DAMSYIK: Pihak pendakwa antarabangsa jenayah perang, mendedahkan bahawa penemuan dari tapak kubur besar di Syria menunjukkan kewujudan “mesin pembunuhan” yang dijalankan oleh rejim Bashar al-Assad.
Lebih 100,000 orang dipercayai telah diseksa dan dibunuh sejak 2013 dalam sistem yang didakwa dikendalikan secara sistematik oleh negara itu.
Encik Stephen Rapp, yang pernah menjadi duta besar Amerika Syarikat bagi jenayah perang, telah melawat dua tapak kubur besar ditemui di Qutayfah dan Najha, berhampiran Damsyik dan berkata:
“Kami mempunyai bukti lebih daripada 100,000 orang yang hilang, diseksa sehingga mati dalam sistem ini. Tidak diragukan lagi tentang angka ini, berdasarkan apa yang kami lihat di tapak-tapak kubur besar ini.”
Data Suruhanjaya Antarabangsa bagi Orang Hilang di The Hague menunjukkan terdapat 66 tapak kubur besar yang belum disahkan di Syria.
Suruhanjaya itu telah menerima lebih 157,000 laporan orang hilang dan menyeru agar tapak itu dilindungi bagi memastikan bukti dapat digunakan dalam perbicaraan di masa hadapan.
“Setiap tulang yang ditemui memerlukan contoh DNA daripada tiga saudara untuk padanan,” kata ketua suruhanjaya, Cik Kathryne Bomberger, yang turut melaporkan peningkatan laporan daripada keluarga yang mencari orang tersayang.
Encik Rapp dan organisasi seperti Pasukan Tindakan Kecemasan Syria bekerjasama dengan masyarakat sivil Syria untuk mendokumentasikan bukti jenayah perang.
“Apa yang terjadi di Syria adalah salah satu jenayah kemanusiaan terbesar dalam sejarah moden. Kita perlu memastikan keadilan bagi mangsa ini,” tegas Encik Rapp.
Ketua komander pentadbiran baru, Encik Ahmed al-Sharaa, memberitahu Al Jazeera, mereka yang melakukan jenayah terhadap rakyat Syria atau yang aktif membantu Encik Assad melakukan jenayah itu akan dibawa ke muka pengadilan.
“Kami tidak akan menyerah kalah untuk menegakkan keadilan yang diharapkan rakyat dan kami tidak akan membiarkan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Syria dilupakan,” kata Encik Sharaa yang juga dikenali sebagai Abu Mohammed al-Jolani.
Saksi utama yang dikenali sebagai “penggali kubur” telah memberi keterangan di mahkamah Jerman dan Kongres Amerika mengenai pengalamannya mengebumikan ratusan mayat setiap minggu di tapak itu antara 2011 dengan 2018.
Rejim Assad yang mengambil alih pemerintahan daripada bapanya Hafez al-Assad sebagai Presiden yang meninggal dunia pada 2000, didakwa membunuh ratusan ribu orang melalui pembunuhan di luar undang-undang, termasuk dalam sistem penjara kuku besi dan penggunaan senjata kimia terhadap rakyat Syria.
Namun, Encik Assad menafikan dakwaan itu dan menyifatkan musuhnya sebagai pengganas.
Encik Rapp menyamakan kekejaman itu dengan jenayah perang era Nazi.
“Kita bercakap tentang sebuah sistem yang melibatkan polis rahsia yang menculik orang dari rumah mereka, penyiasat yang menyeksa hingga mati, pemandu trak yang membawa mayat dan pemandu jentolak yang menanam jasad itu.
“Ini adalah sistem terancang untuk menanam ketakutan,” katanya.
Badan pemantau hak manusia, Human Rights Watch, mengunjungi kawasan kejiranan selatan Damsyik Tadamon, dan mereka menemui kubur dipenuhi mayat yang menunjukkan tanda konsisten hukuman mati.
Pertubuhan berpangkalan di New York itu menggesa pihak berkuasa peralihan Syria agar mengekalkan bukti fizikal di seluruh negara.
Di Qutayfah, yang sebelum ini merupakan pangkalan tentera, penduduk setempat menggambarkan kegiatan pemindahan mayat yang dilakukan secara teratur.
Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Abu Khalid, trak pendingin menghantar mayat ke kubur besar secara berkala.
“Trak itu akan tiba, menurunkan muatan dan pergi. Tiada sesiapa dibenarkan mendekati kawasan itu. Sesiapa yang cuba mendekatinya akan hilang,” katanya.
Profesor kajian pembunuhan beramai-ramai di Universiti Amsterdam, Encik Ugur Umit Ungor, memberitahu Al Jazeera, penemuan ‘kubur berpusat’ di al-Qutayfah itu ‘cerminan mesin pembunuhan rejim Assad’.
Sementara itu, di Najha, kubur besar tersebut digunakan sehingga kapasiti penuh, sebelum lokasi baru di Qutayfah diwujudkan bagi menampung jumlah mayat yang semakin meningkat.
Penduduk di kawasan itu, termasuk mantan pemimpin bantahan anti-Assad, Encik Omar Hujeirati, percaya ramai ahli keluarga mereka yang hilang telah dikebumikan di sana.
“Dua anak lelaki saya dan empat saudara lelaki ditahan kerana menyertai bantahan.
“Itu kesalahan saya sehingga rejim Assad mengambil keluarga saya,” katanya sambil menunjuk ke arah parit panjang tempat mayat dipercayai ditanam. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg