Bermula dari pulau utama Jawa di Indonesia, jalan rayanya berbelok-belok mengarah ke gunung.
Perjalanan setengah jam itu membawa pengembara menjelajah hutan yang dipenuhi pokok saiz gergasi yang berakar dari tanah gunung berapi yang subur.
Bagaimanapun landskapnya kemudian berubah.
Setibanya di puncak Tangkuban Perahu pada ketinggian kira-kira 2,000 meter, pemandangan menakjubkan apabila Kawah Ratu di depan mata, termasuk tasik biru yang cerah.
Wap panas naik dari celah-celah batu gunung berapi yang tiada tumbuh-tumbuhan.
Bau sulfur yang kuat menusuk ke hidung.
Abu dan lava yang sejuk membuatkan cerunnya berupa seperti bulan.
Kawasan gersang yang tidak sesuai didiami ini menjadikan suasananya sangat dramatik.
Apa yang membuatkannya begitu istimewa?
Untuk merasa pengalaman berada di kawasan gunung berapi yang menakjubkan di Indonesia pada jarak dekat, para pengembara tidak perlu merancang perjalanan mendaki yang memakan masa berjam-jam lamanya.
Anda boleh menaiki kenderaan ke pinggir kawah, seperti di Tangkuban Perahu.
Gunung berapi itu jauhnya kira-kira tiga jam jika memandu dari ibu negara Indonesia, Jakarta, dan sejam jika memandu dari Bandung, yang popular dalam kalangan pelancong disebabkan air mata air panas dan ladang teh.
“Kali terakhir gunung berapi itu mengalami beberapa letusan adalah pada 2019, namun abunya tidak sampai ke tempat letak kereta dan ia bukan ancaman besar,” kata Encik Hassan, yang menjual cenderahati di Kawah Ratu.
Beliau tinggal di kampung kira-kira 7 kilometer jauh dari sana.
“Orang ramai tidak lagi dibenarkan tinggal lebih dekat disebabkan soal keselamatan,” jelasnya.
Pada 2019, gunung berapi itu ditutup kepada pengunjung selama beberapa bulan.
Sebelum itu, ia meletus pada 2013, melepaskan kepulan abu ke udara setinggi 500 meter, setelah tidak aktif selama hampir 30 tahun.
Kejadian itu tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan.
Pengunjung boleh meneroka Kawah Ratu dengan menunggang kuda atau berjalan kaki sehingga awal tengah hari.
Terdapat kira-kira 12 kawah lain yang lebih kecil.
Tiga daripadanya juga destinasi pelancong popular, walaupun ia hanya boleh dilawati dengan berjalan kaki.
Kawah Domas, yang jauh sedikit, dikenali kerana air mata air panas di situ.
Pengunjung perlu berjalan ke sana, tetapi setibanya di destinasi, pengunjung boleh cuba memasak telur dalam air menggelegak itu.
Nama Tangkuban Perahu (juga dikenali sebagai Parahu dalam kalangan warga setempat) membawa maksud ‘bot terbalik’ dan merujuk kepada bentuk gunung berapi itu.
Menurut legenda, gunung berapi itu terbentuk apabila seorang pemuda bernama Sangkuriang cuba membina bot besar semalaman untuk menambat hati ibunya, Dayang Sumbi.
Apabila gagal, beliau dikatakan menendang bot yang belum selesai itu dengan kecewa, menyebabkan ia terbalik lantas terbentuknya gunung itu. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg