GAZA: Pentadbiran teknokrat Palestin yang bakal mengambil alih pentadbiran Gaza daripada Hamas merangka 71 projek pemulihan bernilai kira-kira AS$6 bilion ($7.7 bilion), dalam usaha membina semula wilayah itu yang mengalami kemusnahan besar akibat perang.

Projek itu dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh enam bulan pertama Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) beroperasi di wilayah tersebut.

Bagaimanapun, hampir semua rancangan itu memerlukan kerjasama Israel, termasuk bagi membawa masuk bahan binaan, rumah sementara, bahan api dan peralatan serta membolehkan anggota pasukan keselamatan menjalani latihan di luar Gaza.

Menurut dokumen “Program Pemulihan Gaza Enam Bulan” yang diperoleh The Times of Israel, rancangan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat anggota NCAG di London pada akhir Ogos.

NCAG diselia rapat oleh Lembaga Keamanan, badan yang dikawal Amerika Syarikat dan diberi mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengawasi pentadbiran Gaza selepas perang.

Dokumen itu menyenaraikan butiran bagi setiap 71 projek, termasuk tujuan projek, manfaat yang dijangka, pegawai NCAG yang akan mengendalikannya serta anggaran kos untuk tempoh enam bulan.

Projek-projek itu disusun secara berasingan supaya negara atau pertubuhan yang mahu menyumbang boleh memilih projek tertentu untuk dibiayai.

Amerika sebelum ini memperoleh ikrar bantuan bernilai AS$17 bilion pada Februari, tetapi hanya sebahagian kecil dana itu dilaporkan sudah disalurkan.

Sebahagian besar ikrar datang daripada negara Teluk yang kemudian mengubah keutamaan perbelanjaan mereka susulan perang Iran.

Tiada tarikh ditetapkan bagi pelaksanaan 71 projek itu kerana NCAG masih belum dapat beroperasi dari dalam Gaza.

Jawatankuasa tersebut berada di Mesir sejak ditubuhkan pada Januari, sedang usaha diteruskan untuk melaksanakan rancangan pelucutan senjata Hamas dan memindahkan pentadbiran Gaza kepada NCAG.

Hamas bersetuju pada 30 Julai dengan rancangan menyerahkan senjatanya secara berperingkat yang kemudian disusuli pengunduran tentera Israel.

Pemerintahan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menolak aturan itu dan menegaskan tentera Israel tidak akan berundur sehingga Hamas menyerahkan sepenuhnya senjatanya.

Kebuntuan itu turut menjejaskan usaha lebih kecil untuk membaiki sistem air, kumbahan dan sanitasi.

Keadaan itu dijangka menyebabkan sebahagian besar daripada sekitar dua juta penduduk Gaza terpaksa melalui satu lagi musim sejuk dengan tinggal di khemah yang semakin rosak.

Antara projek terbesar ialah rancangan bernilai AS$1.05 bilion untuk menyediakan kediaman sementara berbentuk karavan kepada sekitar 400,000 penduduk yang kini tinggal di khemah.

Turkey sudah berikrar menyumbangkan 70,000 rumah bergerak, sementara 5,000 lagi yang disumbangkan Mesir dan Qatar masih berada di sebelah Mesir di sempadan Gaza kerana Israel belum membenarkannya dibawa masuk.

Amiriah Arab Bersatu (UAE) pula akan membiayai sepenuhnya sebuah kawasan perumahan sementara di Rafah yang mampu menempatkan sekitar 50,000 orang.

Sektor kesihatan turut diberi keutamaan dengan rancangan memulihkan enam hospital yang rosak teruk, termasuk Hospital Eropah di Khan Younis, Hospital Indonesia di utara Gaza serta Hospital Al-Shifa dan Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi di Bandar Gaza.

Israel mendakwa beberapa hospital itu digunakan Hamas bagi kegiatan ketenteraan, dakwaan yang menjadi pertikaian sepanjang perang.

Dalam sektor pendidikan, AS$194 juta diperuntukkan untuk membaik pulih 300 bangunan supaya dapat digunakan sebagai sekolah dan menyediakan 117 unit bilik darjah sementara.

Kemudahan itu dijangka dapat menampung sehingga 315,900 pelajar.

Satu lagi projek akan membantu sekitar 10,000 pelajar Palestin yang sepatutnya melanjutkan pengajian di luar Gaza sebelum perang.

Rancangan pemulihan turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemasukan bantuan dan barangan.

Sebuah zon logistik bernilai AS$25 juta dirancang berhampiran lintasan Rafah bagi menyediakan tempat penyimpanan bantuan kemanusiaan dan bahan api, selain ruang operasi lori.

Projek AS$15 juta pula akan memulihkan operasi lintasan Rafah, Karni dan Erez.

Jika dilaksanakan sepenuhnya, jumlah lori yang boleh memasuki Gaza disasarkan meningkat daripada sekitar 300 kepada 1,500 sehari, sementara jumlah penumpang melalui Rafah boleh bertambah daripada 100 kepada 2,000 sehari.

Satu lagi projek bernilai AS$23 juta bertujuan menyusun semula rantaian bekalan barangan sektor swasta dan mengekang penyelewengan, penyorokan serta cukai tidak sah.

Rancangan itu menyasarkan penurunan harga barangan asas sehingga 45 peratus dan bahan api sebanyak 65 peratus.

NCAG turut merancang menghantar 260 penjana diesel bersama bekalan bahan api selama enam bulan untuk membantu hospital dan kemudahan pendidikan menghadapi musim sejuk.

Aspek keselamatan menjadi satu lagi komponen penting.

Rancangan bernilai AS$143 juta akan menghantar 5,000 anggota pertama pasukan polis Gaza yang baru ke Mesir untuk menjalani latihan selama 10 minggu.

Menurut pegawai Lembaga Keamanan, pelaksanaannya masih tertangguh kerana Israel belum membenarkan rekrut meninggalkan Gaza, meskipun mereka dilaporkan sudah melepasi tapisan agensi keselamatan Shin Bet.

Program lain termasuk pembelian semula senjata yang dianggarkan berjumlah 100,000 senjata ringan dan sederhana yang dimiliki individu, pembersihan terowong serta penubuhan pusat tahanan di Rafah.

Rancangan itu juga menyediakan pangkalan di Rafah untuk menyokong sehingga 5,000 anggota Pasukan Penstabilan Antarabangsa yang dirancang mengambil alih tugas keselamatan secara berperingkat daripada tentera Israel.

Lembaga Keamanan menegaskan senarai 71 projek itu masih merupakan rancangan kerja dan belum mendapat kelulusan atau pembiayaan sepenuhnya.

Namun, badan itu berkata persiapan terperinci diperlukan supaya projek kemanusiaan, pendidikan, kesihatan, prasarana dan keselamatan dapat dilaksanakan sebaik sahaja keadaan politik dan keselamatan membolehkan NCAG mengambil alih pentadbiran Gaza. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti