NEW YORK: Gangguan perjalanan udara di Amerika Syarikat berterusan untuk hari ketiga dengan lebih 11,500 penerbangan terjejas pada 15 November, tetapi Setiausaha Pengangkutan Amerika, Encik Sean Duffy, meramalkan keadaan akan kembali normal menjelang 16 November.

Kenyataan ini dibuat sedang syarikat penerbangan bertungkus lumus untuk kembali mengikut jadual, susulan arahan penggantungan seluruh sistem penerbangan sebelum ini.

Lebih 2,100 penerbangan telah dibatalkan dan kira-kira 9,400 lagi ditangguhkan di seluruh negara itu pada 15 November, berdasarkan laman data penerbangan, FlightAware.

Pada 14 November, lebih 6,700 penerbangan Amerika dibatalkan dan lebih 9,100 yang lain ditangguhkan.

Sebanyak 28 peratus penerbangan JetBlue dan 20 peratus penerbangan American Airlines dibatalkan, manakala United Airlines, Southwest dan Delta melaporkan pembatalan sebanyak 3 peratus hingga 5 peratus penerbangan masing-masing.

Namun, tinjauan pada hari berikutnya adalah lebih baik, dengan hanya 88 pembatalan pada 16 November, lapor FlightAware.

Pada malam 14 November, lebih 875 penerbangan bagi 15 November telah dibatalkan.

Dalam program televisyen This Week oleh syarikat penyiar ABC, Encik Duffy, berkata tiada bukti terdapat serangan siber atau niat hasad lain yang telah menyebabkan penggantungan penerbangan itu, namun punca sebenar masih belum jelas.

Beliau yakin penerbangan akan mula kembali normal pada 15 November “tetapi mungkin hanya benar-benar normal” pada 16 November.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika telah mengeluarkan arahan penggantungan penerbangan seluruh negara itu pada 13 November, yang menyaksikan hampir semua penerbangan berlepas dihentikan selama hampir lima jam.

Ia merupakan pemberhentian penerbangan paling lama di seluruh negara itu sejak serangan Al-Qaeda ke atas Amerika pada 11 September 2001.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang membuat ulasan awam pertamanya mengenai isu penerbangan itu pada 15 November, menyeru agar pembiayaan tambahan diberikan oleh penggubal undang-undang Amerika.

“Kami telah pun memulakan kerja itu, tetapi ia harus dilakukan secara sekali gus, bukan sedikit demi sedikit. Kongres mesti meluluskannya,” tulis Encik Trump di media sosial.

Rayuan Encik Duffy untuk mendapatkan lebih banyak dana telah menimbulkan keraguan anggota Dewan Perwakilan Amerika terkemuka, Encik Rick Larsen dan Encik Andre Carson, yang masing-masing merupakan tokoh Demokrat terkemuka dalam Jawatankuasa Pengangkutan dan Prasarana Dewan Perwakilan itu serta jawatankuasa kecil penerbangannya.

“Daripada sejumlah AS$12.5 bilion ($16.11 billion) yang diluluskan pada 2025 untuk menaik taraf sistem kawalan trafik udara, kira-kira AS$11 bilion masih belum dibelanjakan, ujar Encik Larsen dan Encik Carson, dalam satu kenyataan pada 14 November.

“Jelaskan kepada Kongres sekali lagi, mengapa mereka memerlukan lebih banyak wang?” soal kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama pada 14 November.

Encik Duffy pada 15 November berkata wang yang diperuntukkan pada 2025 hanya dikhususkan untuk perbelanjaan tertentu, dan tidak merangkumi dana bagi perisian baharu untuk mengurus ruang udara.

Pemerhati perjalanan udara juga menyeru agar peningkatan perbelanjaan dibuat oleh pelabur swasta.

“Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada pelaburan pemerintah… Pelaburan swasta juga diperlukan,” kata Ketua Pengarah Kumpulan Perdagangan Sejagat, Airports Council International, Encik Justin Erbacci.

Encik Erbacci, yang berucap semasa forum prasarana penerbangan di Montreal pada 15 November, tidak menyentuh mengenai kejadian penggantungan operasi penerbangan di darat pada 13 November.

Namun, beliau berkata pelaburan dalam sektor pengangkutan udara perlu dilakukan bagi menampung peningkatan trafik serta menangani sistem yang sudah ketinggalan zaman.

Menurut data Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), jumlah penumpang udara sejagat diunjurkan meningkat lebih daripada dua kali ganda menjelang 2050. – Reuters.