GERIK (Perak): Luluh hati seorang isteri menyaksikan suaminya diserang dan dilarikan harimau sebelum jasad ditemui tidak bernyawa dalam kejadian di kawasan hutan dekat Bersia, Gerik, Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata mayat mangsa berusia 54 tahun ditemui pada 12 tengah hari 15 Oktober, kira-kira 100 meter dari rumah kongsi mangsa.
Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan isterinya berada di kawasan berkenaan untuk menjalankan aktiviti penerokaan hutan (pembalakan).
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai serangan harimau di Kilometer 79.2, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pada 8.25 pagi.
“Laporan mengenai seorang lelaki tempatan dibaham harimau ketika hendak ke tandas di rumah kongsi Bagan Balak dengan perkara itu disaksikan sendiri oleh isteri mangsa yang juga warga Thailand.
“Kejadian dipercayai berlaku antara 5 hingga 6 pagi (15 Oktober), yang mana semasa mangsa sedang ke tandas, isterinya terdengar ngauman harimau.
“Wanita itu membuka pintu rumah sebelum melihat mangsa diheret ke arah semak,” katanya, lapor Harian Metro.
Datuk Azizi berkata Ketua Balai Polis Bersia bersama tiga anggota dengan dibantu anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik dan 10 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tiba di lokasi pada 10.30 pagi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Datuk Azizi berkata mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat.
Kes kematian akibat serangan haiwan itu adalah yang kedua berlaku selepas baru-baru ini seorang warga emas yang hilang ditemukan meninggal dunia pada 5 Oktober lalu, akibat dipijak gajah liar.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Timbalan Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata mayat mangsa, Musa Ahmad, 65 tahun, yang juga seorang pekebun, ditemui di kawasan cerun bawah talian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira 100 meter dari kebun mangsa.
“Hasil bedah siasat mengesan terdapat kecederaan pada bahagian dada, kepala dan tangan akibat tekanan objek berat dipercayai akibat dipijak oleh gajah liar,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg