TEHERAN: Pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, minggu ini mencetuskan perhatian luar biasa kerana jenazahnya hanya akan dikebumikan lebih empat bulan selepas beliau terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel.

Kelewatan itu dianggap amat luar biasa dalam tradisi Islam, yang menuntut jenazah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan secepat mungkin, lazimnya dalam tempoh 24 jam selepas kematian.

Walaupun pengebumian lewat tidak semestinya dilarang dalam Islam, ramai sarjana agama berpandangan amalan itu tidak digalakkan kecuali ada alasan kukuh, terutama bagi menjaga kemuliaan jenazah.

Pemerintah Iran berkata jenazah Khamenei disimpan sejak beliau terbunuh, bersama beberapa anggota keluarganya, dalam serangan awal Amerika-Israel ketika perang udara terhadap Iran bermula.

Namun, pemerintah dan kalangan rapat Khamenei tidak memberikan penjelasan terperinci kepada umum mengenai sebab sebenar pengebumian itu ditangguhkan begitu lama.

Keadaan itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat Iran, terutama di media sosial.

Ada yang mempersoalkan sama ada jenazah Khamenei benar-benar belum dikebumikan.

Sebahagian pula mendakwa beliau mungkin sudah dikebumikan secara rahsia dan keranda yang akan dibawa dalam perarakan di Teheran mungkin kosong.

Desas-desus itu memaksa jurucakap jawatankuasa pengebumian Iran, Iman Attarzade, tampil memberi penjelasan.

“Jenazah suci” pemimpin itu, katanya, “dipelihara sehingga kini dengan mematuhi prinsip agama dan undang-undang, dan belum dikebumikan atau disemadikan.”

Seorang agamawan Syiah yang juga bekas Naib Presiden reformis Iran, Encik Mohammad Ali Abtahi, berkata kelewatan itu berlaku atas faktor keselamatan.

Menurut beliau, ketika Iran masih berdepan perang dengan Israel dan Amerika, amat sukar untuk mengatur upacara pengebumian besar-besaran kerana risiko serangan masih tinggi.

“Upacara seperti ini boleh memberi manfaat kepada perpaduan nasional,” kata Encik Abtahi, sambil mempertahankan keputusan menangguhkan pengebumian bagi membolehkan acara besar diadakan.

Pemerintah Iran kini mahu menjadikan pengebumian itu sebagai lambang ketahanan politik dan perpaduan nasional, sekali gus menunjukkan kepada dunia bahawa sistem republik Islam masih berdiri selepas perang dan tekanan dalaman.

Beberapa pemimpin tentera dan politik menyifatkan upacara itu sebagai “ikrar taat setia awam terbesar” kepada pengganti Khamenei, iaitu anaknya, Ayatollah Mojtaba Khamenei, yang kini menjadi Pemimpin Tertinggi baharu Iran.

Penganalisis berkata pemerintah dijangka menggunakan jumlah kehadiran orang ramai sebagai bukti bahawa Khamenei dan penggantinya masih mempunyai sokongan, walaupun Iran sebelum ini berdepan bantahan besar-besaran dan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.

Lambang rasmi pengebumian yang disebarkan badan penganjur menunjukkan genggaman tangan Khamenei bersama slogan: “Kita mesti bangkit.”

Namun, suasana di Teheran dilaporkan tegang dan sunyi, berbeza dengan pengebumian pengasas republik Islam, Ayatollah Ruhollah Khomeini, pada 1989.

Ketika itu, jutaan rakyat Iran membanjiri jalan raya dalam keadaan penuh emosi.

Ada yang memanjat ambulans membawa jenazah Khomeini, sehingga pasukan Pengawal Revolusi terpaksa bertungkus-lumus mengawal orang ramai.

Pakar antikeganasan, Dr Mohammed Omar, berkata jenazah Khamenei kemungkinan besar disimpan dalam bilik sejuk, bukan diawet menggunakan bahan kimia kerana Islam secara umum tidak menggalakkan pengawetan kimia.

“Undang-undang Syiah membenarkan pengebumian ditangguhkan dan jenazah dipelihara dalam keadaan sejuk dalam kes luar biasa,” katanya.

Menurut beliau, penyimpanan jenazah selama beberapa bulan bukan sesuatu yang mustahil kerana bilik mayat forensik Iran mempunyai keupayaan menyimpan mayat untuk tempoh lama.

“Empat bulan dalam suhu beku bukan sesuatu yang luar biasa. Itulah yang dimaksudkan dengan pematuhan kepada piawaian agama dan undang-undang,” katanya.

Pada lewat 7 Julai, jenazah Khamenei, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Najaf, Iraq, menjelang perarakan pengebumian di bandar-bandar suci negara itu yang menjadi lokasi makam paling dihormati oleh penganut Syiah.

Televisyen Iraq menyiarkan ketibaan pesawat Mahan Air yang membawa keranda Khamenei ke Lapangan Terbang Najaf, sejurus selepas Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, tiba bagi menghadiri upacara rasmi anjuran pemerintah Iraq.

Turut hadir menyambut ketibaan jenazah pemimpin tertinggi itu ialah beberapa pegawai kanan dan pemimpin politik Iraq, termasuk Perdana Menteri, Ali al-Zaidi.Komander Iran, Esmail Qaani, yang mengetuai cabang operasi luar negara Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), dikenali sebagai Pasukan Quds, turut berada di lokasi.

Lapangan terbang dihiasi dengan permaidani merah, poster kaligrafi Islam dan potret Khamenei sebagai tanda penghormatan terakhir.

Iraq mengisytiharkan 8 Julai sebagai cuti umum bagi membolehkan orang ramai menyertai perarakan yang dijadual bermula jam 6 pagi di bandar suci Najaf.

Orang ramai mula berkumpul di Najaf sehari lebih awal untuk menyertai perarakan sejauh enam kilometer yang berakhir di Makam Imam Ali, tokoh yang amat dihormati oleh penganut Syiah.

Jalan-jalan utama di bandar itu turut dihiasi dengan sepanduk dan potret besar Khamenei.

Encik Mohammed al-Bayati, 30 tahun, yang menempuh perjalanan beberapa jam ke Najaf, berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang menghadiri upacara itu.

“Saya datang untuk menghadiri pengebumian tokoh yang mencabar kuasa Amerika dan Israel,” katanya kepada AFP.

Selepas upacara di Najaf selesai, jenazah Khamenei akan diterbangkan ke Karbala, kira-kira 60 kilometer ke utara, untuk satu lagi perarakan sebelum dibawa ke makam Imam Hussein dan saudaranya, Abbas.

Iran memulakan upacara pengebumian awam selama enam hari untuk Khamenei pada 4 Julai lalu, termasuk memperuntukkan satu hari khas di Iraq, negara jiran yang mempunyai hubungan rapat dengan Tehran dan majoriti penduduk berfahaman Syiah.

Khamenei, yang terbunuh pada hari pertama perang di Asia Barat dalam serangan Amerika Syarikat-Israel, akan dikebumikan 9 Julai di kampung halamannya di Mashhad, timur laut Iran. - Agensi berita