Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pentadbiran Trump gesa lelaki kulit putih buat tuntutan diskriminasi di tempat kerja

Dec 19, 2025 | 2:55 PM
donald trump, diskriminasi, kulit putih, amerika
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah berusaha membongkar program kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) sejak kembali memegang jawatan pada Januari 2025. - Foto EPA

WASHINGTON:  Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sedang menggesa golongan lelaki kulit putih untuk mengemukakan tuntutan diskriminasi di tempat kerja, usaha terkini dalam kempen mereka untuk menamatkan inisiatif program kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI).

“Adakah anda seorang lelaki kulit putih yang mengalami diskriminasi di tempat kerja berdasarkan kaum atau jantina anda?” tulis Pengerusi Sementara, Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Setara Amerika Syarikat (EEOC), Cik Andrea Lucas, di wadah media sosial X.

“Anda mungkin berhak membuat tuntutan untuk menuntut pampasan di bawah undang-undang hak sivil persekutuan,” tulis beliau.

“EEOC komited mengenal pasti, menyerang dan menghapuskan semua diskriminasi berdasarkan kaum dan jantina, termasuk terhadap pekerja dan pemohon lelaki kulit putih.”

EEOC ialah agensi persekutuan yang ditubuhkan di bawah Akta Hak Sivil 1964 untuk menangani seksisme dan perkauman di tempat kerja.

Undang-undang yang lebih luas itu bertujuan memerangi pemisahan kaum terhadap rakyat kulit hitam Amerika.

Namun, sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025, Encik Trump berusaha membongkar program DEI di seluruh pemerintah persekutuan dan mengancam syarikat yang melaksanakan dasar sedemikian, dengan alasan ia merugikan majoriti kulit putih di Amerika.

EEOC kini menekankan “diskriminasi berkaitan DEI” di laman webnya dan Encik Trump telah membatalkan dasar tindakan mengiakan sahaja daripada pentadbiran terdahulu.

Banyak program DEI yang diwujudkan untuk menyokong golongan minoriti yang menjadi mangsa diskriminasi, kini dianggap prejudis dan tidak diterima oleh golongan konservatif Amerika.

Di bawah kepimpinan Cik Lucas, EEOC juga mengambil tindakan terhadap apa yang disifatkannya sebagai diskriminasi terhadap pekerja Amerika.

“Ramai majikan mempunyai dasar dan amalan yang mengutamakan warga asing tanpa izin, pekerja migran atau pekerja sementara bukan warga negara (pemegang visa pekerja sementara) berbanding pekerja Amerika.

“Ini secara langsung melanggar undang-undang pekerjaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada November 2025.

Laporan media menunjukkan agensi itu telah menghentikan siasatan terhadap aduan diskriminasi di tempat kerja berhubung golongan transjantina, yang menjadi sasaran pentadbiran Encik Trump.

Seruan Cik Lucas kepada lelaki kulit putih turut dikongsi Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance.

Dalam satu hantaran berasingan, Encik Vance menyertakan ruangan hasil tulisan seorang penulis skrip Hollywood, yang mendakwa beliau ditolak pekerjaan kerana beliau seorang lelaki kulit putih yang muda.

Di atas pautan itu, beliau menulis DEI “adalah program diskriminasi yang disengajakan, terutama terhadap lelaki kulit putih”.

Cik Lucas berkata beliau “betul sama sekali”, sambil menambah: “Dan tepat kerana diskriminasi meluas, sistemik dan tidak sah, kebanyakannya menjejas lelaki kulit putih.

“Golongan elit malah meraikannya (diskriminasi).”

Menurut kajian dari Universiti Massachusetts Amherst, nisbah pekerja Afrika-Amerika yang membuat aduan dengan EEOC adalah 195 kali lebih tinggi, berbanding pekerja kulit putih.

Pada 2024, wanita memperoleh purata 85 peratus daripada pendapatan lelaki, berdasarkan data Pusat Penyelidikan Pew. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg