Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjara Sednaya di Syria bak ‘rumah penyembelihan manusia’

Jan 2, 2025 | 5:30 AM
Seorang lelaki melihat gambar individu hilang yang dipercayai tahanan di penjara Sednaya di Syria, yang terkenal sebagai ‘rumah penyembelihan manusia’ semasa pemerintahan mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad.
Seorang lelaki melihat gambar individu hilang yang dipercayai tahanan di penjara Sednaya di Syria, yang terkenal sebagai ‘rumah penyembelihan manusia’ semasa pemerintahan mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Penahanan dan pembebasan tahanan dari penjara Sednaya selepas kejatuhan pemerintahan mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, pada 8 Disember, menjadi tumpuan dunia.

Serangan terakhir yang diketuai Hayat Tahrir al-Sham (HTS) di bawah pimpinan Encik Ahmed al-Sharaa atau lebih dikenali sebagai Abu Mohammad al-Jolani, telah mengakhiri pemerintahan kuku besi selama lebih lima dekad.

Pada 9 Disember, sehari selepas kejatuhan Encik Assad, wartawan The Guardian, Encik William Christou, melaporkan penemuan pintu menuju kompleks bawah tanah lima tingkat di Sednaya.

Kompleks itu didakwa menempatkan 1,500 tahanan yang masih hidup tetapi dalam keadaan genting.

Laporan itu mencetuskan panik dalam kalangan rakyat Syria, terutama mereka yang mencari ahli keluarga yang hilang sepanjang perang.

“Kami datang untuk melihat penjara di bawah tanah,” kata seorang wanita semasa lawatannya ke penjara Sednaya dan menyatakan beliau telah kehilangan abangnya sejak 2018.

Sebuah video tular pada 9 Disember menyaksikan orang ramai berkumpul di penjara Sednaya, sambil melaungkan slogan dan memeriksa dokumen mencari sebarang petanda tentang ahli keluarga yang telah lama ditahan.

Pertemuan penuh emosi banduan bersama ahli keluarga yang selama ini menyangka mereka telah dihukum mati disaksikan menerusi video tersebut.

Gambar sebahagian tahanan dalam keadaan menyayat hati termasuk cacat anggota badan dan tubuh kurus kering. turut menjadi tular di media sosial.

Lebih 4,000 banduan dilaporkan dibebaskan pasukan Helmet Putih bersama HTS.

Penjara Sednaya dibuka pada 1987 dan sejak itu, menjadi tempat penahanan ribuan individu, termasuk aktivis, penunjuk perasaan serta mereka yang dituduh menentang rejim.

Di bawah sistem pemerintahan yang diwarisi Encik Assad daripada bapanya, Encik Hafez al-Assad, terdapat kompleks penjara dan pusat tahanan yang kejam.

Ia digunakan untuk menghapuskan penentang dengan menahan mereka yang disyaki mengingkari parti pemerintah, Baath.

Ribuan orang berkumpul di penjara Sednaya dengan harapan untuk bersatu semula dengan orang tersayang, kebanyakannya dipenjarakan semata-mata kerana menentang rejim Assad atau kerana melakukan jenayah kecil.

“Saya amat gembira melihat mereka kini bebas. Tetapi, keadaan penjara tersebut amat meruntun jiwa.

“Saya boleh rasakan trauma dahsyat yang dihadapi golongan itu,” kata Encik Riyad Avlar yang kembali mengimbau detik hitam ketika beliau ditahan sewaktu masih menuntut di Damsyik pada 1996.

Encik Riyad pernah meringkuk di penjara selama 20 tahun termasuk sedekad di Sednaya yang menjadi ‘pusat penganiayaan’ pemerintahan rejim Assad terhadap tahanan.

“Saya amat berharap untuk melihat Encik Assad diheret ke muka pengadilan pada satu hari nanti,” tambah Encik Avlar.

Pada 2017, beberapa bulan selepas dibebaskan, Encik Avlar mengasaskan Persatuan Tahanan dan Orang Hilang Penjara Sednaya (ADMSP) yang menyokong mereka yang dipenjarakan kerana berani bangkit menentang pemerintahan rejim Assad.

“Kami tidak mahu membalas dendam. Kami hanya mahukan keadilan,” katanya di ibu pejabat pertubuhan itu di Gaziantep, tenggara Ankara, Turkey.

Encik Avlar bersama saudara senasib dengannya bertindak mengumpulkan bukti dan keterangan saksi tentang kezaliman sebenar yang berlaku di sebalik jeriji besi tersebut yang pernah disifatkan oleh pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International sebagai ‘rumah penyembelihan manusia’ berdasarkan laporan pada 2017.

Amnesty International pada 2017 mendakwa sehingga 13,000 orang awam dibunuh melalui hukuman gantung di Sednaya.

Bagaimanapun, angka itu hanyalah anggaran berdasarkan testimoni bekas tahanan dan pengawal di Turkey

Ribuan banduan sebahagian besarnya tahanan politik ditempatkan di penjara gelap di utara Damsyik itu dan ada yang sudah menjadi penghuni pusat tahanan mengerikan itu sejak 1980-an.

Pegawai tempatan mengesahkan bahawa terdapat 4,300 tahanan di Sednaya sebelum kejatuhan Encik Assad, termasuk mereka yang ditahan atas tuduhan pengganasan.

Ramai daripada mereka anggota kumpulan bersenjata seperti Barisan Nusra dan IS.

ADMSP percaya lebih 30,000 individu telah dihukum mati atau meninggal dunia akibat diseksa, dibiarkan mati kebuluran atau tidak diberikan rawatan antara 2011 dengan 2018, ketika perang saudara di Syria sedang memuncak.

Pada masa yang sama, ribuan lagi penduduk cuba menjejaki orang tersayang yang ditahan atas kesalahan menghadiri bantahan, menentang pihak berkuasa atau sekadar menyuarakan rasa tidak puas hati.

Desas-desus juga memberitahu ribuan banduan lain masih dipenjarakan di sel bawah tanah yang sukar diakses, tetapi tiada tanda-tanda terdapat banduan yang masih berada di lokasi yang sudah dilaporkan.

Cik Yasmine Shabib, 37 tahun, yang masih terus mencari bapa dan abangnya yang ditahan pada 2013 menyatakan:

“Mayat mangsa kekejaman Encik Assad dikebumikan di mana-mana bukan hanya di Sednaya.

“Ada banyak ‘Sednaya’ yang tersembunyi di bawah kaki kita.”

Amnesty menerusi laporannya menganggarkan antara 5,000 dengan 13,000 dihukum di luar bidang kehakiman, di luar Sednaya antara September 2011 dengan Disember 2015.

Selain kekejaman rejim Assad, kumpulan bersenjata yang menentangnya turut bertanggungjawab di atas pelanggaran hak asasi manusia.

Penjara Tawba di Ghouta, yang dikendalikan kumpulan Jaish al-Islam, terkenal dengan penyeksaan yang tidak kurang kejamnya.

Seorang bapa yang ditahan bersama anaknya oleh Jaish al-Islam berkata: “Kami diseksa lebih teruk di Tawba berbanding di Sednaya.”

Anaknya kini masih hilang. Baginya, kejatuhan Encik Assad membuka peluang untuk membongkar realiti kekejaman di Syria. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg