NEW YORK: Penolakan Israel yang jelas dan berulang-ulang terhadap penyelesaian dua negara tidak boleh diterima dan hanya boleh memanjangkan konflik di Gaza, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsaa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, dalam sesi perbahasan majlis keselamatan mengenai penghantaran bantuan ke Gaza.
Encik Guterres memberitahu mesyuarat di New York pada 22 Januari bahawa penafian terhadap negara Palestin hanya akan menyebabkan munculnya golongan pelampau di mana-mana dan melanjutkan konflik selama-lamanya.
“Penolakan yang jelas dan berulang minggu lalu terhadap penyelesaian dua negara di peringkat tertinggi pemerintah Israel tidak boleh diterima,” tegas beliau.
“Penolakan ini dan penafian hak kerakyatan kepada rakyat Palestin akan memanjangkan konflik yang telah menjadi ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan global selama-lamanya,” kata Encik Gutteres.
Beliau berkata penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan keluar daripada kitaran ketakutan, kebencian dan keganasan yang tidak berkesudahan, sambil menambah ia adalah satu-satunya cara untuk menangani aspirasi sah rakyat Israel dan Palestin.
“Seluruh penduduk Gaza sedang mengalami kemusnahan pada skala dan kelajuan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah. Tiada apa yang boleh membenarkan hukuman kolektif terhadap penduduk Gaza,” jelasnya.
Beliau juga mengutuk “pembunuhan yang disengajakan, kecederaan, penculikan orang awam, penggunaan keganasan seksual terhadap mereka” oleh Hamas.
“Lebih daripada setengah juta orang menghadapi kelaparan di Gaza. Seramai 2.2 juta orang hidup dalam keadaan tidak berperikemanusiaan dari hari ke hari,” tambah beliau.
Di sebalik semua usaha kakitangan dan rakan kongsi PBB, “tiada operasi bantuan kemanusiaan yang berkesan boleh berfungsi di bawah keadaan yang telah dipaksa ke atas rakyat Palestin di Gaza”, kata beliau.
Duta Amiriah Arab Bersatu (UAE), Cik Lana Zaki Nusseibeh, berkata:
“Kami tidak akan menyokong keadaan status quo yang gagal. Sebelum ini, penyelesaian dua negara adalah titik akhir di mana kami membayangkan usaha diplomatik kami akan membawa ke depan. Sekarang ia mesti menjadi titik permulaan kami.”
Menteri Luar Arab Saudi, Encik Waleed El-Khereiji, turut mengutuk jentera perang Israel. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg