Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerbangan AirAsia dari KL ke Incheon tersalah mendarat di Gimpo, Korea Selatan

Aug 14, 2025 | 4:51 PM
FAIL FOTO: Sesetengah penumpang mengkritik syarikat penerbangan AisAsia kerana gagal memberikan penjelasan yang jelas dan terperinci mengenai situasi yang berlaku. Mereka berkata pihak syarikat sepatutnya segera memaklumkan punca insiden, langkah yang sedang diambil, serta jangkaan masa untuk tiba di destinasi sebenar bagi mengurangkan kekeliruan dan kebimbangan penumpang.
FAIL FOTO: Sesetengah penumpang mengkritik syarikat penerbangan AisAsia kerana gagal memberikan penjelasan yang jelas dan terperinci mengenai situasi yang berlaku. Mereka berkata pihak syarikat sepatutnya segera memaklumkan punca insiden, langkah yang sedang diambil, serta jangkaan masa untuk tiba di destinasi sebenar bagi mengurangkan kekeliruan dan kebimbangan penumpang. - Foto REUTERS

SEOUL: Syarikat penerbangan tambang murah berpangkalan di Malaysia, AirAsia, menerima kritikan selepas sebuah penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo di Korea Selatan, bukannya di destinasi asal yang dijadualkan, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, lapor media pada 14 Ogos.

Penerbangan AirAsia D7 506 yang sepatutnya tiba di Incheon pada 7.50 malam (6.50 malam waktu Singapura) pada 13 Ogos dilaporkan mendarat di Gimpo, yang terletak 35 kilometer dari Incheon, pada pukul 8.08 malam selepas berlegar di udara.

Menurut penumpang, selepas kapten mengumumkan bahawa mereka telah tiba di Incheon, ramai yang bangun untuk mengambil beg dari ruang penyimpanan atas, namun sebahagian penumpang yang melihat keluar tingkap dan memeriksa telefon mendapati mereka berada di Gimpo.

“Semua orang panik. Nampaknya kru kabin pun tidak tahu kami mendarat di Gimpo sehinggalah penumpang memberitahu mereka,” kata Cik Lee Mi-hyun, penumpang berusia 40-an yang pulang dari percutian di Malaysia bersama suami dan anak perempuannya berusia lapan tahun, kepada The Korea Herald.

“Seorang kru malah berkata dia perlu menghubungi ibu bapanya yang sedang menunggunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.”

Menurut Perbadanan Lapangan Terbang Korea, punca pesawat dialihkan ke Gimpo adalah “turbulens” atau keadaan gelora di udara semasa penerbangan itu di ruang udara Lapangan Terbang Incheon. Pesawat kemudian mengisi minyak di Gimpo sebelum berlepas semula menuju ke Incheon kira-kira dua jam kemudian pada pukul 10.17 malam.

Cik Lee turut menyatakan bahawa kru gagal mengendalikan keadaan dengan baik sepanjang dua jam sebelum berlepas semula ke Incheon.

“Mereka kelihatan sama keliru seperti penumpang. Tiada air diberikan dan hampir tiada makanan yang tinggal di dalam pesawat, menyebabkan penumpang yang membawa anak kecil berasa kesal. Ada yang mengatakan mereka lebih rela turun di Gimpo sebelum pesawat berlepas ke Incheon,” katanya.

Kapten dan kru memohon maaf melalui sistem pengumuman awam ketika pesawat dalam perjalanan ke Incheon, di mana ia mendarat pada pukul 10.59 malam, kata Cik Lee. Namun, beberapa penumpang mengkritik syarikat penerbangan itu kerana gagal memberikan penjelasan yang jelas tentang situasi tersebut.

“Sepanjang dua jam sebelum kami berlepas semula ke Incheon, tiada penjelasan yang jelas tentang apa yang menyebabkan kesilapan pendaratan atau sebarang usaha untuk menenangkan penumpang,” kata seorang lagi penumpang bernama Ryu, 39, kepada The Korea Herald.

AirAsia setakat ini belum mengulas mengenai insiden tersebut. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg