JAKARTA: Kisah Pak Sunhaji, seorang penjual teh ais telah mencetuskan gelombang perhatian di media sosial setelah beliau dihina pendakwah terkenal, Gus Miftah.
Peristiwa itu bukan sahaja mengundang simpati masyarakat terhadap Pak Sunhaji, malah mencetuskan perbincangan tentang kesopanan dan keadilan sosial dalam ruang agama.
Susulan rentetan daripada video tersebut, netizen mula bertindak untuk membantu Pak Sunhaji.
Dalam masa singkat, pelbagai kempen pengumpulan dana dijalankan, membolehkan dana yang mencukupi dikumpulkan bagi membiayai perjalanan umrah Pak Sunhaji dan keluarganya.
Selain itu, terdapat juga sumbangan lain termasuk wang tunai dan pembaikan rumah bagi meningkatkan taraf hidup keluarga itu.
Segalanya bermula apabila sebuah video tular menunjukkan Gus Miftah menghina Pak Sunhaji di sebuah majlis pengajian di Magelang.
Dalam video tersebut, Gus Miftah dilihat menggunakan kata-kata kasar seperti “goblok” (sangat bodoh/tolol) terhadap Pak Sunhaji yang sedang menjual ‘es teh’ kepada hadirin.
Tindakan itu segera mengundang kritikan keras di media sosial.
Menurut analisis Netray, sebanyak 28,500 ciapan di media sosial X menyebut nama Gus Miftah, dengan lebih daripada 60 peratus daripadanya merupakan sentimen negatif.
Antara komen yang tular ialah: “Kata-kata kasar seperti ini tidak seharusnya keluar dari mulut seorang pendakwah. Ia mencerminkan rasa tidak sensitif terhadap perasaan orang lain.”
Bahkan, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut memberikan respons terhadap kejadian tersebut dengan menyatakan bahawa keangkuhan kadangkala muncul bukan sahaja dalam kalangan mereka yang kurang berilmu, malah dalam kalangan pendakwah.
Menurut laporan media sosial, salah satu kempen yang dimulakan pada 10 Disember berjaya mengumpulkan lebih 144,000 tanda suka dan hampir 3,720 komen di Instagram.
Seorang netizen menulis: “Kisah Pak Sunhaji mengingatkan kita semua tentang pentingnya tidak memandang rendah kepada sesiapa pun. Kita harus saling menyokong, bukan menjatuhkan.”
Pada 4 Disember, Gus Miftah bertemu dengan Pak Sunhaji untuk memohon maaf.
Namun, tindakan itu sekali lagi mendapat perhatian negatif kerana pergerakan tubuh Gus Miftah yang merangkul bahu Pak Sunhaji dilihat oleh ramai sebagai mempamerkan perbezaan status sosial di antara mereka.
“Bukannya menunjukkan rasa rendah hati, tetapi ia kelihatan seperti memperlekehkan,” komen seorang pengguna media sosial.
Walaupun kritikan terhadap Gus Miftah banyak dilihat di platform seperti X, respons di TikTok menunjukkan naratif yang agak berbeza.
Ada pengguna TikTok yang melihat gaya dakwah Gus Miftah atau nama sebenarnya, Miftah Maulana Habiburrahman, sebagai santai dan sesuai dengan golongan muda, walaupun mereka juga mengakui gurauan beliau kali ini melampaui batas.
Seorang pengguna TikTok menulis: “Pendekatan Gus Miftah sememangnya unik, tetapi beliau perlu lebih berhati-hati dengan sensitiviti orang lain.”
Tekanan masyarakat terhadap Gus Miftah akhirnya memuncak dan memaksanya meletakkan jawatan sebagai Utusan Khas Presiden bagi Kerukunan Beragama.
Dalam kenyataannya, Gus Miftah menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat atas rasa tanggungjawab dan penghormatan terhadap Presiden Prabowo Subianto serta masyarakat umum.
“Saya mengambil langkah ini bukan kerana tekanan mana-mana pihak, tetapi atas dasar tanggungjawab moral dan etika,” katanya dalam sidang media pada 6 Disember.
Keunikan Gus Miftah yang merupakan pengasas Pondok Pesantren Ora Aji di Sleman, Yogyakarta, terletak pada pendekatan dakwahnya yang sering dilakukan di tempat tidak konvensional seperti kelab malam dan tempat hiburan, dengan tujuan mendekati golongan yang jarang disentuh oleh dakwah tradisional.
Pendekatan itu mendapat pujian dan juga kritikan.
Selain itu, beliau sering menggabungkan humor dalam ceramahnya, menjadikannya lebih relevan kepada generasi muda.
Encik Prabowo turut memberikan respons terhadap kejadian itu, dengan menyatakan:
“Sebagai pemimpin, kita harus memastikan nilai kesopanan dan keadilan sentiasa diutamakan.
“Apa yang berlaku adalah pengajaran penting bagi semua, termasuk diri saya sendiri, untuk lebih berhati-hati dalam berkomunikasi.”
Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan pemimpin agama mestilah berdasarkan kemampuan untuk membina keharmonian sejati.
Kisah ini membuka ruang perbincangan yang lebih luas tentang tanggungjawab pendakwah dalam menyampaikan mesej agama.
Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Encik Nasaruddin Umar, turut mencadangkan supaya pendakwah diwajibkan mendapatkan sijil kelayakan bagi memastikan standard etika dipatuhi.
“Kami sedang meneliti cadangan ini dan akan melibatkan Majlis Ulama Indonesia (MUI) serta organisasi agama lain sebelum membuat keputusan,” katanya.
Kisah ini bukan sekadar cerita tular, malah simbol pentingnya saling menghormati tanpa mengira status sosial.
Seorang akademik dari Universiti Indonesia berkata:
“Tindakan Gus Miftah mengingatkan kita bahawa setiap ucapan dan perbuatan membawa kesan besar. Dalam era media sosial, perkara kecil boleh menjadi isu nasional dalam sekelip mata.”
Kisah ‘es teh’ ini bukan hanya tentang kejatuhan Gus Miftah, malah tentang bagaimana masyarakat boleh bersatu membantu seseorang seperti Pak Sunhaji mencapai impian besarnya.
“Ia adalah peringatan bahawa perpaduan mampu mengubah nasib manusia...
“Semoga kita semua belajar bahawa kekuatan terbesar datang daripada saling menghormati dan membantu,” kata seorang aktivis sosial.
Kisah Pak Sunhaji menunjukkan bagaimana sokongan kolektif boleh mengubah kehidupan seseorang.
Salah seorang penyumbang kempen berkata: “Apa yang berlaku kepada Pak Sunhaji adalah bukti bahawa masih ramai orang baik di luar sana yang bersedia membantu.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg