Penguasa Palestin: Singapura rakan penting pembinaan institusi Palestin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penguasa Palestin: Singapura rakan penting pembinaan institusi Palestin

Feb 25, 2026 | 11:51 AM

Penguasa Palestin: Singapura rakan penting pembinaan institusi Palestin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
penguasa palestin, singapura, palestin
Menteri Kewangan dan Perancangan Penguasa Palestin (PA), Dr Estephan Salameh dalam wawancara bersama Berita Harian pada 24 Februari sempena lawatannya ke Singapura - Foto Berita Harian

Penguasa Palestin (PA) melihat Singapura sebagai rakan lama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi dan modal insan Palestin, kata Menteri Kewangan dan Perancangan Penguasa Palestin, Dr Estephan Salameh, selepas menamatkan lawatan rasmi empat hari ke negara ini.

Beliau berkata lawatan itu bukan sekadar pertemuan diplomatik, sebaliknya sebahagian usaha mempelajari pengalaman pembinaan negara yang berjaya dilaksanakan Singapura. “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan pemerintah Singapura kerana bersama kami selama ini, melabur dalam modal insan dan institusi kami serta membantu kami membina negara,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian pada 24 Februari sempena lawatannya ke Singapura.

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar, lawatan Dr Salameh dari 22 hingga 25 Februari diadakan atas undangan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Lawatan beliau ke Singapura, kata Dr Salameh, merupakan kunjungan yang dirancang sejak lama dan sebahagian daripada usaha diplomatik untuk memperkukuh hubungan serta memperluas sokongan antarabangsa terhadap Palestin.

Dr Salameh berkata Palestin melihat banyak persamaan dengan Singapura, khususnya dari segi saiz geografi dan pergantungan kepada modal insan. “Singapura sebuah negara kecil tanpa sumber asli. Palestin juga kecil, walaupun kami mempunyai sumber yang dirampas Israel. Kedua dua pihak bergantung kepada modal insan,” katanya.

Dr Salameh turut memuji sikap terbuka masyarakat dan institusi Singapura sepanjang lawatan tersebut.
“Saya melihat institusi yang hebat dan rakyat yang sangat baik serta bersedia membantu, khususnya kepada Palestin,” katanya.

Beliau berharap kerjasama teknikal dan latihan akan terus berkembang dalam tempoh mendatang, dengan Singapura menjadi rakan penting dalam usaha Palestin membina keupayaan pentadbiran dan ekonomi.
Lawatan ke Singapura katanya menandakan usaha PA memperluas kerjasama praktikal dengan Singapura khususnya dalam pembangunan kemahiran dan digitalisasi, bagi menyokong pembinaan negara Palestin secara berperingkat.

Beliau menambah Palestin bukan sahaja mengagumi kemajuan teknologi dan infrastruktur Singapura, tetapi juga keseimbangan antara pembangunan moden dan nilai masyarakat. “Kami melihat Singapura sebagai model pembangunan, bukan hanya kerana bangunan besar atau teknologi canggih, tetapi kerana kejayaannya menggabungkan kemajuan dengan nilai teras rakyatnya,” katanya.

Menurutnya, Palestin yang mempunyai sejarah dan budaya yang panjang mahu mencapai pembangunan tanpa mengorbankan identiti masyarakat. “Bagi kami, membangun sambil menghormati nilai dan budaya adalah sesuatu yang kami boleh pelajari daripada Singapura,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau memberi tumpuan kepada dua sektor utama iaitu pendidikan vokasional dan transformasi digital. “Saya memberi fokus kepada pendidikan, khususnya pendidikan vokasional, dan juga transformasi digital. Dalam kedua dua bidang ini Singapura banyak yang boleh ditawarkan dan kami boleh manfaatkan pengalamannya,” katanya.

Beliau turut melawat beberapa institusi termasuk Institut Pendidikan Teknikal (ITE) untuk memahami dasar pendidikan teknikal dan digital Singapura. Dr Salameh berkata Palestin merancang memperluas latihan kepada penjawat awam serta golongan muda melalui kerjasama lanjut. “Kami merancang menyediakan latihan lanjut bukan sahaja kepada penjawat awam tetapi juga belia Palestin supaya mereka boleh datang ke sini, belajar dan melihat model yang ditawarkan Singapura,” katanya.

Beliau turut mengakui Palestin berdepan kekangan kewangan dan fizikal untuk melaksanakan ekonomi digital sepenuhnya. “Melabur dalam teknologi memerlukan sumber besar dan kami tidak mempunyai sumber itu sekarang,” katanya.

Oleh itu, Palestin memilih strategi memanfaatkan kerjasama antarabangsa sambil memperkukuh modal insan. “Kami melabur dalam sumber manusia dan membina kerjasama dengan negara yang mampu membantu. Kami bekerjasama dengan Singapura, Kesatuan Eropah (EU) dan Bank Dunia untuk membina infrastruktur ekonomi digital,” katanya.

Sebagai langkah awal, Palestin akan memberi tumpuan kepada dua inisiatif utama selepas lawatan ini.
“Kami akan mulakan dengan e-perkhidmatan dan e-pembayaran sebagai dua inisiatif pertama dalam kerjasama Palestin dan Singapura,” katanya.

Dalam temubual itu juga, Dr Salameh turut menyentuh mengenai Lembaga Keamanan serta masa depan Palestin. Beliau berkata Penguasa Palestin menyokong pelbagai usaha damai antarabangsa kerana keutamaan utama ketika ini ialah menamatkan peperangan dan mengurangkan penderitaan rakyat.

Mengenai masa depan Palestin, beliau melahirkan keyakinan yang bersifat berhati-hati. “Saya melihatnya dengan optimistik tetapi penuh kewaspadaan. Ketakutan terbesar saya ialah perang kembali berlaku dan kita mesti lakukan segala usaha untuk menghalangnya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg