Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjaga zoo maut diserang singa di Safari World Bangkok

Sep 11, 2025 | 1:36 PM
Paparan skrin daripada video yang dikongsi di media sosial menunjukkan insiden seorang penjaga zoo maut diserang singa di sebuah zoo di Thailand pada 10 September.
Paparan skrin daripada video yang dikongsi di media sosial menunjukkan insiden seorang penjaga zoo maut diserang singa di sebuah zoo di Thailand pada 10 September. - FOTO: Facebook/The Nation Thailand dan Khaosod)

BANGKOK – Seorang penjaga zoo maut selepas diserang beberapa ekor singa di Safari World Bangkok pada 10 September, mencetuskan persoalan mengenai aspek keselamatan dan pemilikan sah haiwan buas di taman safari tersebut.

Insiden berlaku sekitar jam 11 pagi ketika mangsa, Encik Jian Rangkharasamee, 58 tahun, sedang keluar dari sebuah kenderaan di dalam kawasan pagar singa. Rakaman video yang tular menunjukkan beliau tidak menyedari seekor singa berada kira-kira 10 meter di belakangnya sebelum haiwan itu menerkam, lalu menjatuhkannya ke tanah.

Beberapa ekor singa lain kemudian menyertai serangan itu, menyebabkan pengunjung panik dan membunyikan hon kereta untuk menakutkan haiwan tersebut. Serangan dilaporkan berlangsung hampir 15 minit sebelum rakan sekerja berjaya menarik mangsa keluar. Encik Jian dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Seorang saksi, Dr Tavatchai Kanchanarin, yang juga pengunjung zoo, berkata beliau melihat mangsa berdiri sendirian dengan membelakangkan singa. “Beliau berdiri kira-kira tiga minit. Seekor singa berjalan perlahan dan kemudian menerkamnya dari belakang. Beliau tidak menjerit langsung,” kata Dr Tavatchai kepada media tempatan Thairath Television.

Menurut polis tempatan, Encik Jian merupakan penyelia zoo berpengalaman yang telah bekerja lebih 30 tahun di Safari World. Isterinya, Cik Ratanaporn Jitpakdee, menzahirkan rasa pilu atas pemergian suaminya. “Beliau sangat cintakan pekerjaannya. Beliau sentiasa mengikut langkah keselamatan dan tidak pernah diserang mana-mana haiwan sebelum ini,” katanya.

Seorang pegawai kanan zoo, yang enggan namanya didedahkan, menggambarkan Encik Jian sebagai “seorang yang baik hati” dan menegaskan semua singa di Safari World memiliki lesen yang sah.

Pengarah Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan, Encik Attapol Charoenchansa, berkata serangan berlaku semasa sesi pemberian makan. “Disyaki salah seekor singa berada dalam keadaan agresif dan memulakan serangan,” katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Safari World dalam kenyataan rasmi mengesahkan kematian pekerjanya dan berjanji memperketatkan kawalan keselamatan. “Kami akan segera menyemak semula serta memperkukuh langkah keselamatan untuk mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” kata pihak zoo.

Encik Edwin Wiek daripada pertubuhan pemuliharaan  Yayasan Sahabat Hidupan Liar Thailand menegaskan kejadian ini adalah satu peringatan tegas. “Insiden ini membuktikan bahawa haiwan buas, walaupun dibesarkan manusia sejak lahir, tetap berbahaya dan boleh menyerang tanpa sebarang tanda,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Pertubuhan hak haiwan Pertubuhan Orang Ramai untuk Layanan Beretika terhadap Haiwan (PETA) pula menggesa singa-singa di Safari World dipindahkan ke pusat perlindungan.
“Singa tidak bersalah. Mereka hanya bertindak mengikut naluri semula jadi. Safari World mesti memindahkan mereka ke kawasan perlindungan khas,” kata kenyataan itu.

Selepas tragedi ini, kawasan safari pandu-lalu Safari World ditutup sementara menunggu siasatan lanjut oleh pihak berkuasa hidupan liar dan polis tempatan.

Safari World, yang mempromosikan dirinya sebagai salah satu zoo terbuka terbesar di Asia, terkenal dengan pengalaman memberi makan singa dan harimau dengan bayaran sekitar 1,200 baht (S$44.40) seorang.

Laman webnya menyatakan pengunjung boleh “berinteraksi rapat” dengan haiwan liar seperti singa, harimau, beruang dan zebra yang dibiarkan berkeliaran di habitat terbuka.

Namun, kejadian ini mengundang persoalan tentang keselamatan operasi tersebut serta trend pemilikan singa di Thailand. Menurut data rasmi, hampir 500 ekor singa kini direkodkan berada di zoo, ladang pembiakan, kafe haiwan, malah rumah persendirian.

Safari World dalam kenyataan berasingan mengucapkan takziah kepada keluarga Encik Jian dan berjanji memberikan sokongan penuh. “Kami amat sedih dengan kehilangan ini. Beliau adalah sebahagian daripada keluarga kami selama puluhan tahun,” kata pihak zoo. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg