KAHIRAH: Lebih ramai keluarga Palestin meninggalkan Bandar Gaza berikutan pengeboman Israel semalaman di kawasan pinggir bandar itu, sedang rakyat Israel terus melancarkan bantahan di seluruh negara menggesa tebusan dibebaskan dan perang Gaza ditamatkan.
Penduduk Palestin berkata serangan udara dan kereta kebal Israel berterusan sepanjang malam pada 26 Ogos di pinggir timur Bandar Gaza iaitu Sabra, Shejaia, dan Tuffah, serta di bandar Jabalia di utara.
“Bunyi ledakan bak gempa bumi.... tentera Israel mahu menakutkan orang ramai supaya meninggalkan rumah mereka,” kata seorang penduduk, Encik Ismail, 40 tahun.
Tentera Israel berkata tenteranya beroperasi di kawasan itu untuk mencari senjata dan memusnahkan terowong Hamas.
Di sebalik bantahan meluas di dalam negara dan kutukan antarabangsa, Israel sedang bersiap sedia melancarkan serangan baru di Bandar Gaza, yang dianggap benteng terakhir Hamas.
Lagi sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh dalam serangan Israel di wilayah itu pada 26 Ogos, kata pihak berkuasa kesihatan tempatan, termasuk 18 orang di sekitar Bandar Gaza.
Sekitar separuh daripada dua juta penduduk Palestin tinggal di Bandar Gaza, dengan beberapa ribu orang telah berpindah ke arah barat, tengah bandar dan di sepanjang pantai.
Penduduk lain pula meneroka lebih jauh ke selatan, di tengah Gaza dan kawasan pantai Al-Muwasi berhampiran Khan Younis.
Dalam pada itu, penunjuk perasaan Israel telah menyekat jalan-jalan raya di Tel Aviv dan tempat lain di negara itu, memegang gambar tebusan dan menyeru supaya perang ditamatkan.
Perang meletus pada 7 Oktober 2023, apabila pejuang Hamas menyerang selatan Israel dan membunuh sekitar 1,200 orang serta menahan 251 tebusan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg