Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penguasa Palestin dan Hamas tidak searah

Apr 8, 2024 | 5:30 AM
Rakyat Palestin berharap Perdana Menteri Penguasa Palestin (PA) yang baru, Dr Mohammad Mustafa, boleh muncul sebagai tokoh yang menyatukan jika diminta membina semula wilayah Tebing Barat dan Jaluran Gaza selepas diserang Israel sejak 7 Oktober.
Rakyat Palestin berharap Perdana Menteri Penguasa Palestin (PA) yang baru, Dr Mohammad Mustafa, boleh muncul sebagai tokoh yang menyatukan jika diminta membina semula wilayah Tebing Barat dan Jaluran Gaza selepas diserang Israel sejak 7 Oktober. - Foto REUTERS

GAZA: Hamas dan beberapa kumpulan Palestin lain menegaskan pelantikan perdana menteri baharu oleh Presiden Mahmoud Abbas mengundang perpecahan lebih serius ketika perang di Gaza semakin memuncak.

“Membuat keputusan secara individu dan membabitkan diri dalam langkah formal yang tidak ada asas seperti membentuk kerajaan baharu tanpa konsensus nasional adalah pengukuhan dasar pengecualian dan memperdalam perpecahan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Encik Abbas melantik Dr Mohammad Mustafa, penasihat hal ehwal ekonomi sebagai perdana menteri dan menugaskan beliau membentuk pemerintah baharu Penguasa Palestin (PA).

Kenyataan itu menambah, langkah sedemikian menunjukkan “jurang yang besar antara Pihak Berkuasa (Palestin) dengan rakyat, kebimbangan dan aspirasi mereka”.

Kumpulan itu membabitkan Jihad Islam, Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin berhaluan kiri dan Inisiatif Nasional Palestin, sebuah parti politik yang mencari jalan ketiga antara gerakan Fatah pimpinan Abbas dengan Hamas.

Fatah pimpinan Encik Abbas menyelar kenyataan Hamas dengan mendakwa gerakan Islam itu menyebabkan pendudukan semula Israel di Gaza dengan melakukan serangan pada 7 Oktober 2023.

Tindakan itu membawa kepada “malapetaka lebih dahsyat dan kejam berbanding 1948”, merujuk kepada pemindahan dan pengusiran kira-kira 760,000 rakyat Palestin dari tanah mereka ketika Israel mula mendudukinya.

“Kepemimpinan Hamas yang memutuskan hubungan dengan realiti dan rakyat Palestin,” kata Fatah, menuduh Hamas tidak “berunding” dengan pemimpin Palestin yang lain sebelum melancarkan serangan ke atas Israel.

Dr Mustafa menggantikan Encik Mohammad Shtayyeh, yang meletak jawatan baru-baru ini dengan alasan keperluan perubahan selepas serangan Hamas pada 7 Oktober mencetuskan perang dengan Israel di Gaza.

Encik Shtayyeh meletak jawatan minggu bagi membuka laluan kepada Kabinet Perpaduan, 

Dr Mustafa yang berusia 69 tahun kini berdepan tugas membentuk kerajaan baharu bagi PA yang mempunyai kuasa terhad di bahagian Tebing Barat yang diduduki Israel.

Rakyat Palestin berharap beliau boleh muncul sebagai tokoh yang menyatukan jika diminta membina semula wilayah itu menyusuli serangan balas Israel pada 7 Oktober.

Sejak 2007, kawalan wilayah Palestin telah dibahagikan antara Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat dengan Hamas di Jaluran Gaza.

Hamas dan Jihad Islam dianggap sebagai entiti ‘pengganas’ oleh kuasa Barat, PA diiktiraf di peringkat antarabangsa mewakili rakyat Palestin di wilayah dan diaspora Palestin.

Parti pesaing Hamas, Fatah yang mendominasi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan memerintah di Tebing Barat, telah meninggalkan perjuangan bersenjata.

Perpecahan dalam kepimpinan Palestin dan permusuhan tidak berbelah bahagi Hamas terhadap Israel telah mengurangkan prospek kestabilan di Gaza.

Walaupun rapat dengan Encik Abbas, Dr Mustafa bukan ahli Fatah, maka beliau berpotensi kurang berbalah.

Beliau adalah seorang tokoh perniagaan terkemuka Palestin dan sekutu kuat Encik Abbas.

Dr Mustafa juga seorang pakar ekonomi yang mendapat pendidikan dari Amerika Syarikat dan pernah mengendalikan syarikat telekomunikasi Palestin, Paltel.

Baru-baru ini, beliau turut mengendalikan Dana Pelaburan Palestin (PIF), dengan hampir AS$1 bilion ($1.35 bilion) dalam bentuk projek pembiayaan aset di seluruh wilayah Palestin.

Encik Abbas sebelum ini melantik Dr Mustafa sebagai pengerusi PIF pada 2015. Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal ekonomi dari 2013 hingga 2014.

Beliau adalah ahli jawatankuasa eksekutif PLO pimpinan Encik Abbas, yang mengiktiraf Israel pada permulaan proses damai pada 1993, dengan harapan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin di wilayah yang ditawan Israel, dalam perang 1967 di Tebing Barat, Gaza, dan Baitulmakdis Timur.

Sudah ada perbincangan mengenai persepaduan Hamas ke dalam PLO dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bagaimanapun ia berakhir dengan kegagalan.

Berteraskan tanggungjawab PA membentuk kerajaan baharu itu, Dr Mustafa digesa menyatukan kembali Tebing Barat dan Semenanjung Gaza di bawah pentadbiran tunggal selepas perang.

PA hampir tidak mempunyai pengaruh ke atas Jaluran Gaza sejak Hamas mengambil alih kuasa daripada parti diwakili Encik Abbas, Fatah, pada 2007.

Pentadbiran Encik Abbas berpusat di Ramallah dikongkong ketat oleh pendudukan Israel selama beberapa dekad di Tebing Barat, selain tahap popularitinya yang merosot teruk.

Ketua Hamas yang berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh, pernah berkata beliau ‘terbuka kepada idea’ satu pentadbiran Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Percubaan lalu terutamanya yang diketuai Mesir, untuk menyelesaikan pertikaian antara Hamas dengan Fatah setakat ini gagal menamatkan perpecahan.

Menurut penganalisis, ia melemahkan usaha Palestin untuk mendapatkan negara mereka sendiri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg