MANILA: Kesemua 120 orang di atas feri yang terbakar di laut di tengah Filipina pada Ahad telah diselamatkan, kata pengawal pantai.
Feri M/V Esperanza Star, yang membawa 65 penumpang dan 55 pegawai dan anak kapal, terbakar ketika sedang berlayar dari pulau Siquijor di selatan ke pulau Bohol yang berdekatan, kata pengawal pantai.
Anggota bomba pengawal pantai di atas kapal berlainan menggunakan meriam air dan mengisytiharkan kebakaran dapat dikawal kemudiannya, kata seorang jurucakap.
Punca kebakaran masih belum diketahui.
Dua kapal pengawal pantai yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran dan menyelamat masih berada di perairan berhampiran kebakaran. Lokasi dan keadaan penumpang dan anak kapal yang diselamatkan tidak didedahkan.
Filipina, sebuah negara kepulauan dengan lebih 7,600 pulau, mempunyai rekod buruk dalam keselamatan maritim, dengan kapal sering sesak dan banyak kapal yang sudah usang digunakan.
Pada Mac lalu, sebuah feri yang membawa kira-kira 250 orang terbakar di selatan Filipina, menyebabkan kematian lebih dua dozen orang termasuk seorang bayi berusia enam bulan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg