WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji sekutunya yang ditembak mati Charlie Kirk sebagai “pejuang kebenaran” pada 10 September sambil menyerang “radikal kiri”, mencadangkan retoriknya menyumbang kepada kematian aktivis konservatif itu.
“Selama bertahun-tahun, mereka yang berada di pihak radikal kiri telah membandingkan orang Amerika yang hebat seperti Charlie dengan Nazi dan pembunuh dan penjenayah beramai-ramai paling teruk di dunia,” kata Encik Trump dalam video yang disiarkan di platform Truth Socialnya.
“Retorik seperti ini bertanggungjawab secara langsung terhadap keganasan yang kita lihat di negara kita hari ini, dan ia mesti dihentikan sekarang,” tegasnya.
Beliau berikrar mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Ini adalah detik gelap bagi Amerika. Pentadbiran saya akan mencari setiap orang yang menyumbang kepada kekejaman ini, dan kepada keganasan politik lain, termasuk organisasi yang membiayai dan menyokongnya,” kata Encik Trump.
Encik Kirk – yang membantu meningkatkan sokongan terhadap Encik Trump dalam kalangan pengundi muda – ditembak mati ketika bercakap dalam satu acara di Universiti Utah Valley pada 10 September.
Video dari tempat kejadian menunjukkan Encik Kirk sedang bercakap di hadapan orang ramai apabila bunyi satu das tembakan kedengaran.
Beliau rebah di kerusinya sebelum suasana panik tercetus dalam kalangan penonton.
Penyiasat berkata mereka percaya peluru tunggal itu datang dari atas bumbung kampus, dilepaskan oleh seseorang berpakaian hitam, dalam apa yang kelihatan seperti pembunuhan yang disasarkan terhadap aktivis belia berhaluan kanan itu.
Encik Trump sendiri mengumumkan kematiannya dalam hantaran menerusi platform Truth Social miliknya.
“Tiada siapa yang memahami atau mempunyai hati belia di Amerika yang lebih baik daripada Charlie. Dia disayangi dan dikagumi oleh semua orang, terutamanya saya,” kata Encik Trump.
Pada 2012, Encik Kirk mengasaskan Turning Point USA, platform konservatif, pada usia 18 tahun, selepas berhenti daripada kolej.
Kumpulan itu kini merupakan cara yang ampuh untuk merekrut dan menggerakkan belia konservatif.
Menggambarkan sumbangan besar Encik Kirk kepada Encik Trump, presiden berusia 79 tahun itu mengarahkan bendera di bangunan pemerintah dikibarkan separuh tiang, sehingga 14 September.
Bendera Amerika di Rumah Putih juga diturunkan separuh tiang. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg