuat.

Dua minggu lalu, mereka meletupkan sebuah jip Israel dan berjuang keras untuk menangkis serbuan Israel yang menyaksikan beberapa orang Palestin maut termasuk seorang gadis berusia 15 tahun.

Keesokan harinya empat warga Israel dibunuh oleh dua warga Palestin yang menceroboh masuk ke sebuah restoran tidak jauh dari Jenin, tempat mereka sedang makan.

Tentera Israel melindungi peneroka Yahudi yang mengamuk dengan membakar kereta dan rumah dalam beberapa siri tindak balas di perkampungan Palestin.

Ia menunggu masa sebelum tentera Israel bergerak menentang rakyat Palestin yang mengawal kem pelarian Jenin. Tentera Israel berkata ia sedang menjalankan operasi sistematik untuk mengesan dan memusnahkan senjata dan bahan letupan orang Palestin.

Kemarahan dan kekecewaan dapat dilihat pada sekumpulan pemuda Palestin yang berkumpul di persimpangan jalan di bandar dan di luar hospital di pinggir kem pelarian Jenin.

Penghalang tayar mereka yang terbakar meninggalkan bulatan hitam dan timbunan getah terbakar dan wayar berpintal.

Tentera Israel mengeluarkan maklumat terkini mengenai bahan letupan yang ditemui dalam dua hari berada di kem itu, bersama-sama dengan apa yang dipanggil pusat arahan pengganas.

Nada komunikasi tentera didapati berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh anggota kabinet Israel yang menentang sebarang jenis penentuan nasib Palestin.

Selepas seorang warga Palestin ditembak mati di Tel Aviv oleh orang yang lalu lalang selepas beliau merempuh keretanya ke arah sekumpulan orang Israel, menteri keselamatan awam, Encik Itamar Ben Gvir, mengeluarkan kenyataan bahawa perang Israel di Jenin juga merupakan perang mereka di Tel Aviv. Setiap orang Yahudi, katanya, menjadi sasaran pembunuh.

Encik Ben Gvir dan sekutu politiknya telah mendesak agar satu tindakan menghukum dijalankan di Tebing Barat untuk menangani musuh mereka. Namun, tentera Israel lebih berhati-hati kerana bimbang tentang risiko dan akibat peningkatan keganasan.

Semua petunjuk mengarah kepada rancangan tentera Israel untuk membataskan operasinya di kem pelarian Jenin, mengisytiharkan kemenangan tidak lama lagi dan mengarahkan tenteranya kembali ke pangkalan mereka.

Kemenangan Israel selepas operasi seperti ini tidak bertahan lama.

Kumpulan bersenjata Palestin mengisi kembali gudang senjata mereka dan kitaran bermula semula. Rancangan untuk meluaskan penempatan orang Yahudi di tanah yang mereka duduki itu juga menyebabkan kemarahan rakyat Palestin yang mahukan tanah tersebut untuk dijadikan sebuah negara.

Ramai rakyat Palestin kecewa dengan pemimpin mereka sendiri yang sudah tua dan tidak berkesan dalam badan Penguasa Palestin.

Badan tersebut merupakan warisan proses damai 1990-an yang sepatutnya membina institusi untuk mewujudkan negara mereka sendiri.

Apabila operasi ini tamat, kedua-dua pihak akan mengaku meraih kemenangan. Kemudian realiti semasa konflik yang panjang akan muncul.

Kemarahan perasaan putus asa dan kemiskinan akan mengukuhkan budaya penentangan yang telah menjiwai masyarakat Palestin, khususnya di Jenin dan Nablus. Dan kerajaan sayap kanan Israel akan cuba memadankan retoriknya dengan tindakan.

Bahaya sebenar ialah rakyat Israel dan Palestin sedang menuju ke fasa yang lebih ganas dalam konflik mereka yang berpanjangan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg