Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengundi di Jawa ‘kunci’ bagi calon presiden: Tinjauan

Aug 19, 2023 | 6:00 AM
PENGARUH JAWA: Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, dikatakan mempunyai kelebihan dalam kalangan penduduk Jawa menurut tinjauan pendapat terkini.
PENGARUH JAWA: Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, dikatakan mempunyai kelebihan dalam kalangan penduduk Jawa menurut tinjauan pendapat terkini. - Foto PEJABAT GABENOR

Tinjauan baru-baru ini yang dijalankan oleh badan tinjauan politik Indikator menunjukkan bahawa kumpulan etnik Jawa terbesar di Indonesia, yang membentuk 40 peratus daripada penduduk, kekal sebagai pangkalan pengundi yang berpengaruh dalam pilihan raya presiden tahun 2024.

Sebanyak 52.2 peratus dari mereka akan memberikan undi kepada Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo.

“Jawa adalah kuncinya,” kata Encik Burhanuddin Muhtadi, penyelidik utama di Indikator dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau menambah Encik Anies Baswedan dan Encik Prabowo Subianto hanya memperoleh 15.9 peratus dan 27.4 peratus sokongan daripada pengundi Jawa.

Pengundi Encik Ganjar paling ramai tertumpu dalam kalangan penduduk yang berpendidikan hanya mencapai sekolah rendah serta golongan di luar bandar, manakala Encik Anies lebih popular dalam kalangan pengundi berpendidikan tinggi dan di kawasan bandar, kata Encik Burhanuddin.

Ketiga-tiga tokoh itu juga kekal sebagai nama-nama utama yang terlintas dalam minda pengundi sebagai calon presiden kerana nama mereka muncul secara konsisten dalam mana-mana nama yang disenaraikan.

“Daripada 34 nama yang didedahkan secara spontan oleh responden, Encik Ganjar memperoleh 22.8 peratus undi, diikuti Encik Prabowo dan Encik Anies Baswedan masing-masing 22.2 peratus dan 15.4 peratus,” kata Encik Burhanuddin.

Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo muncul sebagai nama keempat dengan peratusan 4.2 peratus. Beliau dinamakan walaupun responden tidak tahu bahawa Encik Jokowi tidak boleh mencalonkan diri untuk satu penggal lagi.

Manakala nama-nama lain seperti Gabenor Jawa Barat dan ahli politik Parti Golkar, Encik Ridwan Kamil, dan Pengerusi Parti Demokrat, Encik Agus Harimurti Yudhoyono, nampaknya telah pudar daripada fikiran pengundi, tambahnya.

Bagaimanapun, keutamaan orang ramai terhadap ketiga-tiga nama itu masih berubah-ubah sejak awal 2022 dengan Encik Anies kelihatan mempunyai aliran meningkat sejak kebelakangan ini, menurut hasil tinjauan.

“Kami masih tidak dapat membuat kesimpulan sama ada Ganjar atau Prabowo yang akan memenangi pilihan raya kerana jelas tiada satu pun daripada tiga nama ini boleh menang pada pusingan pertama, dan ada peluang untuk Anies lebih bersaing jika beliau dapat menarik minat pengundi yang berada di atas pagar,” kata Encik Burhanuddin. – ISMIRA LUTFIA TISNADIBRATA

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg