MAKKAH: Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Dua Masjid Suci mengumumkan kejayaan dalam melaksanakan rancangan operasinya untuk musim haji 1445 Hijrah.
Ia berkata pencapaian itu mencerminkan dedikasi dan usaha gigih kakitangan pihak berkuasa dalam memastikan pelaksanaan ibadah haji berjalan lancar untuk semua jemaah.
Ini di samping penambahbaikan prasarana bermutu tinggi yang tersedia termasuk sistem penyejukan lanjutan, sistem alat pandang dengar yang dipertingkatkan dan sistem pintu untuk kawalan orang ramai yang cekap, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Selain itu, perkhidmatan disediakan untuk semua peringkat umur dan mereka yang kurang upaya, dengan menyediakan kenderaan elektrik untuk tawaf dan sai di atas bumbung Masjidil Haram, di samping tandas yang diselenggara dengan baik dan kemudahan wuduk.
Pihak berkuasa memastikan perkhidmatan beroperasi berterusan dan berkesan sepanjang tempoh haji, menjamin persekitaran yang dipenuhi iman untuk jemaah haji.
Tumpuan diperluaskan untuk memastikan ketersediaan air zamzam yang konsisten untuk jemaah haji.
Pihak berkuasa am memberi keutamaan kepada peningkatkan perjalanan jemaah melalui pameran yang memaparkan kepentingan sejarah dua masjid suci, dan perkhidmatan digital yang ada.
Selain itu, kandungan berkaitan pendidikan bantu memperdalam pemahaman jemaah tentang agama.
Perpustakaan untuk jemaah haji menawarkan akses kepada pengetahuan Islam yang pelbagai, manakala perkhidmatan bimbingan menyediakan jawapan kepada soalan, terjemahan khutbah serta terjemahan khutbah Arafah ke dalam 37 bahasa.
Usaha yang berjaya itu dapat dihasilkan melalui kerjasama erat pelbagai entiti yang berkhidmat di kedua-dua masjid suci itu.
Kerjasama itu mencerminkan komitmen yang tidak berbelah-bahagi kerajaan Arab Saudi, di bawah pimpinan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Salman, untuk memastikan kesejahteraan dan penghayatan rohani anggota jemaah haji dengan melawat tempat-tempat suci Islam.
Agensi berita, Saudi Press Agency (SPA) turut melaporkan Menteri Kesihatan Fahd bin Abdul Rahman Al-Jalajel, dalam satu kenyataan akhbar pada 18 Jun, berkata rancangan kesihatan untuk musim haji 1445 Hijrah telah berjaya dilaksanakan dan tiada wabak penyakit atau ancaman lain kepada kesihatan awam.
Beliau menyuarakan penghargaan kepada pihak kepimpinan dan berkata:
“Syukur kepada Allah, dan melalui sokongan tidak berbelah bahagi Penjaga Dua Masjid Suci dan susulan rapat Putera Mahkota dan Perdana Menteri, saya dengan sukacitanya mengumumkan kejayaan rancangan kesihatan untuk musim haji tahun ini (2024).”
Beliau turut melahirkan rasa puas hati dengan fakta bahawa tiada wabak atau ancaman kesihatan awam lain, walaupun bilangan jemaah haji yang ramai dan berhadapan cabaran yang ditimbulkan oleh suhu tinggi.
Menteri itu menekankan sumber yang luas diperuntukkan untuk memastikan kesejahteraan jemaah, antaranya termasuk 189 hospital yang lengkap dengan peralatan, klinik bergerak dengan 6,500 katil rawatan disediakan, 40,000 kakitangan perubatan dan sukarelawan, dibantu 370 ambulans.
Sekitar 390,000 jemaah telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan itu, lapor agensi berita rasmi Saudi SPA itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg