Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengundi Muslim AS hindari Harris sedang konflik merebak ke Lebanon

Oct 8, 2024 | 10:54 AM
Imam Hassan Qazwini (depan tiga dari kiri) pengasas Institut Islam Amerika di Dearborn Heights mengadakan makan malam kutipan dana tahunan kelima di Pusat Kebudayaan Bint Jebail, Amerika Syarikat pada 13 Mac 2024.
Imam Hassan Qazwini (depan tiga dari kiri) pengasas Institut Islam Amerika di Dearborn Heights mengadakan makan malam kutipan dana tahunan kelima di Pusat Kebudayaan Bint Jebail, Amerika Syarikat pada 13 Mac 2024. - Foto ABBAS SHEHAB

MICHIGAN: Masyarakat Arab Amerika dan pengundi Muslim di Michigan semakin lantang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran Joe Biden-Kamala Harris, khususnya sokongan terhadap Israel dalam konflik yang sedang berlaku di Gaza dan kini di Lebanon.

Sebahagian besar pengundi itu kini menolak Cik Harris sebagai pilihan mereka dalam pilihan raya presiden yang akan datang.

Imam Hassan Qazwini, pengasas Institut Islam Amerika di Dearborn Heights, meluahkan rasa kecewa terhadap Cik Harris dan Encik Biden.

Pada pilihan raya 2020, beliau menyokong Encik Biden, namun pada 2024, beliau merancang mengundi calon parti ketiga.

“Saya tidak tahu sesiapa yang akan mengundi Harris,” katanya.

Ramai pengundi Muslim berharap Cik Harris akan menunjukkan sikap lebih seimbang dalam menangani konflik Israel-Palestin, tetapi kini mereka menganggap itu hanyalah ‘angan-angan’ kosong.

Kecewa dengan pendekatan Cik Harris, ramai pengundi di kawasan Detroit kini mempertimbangkan alternatif lain.

Sokongan terhadap Demokrat hampir hilang sepenuhnya.

Sesetengah pengundi, seperti Cik Fatima Klait, menimbang untuk mengundi calon pihak ketiga atau bahkan Encik Donald Trump.

“Saya lebih suka jika kita tidak terlibat langsung dalam konflik Israel,” katanya, walaupun beliau percaya Encik Trump mungkin akan melakukan kurang kerosakan di Timur Tengah berbanding Cik Harris.

Rasa kecewa itu semakin meluas di Michigan, negeri yang mempunyai lebih 300,000 penduduk keturunan Timur Tengah dan Afrika Utara.

Walaupun tinjauan data mengenai pendirian pengundi Arab Amerika dan Muslim masih terhad, temu bual bersama hampir 20 pengundi daripada masyarakat itu menunjukkan hanya dua orang yang masih menyokong Cik Harris, lapor The New York Times.

Pengundi berkenaan kini lebih memilih menyokong calon ketiga, Cik Jill Stein.

Tindakan itu boleh menyebabkan Cik Harris kalah di negeri tertentu dalam penentuan pilihan raya pada November.

Tinjauan yang dikeluarkan oleh Majlis Perhubungan Amerika-Islam pada September menunjukkan di Michigan, yang mempunyai masyarakat Arab-Amerika yang besar, sebanyak 40 peratus pengundi Muslim menyokong Cik Stein dari Parti Hijau.

Kaji selidik menunjukkan Cik Harris yang mewakili Demokrat, bakal berdepan persaingan sengit daripada bekas Presiden, Donald Trump daripada Republikan pada pilihan raya 5 November.

Presiden Biden sebelum ini berjaya meraih sebahagian besar undi daripada masyarakat Muslim dan Arab Amerika pada pilihan raya 2020.

Namun, sokongan mereka terhadap parti Demokrat dikesan merosot dengan ketara sejak hampir setahun lalu susulan Israel melancarkan perang di Gaza.

Kumpulan advokasi Muslim Amerika, Emgage, menyatakan sokongan terhadap Cik Harris, manakala yang lain pula meminta penyokong supaya menolak beliau.

Penganalisis berpandangan walaupun golongan itu berkemungkinan tidak menyokong Encik Trump, pilihan mereka sama ada untuk mengundi atau tidak mengundi calon parti ketiga boleh menjejas Cik Harris, lapor Reuters.

Sokongan Amerika kepada Israel mencetuskan bantahan besar-besaran. Ini khususnya bagi beberapa negeri yang disifatkan masih belum dapat membuat keputusan seperti Michigan. Ia boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya itu.

Cik Harris tidak menawarkan perbezaan ketara dengan Encik Biden dari segi dasar berhubung Israel.

Michigan turut mempunyai masyarakat Yahudi yang besar, yang secara tradisi adalah penyokong kuat parti Demokrat.

Ahli Kongres Cik Haley Stevens, yang mewakili kawasan dengan populasi Yahudi yang ketara, percaya bahawa ramai pengundi Yahudi masih menyokong Cik Harris.

Serangan Israel pada 7 Oktober lalu telah mengukuhkan sokongan ramai pengundi Yahudi terhadap langkah Cik Harris, walaupun mereka masih berhati-hati terhadap meningkatnya anti-Semitic.

Masyarakat Amerika Lebanon di Michigan melahirkan rasa kecewa seperti Cik Sereene Hijazi, 28 tahun, yang sebelum ini adalah penyokong Demokrat, kini tidak mampu menyokong Cik Harris walaupun beliau tidak berminat untuk menyokong Trump.

“Saya rasa bersalah,” katanya, merujuk kepada sokongan senjata Amerika yang mengancam keluarganya di Lebanon.

Suami Cik Hijazi, Encik Hussein Beydoun, turut menyokong pandangan serupa.

Beliau percaya Encik Trump lebih memberi tumpuan kepada kepentingan Amerika berbanding campur tangan asing yang dilakukan Demokrat.

“Parti Demokrat nampaknya lebih memberi perhatian kepada apa yang berlaku di luar negara berbanding rakyat mereka sendiri,” katanya.

Walaupun kempen Cik Harris telah berusaha mendekati pengundi Arab dan Muslim di Michigan, termasuk pertemuan dengan pemimpin masyarakat baru-baru ini, kesannya masih belum jelas.

Pengundi Arab Amerika yang semakin kecewa dengan dasar luar Amerika mungkin memberi tamparan besar kepada peluang Cik Harris dalam pilihan raya presiden yang semakin hampir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg