Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump saman BBC atas fitnah, tuntut ganti rugi sehingga AS$10b

Dec 16, 2025 | 2:09 PM
Donald Trump, BBC, sue, defamation, saman, fitnah, ganti rugi
Dalam samannya itu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendakwa BBC memfitnahnya dan melanggar undang-undang Florida yang menghalang amalan mengelirukan dan tidak adil.  - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengemukakan saman terhadap penyiar awam Britain BBC pada 15 Disember atas fitnah berhubung suntingan klip ucapan yang memberi gambaran seolah-olah beliau mengarahkan penyokong untuk menyerbu bangunan Capitol.

Tindakannya itu membuka laluan antarabangsa dalam perjuangannya menentang liputan media yang dianggapnya tidak benar atau tidak adil.

Encik Trump menuduh penyiar milik awam Britain itu memfitnahnya dengan menggabungkan beberapa bahagian ucapan pada 6 Januari 2021, termasuk satu bahagian yang menampilkan beliau memberitahu penyokong untuk berarak ke bangunan Capitol dan satu lagi mengenai ungkapan “berjuang habis-habisan”.

BBC menggugurkan satu bahagian melibatkan beliau menyeru bantahan aman.

Dalam samannya itu, Encik Trump mendakwa BBC memfitnahnya dan melanggar undang-undang Florida yang menghalang amalan mengelirukan dan tidak adil.

Beliau menuntut ganti rugi AS$5 bilion ($6.45 bilion) bagi setiap dua tuduhan saman itu.

BBC sebelum telah memohon maaf kepada Encik Trump, mengakui kesilapan penilaian dan suntingan itu memberikan gambaran salah bahawa beliau telah membuat seruan langsung bagi tindakan ganas.

Tetapi ia menyatakan bahawa tiada asas undang-undang untuk mengemukakan saman.

Dalam tuntutan mahkamahnya yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Miami, Encik Trump berkata bahawa walaupun BBC telah memohon maaf, tetapi ia “tidak menunjukkan sebarang penyesalan sebenar atas salah lakunya mahupun perubahan institusi bermakna untuk mencegah penyalahgunaan kewartawanan pada masa depan”.

BBC dibiayai melalui yuran lesen ke atas semua penonton televisyen, yang menurut peguam Britain, mungkin perlu membuat pembayaran kepada Encik Trump.

Seorang jurucakap BBC memberitahu bahawa ketika ini ia “tidak mempunyai sebarang hubungan lanjut daripada peguam Encik Trump dan pendirian kami kekal sama”.

Berdepan dengan salah satu krisis terbesar dalam sejarah 103 tahunnya, BBC menyatakan ia tidak mempunyai rancangan untuk menyiarkan semula dokumentari itu di mana-mana platformnya.

Pertikaian mengenai klip itu, yang dipaparkan dalam rancangan dokumentari Panorama daripada penyiar itu sejurus sebelum pilihan raya presiden Amerika pada 2024, mencetuskan krisis perhubungan awam bagi penyiar itu, yang menyaksikan peletakan jawatan dua pegawai paling kanannya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg