Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekatan PBB kembali goncang ekon Iran, inflasi meningkat

Warga turut bimbang ketegangan serantau meruncing ke tahap bahaya
Oct 21, 2025 | 5:30 AM
hezbollah, hassan nasrallah, hashem safieddine
Wanita Iran berjalan di hadapan papan iklan yang memaparkan gambar pemimpin Hezbollah Lebanon yang terbunuh, Encik Hassan Nasrallah (tengah), penggantinya Encik Hashem Safieddine (kanan), serta Jeneral Iran yang telah gugur, Encik Qasem Soleimani, di Teheran pada 28 September. - Foto AFP

TEHERAN: Ekonomi Iran yang sudah rapuh kini menghadapi tekanan baru selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 28 September mengembalikan sekatan antarabangsa.

Sekatan itu dibuat melalui mekanisme ‘snapback’ di bawah Pelan Tindakan Menyeluruh Bersama (JCPOA) Perjanjian Nuklear 2015.

Ia membolehkan sekatan PBB dikenakan semula secara automatik jika Iran gagal mematuhi syarat perjanjian.

Keputusan tersebut menamatkan hampir sedekad kelonggaran diplomatik dan mendorong kebimbangan baru tentang krisis kewangan serta ancaman ketenteraan terhadap negara itu.

Sekatan itu termasuk larangan penjualan senjata, pembekuan aset, larangan perjalanan terhadap pegawai dan syarikat utama Iran, serta sekatan ketat ke atas sektor nuklear, peluru berpandu dan perbankan.

Kesemua negara anggota PBB wajib menguatkuasakannya melalui langkah bukan ketenteraan.

“Keputusan ini menghantar mesej yang jelas dunia tidak akan tunduk kepada ancaman dan langkah separuh jalan.

“Teheran akan dipertanggungjawabkan,” kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, ketika mengumumkan pelaksanaan rasmi sekatan pada tengah malam 28 September.

Eropah khususnya Perancis, Jerman dan Britain mendakwa Iran gagal memenuhi hampir keseluruhan komitmen JCPOA, termasuk memperkayakan uranium sehingga 60 peratus dan menyimpan lebih 400 kilogram uranium yang boleh digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.

Teheran menafikan tuduhan itu dan menegaskan programnya bersifat aman.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menyifatkan tindakan Barat sebagai “tidak adil dan menyalahi undang-undang”.

“Mereka mahu menjatuhkan kami. Jika anda berada di tempat kami, apakah yang anda akan lakukan?” katanya dalam sidang media di New York.

Teheran turut memanggil pulang dutanya dari Britain, Perancis dan Jerman untuk rundingan.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menuduh Barat “menyalahgunakan proses undang-undang antarabangsa” dan menyifatkan cubaan menghidupkan semula sekatan sebagai “penindasan politik”.

China dan Russia menyokong pendirian Iran dengan menyifatkan langkah itu “tidak sah dan tidak mengikat”.

Moscow memberi amaran hubungan dengan Sekretariat PBB akan “dipertimbangkan semula secara serius” jika proses ‘snapback’ diteruskan.

Namun, walaupun sokongan politik diberikan, pakar menjangka Beijing dan Moscow akan berhati-hati supaya tidak terdedah kepada hukuman PBB.

“Sukar untuk China dan Russia menanggung risiko penuh berdepan sekatan antarabangsa, walaupun mereka cuba membantu Iran,” kata penganalisis dasar Timur Tengah, Encik Ali Akbar Dareini.

Keyakinan Pasaran

Kesan ekonomi segera sudah kelihatan.

Rial Iran merudum ke paras terendah, mencecah 1.13 juta bagi setiap dolar Amerika di pasaran terbuka Teheran, jatuh daripada 1.06 juta sebulan lalu ketika Eropah mula mengaktifkan mekanisme ‘snapback’.

“Keadaan langsung tidak stabil,” kata Encik Rouzbeh, peniaga komponen elektrik di Grand Bazaar Teheran kepada Al Jazeera.

“Setiap kali dolar naik, barang import jadi mahal dan susah didapati.

“Ada yang tutup jualan kerana takut rugi, ada pula yang naikkan harga. Kuasa beli orang ramai makin terhakis,” tambah beliau.

Sektor perindustrian dan perlombongan jatuh daripada +5.9 peratus pada 2024 kepada -0.3 peratus, manakala pertanian merosot daripada +2.3 kepada -2.7 peratus akibat gangguan bekalan air dan elektrik.

Laporan Bank Pusat Iran menunjukkan hutang pemerintah meningkat 63 peratus berbanding 2024, sementara hasil negara hanya mencapai 60 peratus daripada sasaran lima bulan pertama 2025.

Modal asing keluar pada kadar rekod akaun modal bersih negatif AS$21.7 bilion ($27.9 bilion) pada 2024 mencerminkan pengaliran keluar pelaburan dan ketidakpercayaan pelabur.

“Ini pukulan hebat kepada ekonomi yang sudah sedia lemah. Sekatan akan menghalang kemasukan mata wang asing dan meningkatkan pengangguran,” kata Encik Naysan Rafati, daripada International Crisis Group.

Akhbar ekonomi Iran, Donya-e-Eqtesad, menyifatkan inflasi kini melepasi 40 peratus paras tertinggi dalam 28 bulan.

Akhbar reformis Iran, Shargh pula meratapi “kematian perjanjian nuklear” yang sebelum ini memberi sedikit ruang pemulihan ekonomi.

Sebaliknya, akhbar konservatif berbahasa Parsi, Kayhan, cuba meredakan panik dengan mendakwa “ekonomi lebih baik tanpa rundingan”.

Langkah Barat itu memberi senjata politik kepada kumpulan tegar di Teheran yang lama menentang JCPOA.

Anggota kanan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, Encik Saeed Jalili, menegaskan bahawa Iran perlu “menangkis tuntutan berlebihan musuh dan menghentikan ancaman baru”, sambil menolak idea untuk kembali berunding.

Namun Encik Pezeshkian, yang dianggap lebih sederhana, menolak cadangan melampau seperti keluar daripada Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear (NPT).

“Itu bukan pilihan,” tegasnya, cuba mengekalkan imej Iran sebagai pemain yang masih berpegang pada norma antarabangsa.

Di sisi lain, pihak berkuasa kehakiman memberi amaran kepada media supaya tidak menyebarkan “kandungan yang menakutkan masyarakat” mengenai kenaikan harga dan krisis ekonomi.

Beberapa saluran Telegram telah dikenakan tindakan kerana didakwa “mengganggu keselamatan psikologi awam”.

Konflik Nuklear

Kembalinya sekatan berlaku dalam konteks keselamatan yang semakin goyah.

Pada Jun lalu, Israel dan Amerika melancarkan serangan udara selama 12 hari ke atas tapak nuklear Iran, mengorbankan lebih 1,000 orang dan menyebabkan kerosakan bernilai berbilion dolar.

Teheran sejak itu menutup akses pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke banyak kemudahan.

Beberapa rakyat Iran khuatir sekatan baru akan dijadikan alasan serangan ketenteraan yang lebih besar.

“Israel guna setiap peluang untuk menyerang. Kami takut mereka ulangi tragedi Jun lalu,” kata seorang penduduk Teheran yang ditemu bual media tempatan.

Ketegangan meningkat apabila Jerman, Perancis dan Britain menolak usaha Russia dan China menangguhkan sekatan enam bulan bagi memberi ruang diplomasi.

Malah Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, menyebut Israel sebagai pihak yang “melakukan kerja kotor” bagi pihak Barat.

Eropah menegaskan mereka “tiada pilihan” selain mengaktifkan ‘snapback’ kerana Iran gagal memenuhi tuntutan asas: memberi akses penuh kepada pemeriksa IAEA, menjelaskan lokasi uranium diperkaya dan kembali ke meja rundingan langsung dengan Washington.

Namun Teheran melihat tindakan itu sebagai “pengebumian diplomasi”.

“Diplomasi dibunuh, diganti dengan ugutan,” tegas Encik Araghchi, dalam kenyataan rasmi.

Walaupun Russia dan China cuba menjadi pengimbang, realitinya Iran semakin terasing.

Sekatan baru itu bukan sahaja mengekang perdagangan minyak – sumber pendapatan utama negara, malah menjejas sektor perbankan, insurans dan penghantaran yang sudah lama terputus hubungan dengan sistem kewangan sejagat.

Sekatan PBB yang diperbaharui itu dikenakan pada saat paling rapuh bagi Iran, dengan ekonomi yang goyah, inflasi tinggi, pengangguran meningkat dan ketidakpastian politik yang mendalam.

Kebimbangan Rakyat

Ketakutan rakyat bukan sahaja tentang harga barang dan kejatuhan nilai rial, malah risiko serangan ketenteraan baru yang boleh menghancurkan kestabilan dalam negara.

“Semakin kita ditekan, semakin sukar untuk rakyat biasa.

“Kami yang menanggung kesannya setiap hari,” ujar peniaga di Teheran, Encik Rouzbeh.

Sekatan baru itu turut memperlihatkan kegagalan diplomasi berterusan sejak Amerika menarik diri daripada JCPOA pada 2018.

Jika tiada mekanisme perundingan yang kukuh diwujudkan, Iran berpotensi melangkah lebih jauh meninggalkan kawalan antarabangsa dan ketegangan serantau boleh meningkat ke tahap berbahaya.

Dunia kini berdepan risiko bukan sahaja krisis ekonomi di Iran, malah letusan konflik baru yang sukar dijangka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg