Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengebumian Khamenei selepas empat bulan cetus tanda tanya
Pengebumian Khamenei selepas empat bulan cetus tanda tanya
Jenazah tiba di Iraq jelang perarakan pengebumian
Pengebumian Khamenei selepas empat bulan cetus tanda tanya
TEHERAN: Pengebumian mantan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, minggu ini mencetuskan perhatian luar biasa kerana jenazahnya hanya akan dikebumikan lebih empat bulan selepas beliau terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel.
Kelewatan itu dianggap amat luar biasa dalam Islam, yang menuntut jenazah dimandi, dikafan dan dikebumikan secepat mungkin, lazimnya dalam tempoh 24 jam selepas kematian.
Walaupun pengebumian lewat tidak semestinya dilarang dalam Islam, ramai sarjana agama berpandangan amalan itu tidak digalakkan kecuali ada alasan kukuh, terutama bagi menjaga kemuliaan jenazah.
Pemerintah Iran berkata jenazah Allahyarham Khamenei disimpan sejak beliau terbunuh, bersama beberapa anggota keluarganya, dalam serangan awal Amerika-Israel ketika perang udara terhadap Iran bermula.
Namun, pemerintah dan kalangan rapat Khamenei tidak memberikan penjelasan terperinci kepada umum mengenai sebab sebenar pengebumian itu ditangguhkan begitu lama.
Keadaan itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat Iran, terutama di media sosial.
Ada yang mempersoalkan sama ada jenazah Allahyarham benar-benar belum dikebumikan.
Sebahagian pula mendakwa beliau mungkin sudah dikebumikan secara rahsia dan keranda yang akan dibawa dalam perarakan di Teheran mungkin kosong.
Desas-desus itu memaksa jurucakap jawatankuasa pengebumian Iran, Encik Iman Attarzade, tampil memberi penjelasan.
“Jenazah suci” pemimpin itu, katanya, “dipelihara sehingga kini dengan mematuhi prinsip agama dan undang-undang, dan belum dikebumi atau disemadikan”.
Seorang agamawan Syiah yang juga mantan Naib Presiden reformis Iran, Encik Mohammad Ali Abtahi, berkata kelewatan itu berlaku atas faktor keselamatan.
Menurut beliau, ketika Iran masih berdepan perang dengan Israel dan Amerika, amat sukar mengatur upacara pengebumian besar-besaran kerana risiko serangan masih tinggi.
“Upacara seperti ini boleh memberi manfaat kepada perpaduan nasional,” kata Encik Abtahi, sambil mempertahankan keputusan menangguhkan pengebumian bagi membolehkan acara besar diadakan.
Pemerintah Iran kini mahu menjadikan pengebumian itu sebagai lambang daya ketahanan politik dan perpaduan nasional, sekali gus menunjukkan kepada dunia bahawa sistem republik Islam masih berdiri selepas perang dan tekanan dalaman.
Beberapa pemimpin tentera dan politik menyifatkan upacara itu sebagai “ikrar taat setia awam terbesar” kepada pengganti Allahyarham Khamenei, iaitu anaknya, Ayatollah Mojtaba Khamenei, yang kini menjadi Pemimpin Tertinggi baharu Iran.
Penganalisis berkata pemerintah dijangka menggunakan jumlah kehadiran orang ramai sebagai bukti bahawa Allahyarham dan penggantinya masih mempunyai sokongan, walaupun Iran sebelum ini berdepan bantahan besar-besaran dan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.
Lambang rasmi pengebumian yang disebarkan badan penganjur menunjukkan genggaman tangan Allahyarham Khamenei bersama slogan: “Kita mesti bangkit”.
Namun, suasana di Teheran dilaporkan tegang dan sunyi, berbeza dengan pengebumian pengasas republik Islam, Ayatollah Ruhollah Khomeini, pada 1989.
Ketika itu, jutaan rakyat Iran membanjiri jalan raya dalam keadaan penuh emosi.
Ada yang memanjat ambulans membawa jenazah Allahyarham Khomeini, sehingga Kor Pengawal Revolusi Islam terpaksa bertungkus lumus mengawal orang ramai.
Pakar antipengganasan, Dr Mohammed Omar, berkata jenazah Allahyarham kemungkinan besar disimpan dalam bilik sejuk, bukan diawet menggunakan bahan kimia kerana Islam secara umum tidak menggalakkan pengawetan kimia.
“Undang-undang Syiah membenarkan pengebumian ditangguhkan dan jenazah dipelihara dalam keadaan sejuk dalam kes luar biasa,” katanya.
Menurut beliau, penyimpanan jenazah selama beberapa bulan bukan sesuatu yang mustahil kerana bilik mayat forensik Iran mempunyai keupayaan menyimpan mayat untuk tempoh lama.
“Empat bulan dalam suhu beku bukan sesuatu yang luar biasa. Itulah yang dimaksudkan dengan pematuhan kepada piawaian agama dan undang-undang,” katanya.
Pada lewat 7 Julai, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Najaf, Iraq, menjelang perarakan pengebumian di bandar-bandar suci negara itu yang menjadi lokasi makam paling dihormati oleh penganut Syiah.
Televisyen Iraq menyiarkan ketibaan pesawat Mahan Air yang membawa keranda ke Lapangan Terbang Najaf, sejurus selepas Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, tiba bagi menghadiri upacara rasmi anjuran pemerintah Iraq.
Turut hadir menyambut ketibaan jenazah pemimpin tertinggi itu ialah beberapa pegawai kanan dan pemimpin politik Iraq, termasuk Perdana Menteri, Encik Ali al-Zaidi.
Komander Iran, Encik Esmail Qaani, yang mengetuai cabang operasi luar negara Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), dikenali sebagai Pasukan Quds, turut berada di lokasi.
Lapangan terbang dihiasi dengan permaidani merah, poster seni khat Islam dan potret Allahyarham Khamenei sebagai tanda penghormatan terakhir.
Iraq mengisytiharkan 8 Julai sebagai cuti umum bagi membolehkan orang ramai menyertai perarakan yang dijadual bermula pada 6 pagi di bandar suci Najaf.
Orang ramai mula berkumpul di Najaf sehari lebih awal untuk menyertai perarakan sejauh enam kilometer yang berakhir di Makam Imam Ali, tokoh yang amat dihormati oleh penganut Syiah.
Jalan-jalan utama di bandar itu turut dihiasi dengan sepanduk dan potret besar Khamenei.
Encik Mohammed al-Bayati, 30 tahun, yang menempuh perjalanan beberapa jam ke Najaf, berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang menghadiri upacara itu.
“Saya datang untuk menghadiri pengebumian tokoh yang mencabar kuasa Amerika dan Israel,” katanya kepada agensi berita, AFP.
Selepas upacara di Najaf selesai, jenazah Allahyarham Khamenei akan diterbangkan ke Karbala, kira-kira 60 kilometer ke utara, untuk satu lagi perarakan sebelum dibawa ke makam Imam Hussein dan saudaranya, Abbas.
Iran memulakan upacara pengebumian awam selama enam hari pada 4 Julai, termasuk memperuntukkan satu hari khas di Iraq, negara jiran yang mempunyai hubungan rapat dengan Teheran dan majoriti penduduk berfahaman Syiah.
Allahyarham Khamenei, yang terbunuh pada hari pertama perang di Asia Barat dalam serangan Amerika-Israel, dijadual dikebumikan pada 9 Julai di kampung halamannya di Mashhad, timur laut Iran. – Agensi berita.
