Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjawat awam naik gaji 400%, langkah awal pulih ekonomi Syria

Jan 6, 2025 | 11:34 AM
Orang ramai beratur di luar ibu pejabat utama Bank Pusat Syria untuk menukar dolar Amerika Syarikat pada kadar harga yang lebih rendah daripada pasaran gelap, di Damsyik pada 30 Disember 2024.
Orang ramai beratur di luar ibu pejabat utama Bank Pusat Syria untuk menukar dolar Amerika Syarikat pada kadar harga yang lebih rendah daripada pasaran gelap, di Damsyik pada 30 Disember 2024. - Foto AFP

DAMSYIK: Menteri Kewangan Syria, Encik Mohammed Abazeed, mengumumkan pada 5 Januari bahawa pemerintah akan menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 400 peratus mulai Februari.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk menstabilkan ekonomi negara selepas lebih sedekad menghadapi konflik dan sekatan ekonomi.

“Kenaikan ini adalah langkah awal menuju penyelesaian kecemasan terhadap realiti ekonomi negara,” kata Encik Abazeed dalam kenyataannya kepada agensi berita Reuters.

Beliau turut mengesahkan bahawa gaji bagi Januari untuk kakitangan awam akan dibayar mulai 6 Januari.

Kenaikan gaji tersebut dianggarkan menelan belanja 1.65 trilion pound Syria ($127 juta) dan akan dibiayai melalui gabungan sumber sedia ada negara, bantuan serantau, pelaburan baru serta usaha mencairkan aset Syria yang dibekukan di luar negara.

“Pelancaran pelaburan di negara ini dalam masa terdekat juga akan memberi manfaat kepada perbendaharaan negara dan membolehkan kami membiayai kenaikan gaji ini,” tambah Encik Abazeed.

Beliau turut menyatakan bahawa bank pusat Syria mempunyai dana mencukupi untuk menampung perbelanjaan beberapa bulan akan datang.

Pemerintah turut menjangka untuk mendapatkan sehingga $400 juta daripada aset Syria yang dibekukan di luar negara, yang akan dapat membantu membiayai perbelanjaan awal ini.

Langkah kenaikan gaji itu akan disertai dengan penilaian menyeluruh ke atas 1.3 juta kakitangan awam berdaftar dan hanya mereka yang memiliki kepakaran, kelayakan akademik serta kemahiran relevan akan meraih manfaat daripada daya usaha itu.

“Gaji kakitangan awam semasa rejim (mantan Presiden yang digulingkan) Bashar al-Assad adalah sekitar AS$25 sebulan, meletakkan mereka di bawah garis kemiskinan bersama sebahagian besar penduduk negara,” jelas Encik Abazeed.

Pemerintah sementara Syria turut merancang pembaharuan sistem percukaian dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Pembaharuan itu bertujuan mencapai keadilan cukai untuk semua pembayar cukai.

“Menjelang akhir 2025, kami menjangka memiliki sistem cukai yang dirancang dengan baik, mengambil kira kepentingan semua pihak,” kata Encik Abazeed.

Dalam perkembangan lain, Menteri Luar Syria, Encik Asaad Hassan al-Shibani, menyeru Amerika Syarikat supaya menarik balik sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Syria.

“Sekatan ini telah menjadi penghalang kepada pemulihan dan pembangunan rakyat Syria, bukan lagi seperti tujuan asalnya iaitu dikenakan ke atas rejim Assad,” kata Encik Shibani.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, di Doha.

Encik Shibani menambah bahawa Qatar akan menjadi rakan penting dalam fasa baru pembangunan semula Syria.

Doha, yang sebelum ini tidak mengiktiraf rejim mantan Presiden Assad, kini menyatakan sokongan kepada pentadbiran baru Syria yang ditubuhkan selepas pemberontakan berjaya menyingkirkan Encik Assad pada 8 Disember.

Encik Shibani turut membentangkan rangka tindakan kepada pemimpin Qatar.

Ia merangkumi rancangan membina semula negara, memulihkan hubungan dengan negara Arab dan dunia lain, serta memperkenalkan pemerintah yang mewakili semua lapisan rakyat Syria.

“Kami sedang berusaha untuk mengelakkan sebarang campur tangan asing dalam hal ehwal Syria,” kata Menteri Negara Qatar bagi Hal Ehwal Luar Negeri, Encik Mohammed Al-Khulaifi.

Encik Shibani turut dijadual melawat Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan untuk mendapatkan sokongan bagi kestabilan, keselamatan dan pemulihan ekonomi negaranya itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg