Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengimbas kesan lebih 70 mangsa di tapak runtuhan di Bangkok

Apr 2, 2025 | 2:02 PM
Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra (tengah), melawat pusat perlindungan sementara bagi memberikan sokongan moral kepada anggota keluarga pekerja yang masih hilang susulan gempa bumi yang melanda Bangkok, Thailand pada 28 Mac.
Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra (tengah), melawat pusat perlindungan sementara bagi memberikan sokongan moral kepada anggota keluarga pekerja yang masih hilang susulan gempa bumi yang melanda Bangkok, Thailand pada 28 Mac. - Foto EPA-EFE

BANGKOK: Lebih 70 mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan di daerah Chatuchak, Bangkok.

Demikian menurut pasukan penyelamat yang menjalankan operasi di tapak kejadian sejak empat hari lalu.

Encik Bin Bunluerit, seorang pelakon terkenal Thailand dan pegawai kanan Yayasan Ruamkatanyu, memaklumkan bahawa pengimbas khas yang digunakan pada pagi 31 Mac telah mengesan lebih 70 bentuk tubuh manusia di bawah runtuhan timbunan konkrit.

Namun, beliau menjelaskan bahawa alat pengimbas tersebut tidak dapat menentukan kedalaman sebenar di manakah mayat atau mangsa itu berada.

“Kami tidak pasti sejauh mana kedudukan mereka di bawah runtuhan.

“Namun, bentuk tubuh yang dikesan memberi kami harapan masih ada mangsa yang mungkin terselamat,” katanya kepada media tempatan.

Operasi menyelamat telah dipertingkat dengan penggunaan jentera berat bagi mengangkat kepingan konkrit yang besar, manakala pasukan lain menggunakan mesin penggerudi untuk menembusi bahagian dalam runtuhan.

Setakat ini, 14 mayat berjaya dikeluarkan, sementara sembilan orang cedera dan 72 masih hilang.

Bangunan milik Pejabat Audit Negara Thailand itu runtuh pada petang 28 Mac, dipercayai akibat kesan gegaran gempa bumi sekuat 8.2 melalui skala Richter yang melanda kawasan Mandalay, Myanmar – sekitar 392 kilometer dari wilayah Mae Hong Son di utara Thailand.

Menurut Encik Bin, antara cabaran terbesar operasi ialah ketiadaan pelan bangunan lengkap kerana struktur tersebut masih dalam pembinaan.

Tambahan pula, dinding tebal di bahagian sisi bangunan menyukarkan kerja menggali dan menyelamat.

“Kami percaya ramai pekerja terperangkap antara tingkat 17 dengan 21 kerana kejadian berlaku sekitar waktu rehat makan tengah hari. Ramai sedang berehat ketika itu,” jelas Encik Bin.

Beliau turut mempertahankan kelewatan operasi menyelamat yang dikritik segelintir pihak.

Beliau menegaskan keutamaan diberikan kepada usaha menyelamatkan mangsa yang masih hidup sebelum mengeluarkan mayat.

“Apabila ada isyarat hayat, kami tidak boleh membuang masa. Nyawa perlu diselamatkan dahulu,” tegasnya.

Encik Bin turut memberi jaminan pasukan penyelamat dari Yayasan Ruamkatanyu tidak berdepan masalah dalam menyelaras operasi bersama pasukan antarabangsa, memandangkan ramai anggota mereka telah menjalani latihan khusus di luar negara.

“Apa jua cabaran yang kami hadapi, kami akan berusaha mengeluarkan setiap mangsa. Mereka bukan sekadar angka – mereka adalah manusia, dan kami tidak akan menyerah,” tambah Encik Bin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg