BOGOR (Jawa Barat): Datuk Bandar Bogor, Dr Bima Arya Sugiarto, telah mengarahkan semua kelab malam, kelab karaoke dan pusat urut di bandar Jawa Barat itu ditutup sepanjang Ramadan sebagai tanda penghormatan kepada umat Islam yang berpuasa.
Dr Bima berkata pentadbiran Bogor akan menguatkuasakan perintah itu sepanjang bulan puasa dengan mengerahkan rondaan melibatkan pegawai ketenteraman awam, kakitangan agensi berkaitan dan ketua mukim lain.
Bogor turut bercadang untuk mendapatkan bantuan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Negara bagi menguatkuasakan larangan itu, tambahnya.
“Ini adalah tradisi tahunan dan kami mahu semua orang menghormatinya. Semua tempat hiburan malam harus ditutup. Tiada yang terkecuali,” kata Dr Bima, dipetik The Jakarta Post.
Datuk Bandar Bogor itu berkata pegawai ketenteraman awam juga akan mengawasi sebarang perarakan dan perarakan berkenderaan semasa sahur kerana ia boleh menimbulkan masalah keselamatan di kawasan perumahan.
Tempo.Co dalam laporannya menyebut bahawa masjid-masjid di bawah kelolaan pemerintah kota diminta menyediakan juadah sahur dan berbuka puasa untuk musafir dan fakir miskin.
Pemerintah kota Bogor menyeru para penduduk setempat yang ingin turut serta menyediakan juadah sahur dan berbuka puasa supaya menyelaraskannya dengan Dewan Masjid Indonesia (DMI) Bogor.
Penjualan dan penyalaan mercun adalah dilarang pada bulan puasa dan pada Malam Takbiran atau menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pemilik restoran dan gerai makan diminta menghormati umat Islam yang berpuasa.
Pemerintah telah mengisytiharkan bahawa Ramadan 2024 bermula pada 12 Mac.
Bagaimanapun, beberapa pertubuhan agama, termasuk pertubuhan Islam kedua terbesar di negara ini, Muhammadiyah, telah memberitahu ahlinya agar mula berpuasa pada 11 Mac. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg